Thursday, January 31, 2013

Sabda Rasulullah SAW: hiduplah di dunia ibarat seorang musafir...



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin. 
Allahumma solliála Muhammad waála alihi wasohbihiwasallam.

Kitab Hadith 40 mengandungi koleksi hadiths yang disusun oleh Imam Nawawi r.a. terdapat sebanyak 42 hadith semuanya. Hadith yang ke 40 ialah:

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari.
Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu. lbnu 'Umar r.a. pernah berkata: Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

Hadith ini mengandungi wasiat penting Rasulullah SAW yang disampaikan baginda secara sangat berhemah dan berkesan.

Syurga adalah kampung halaman asal manusia (Nabi Adam AS dan Siti Hawa). Dunia bukanlah tempat tinggal abadi bagi manusia. Memang sepatutnya kita merindui dan bercita-cita untuk kembali ke kediaman asal yang penuh kenikmatan.   Di dunia kita ibarat musafir yang seharusnya sentiasa sedar dan tidak terpedaya dengan kehidupan dunia sehingga melupakan akhirat destinasi akhir yang dituju. Justeru, manafaatkan masa dan peluang semasa di dunia dengan sebaik-baiknya.

Perlunya kita menjalankan syariat yang diwajibkan dan menjauhi segala larangan Allah. Sekiranya terlalai atau tersalah langkah, cepat-cepat beristighfar dan bertaubat dan mohon ampunan dan rahmatNya. Mudah-mudahan kita kembali ke kampung akhirat dengan selamat dan mendapat keredhaanNya. (Semata-mata dengan rahmatNya jua)...amin..

Musafir Menjalani Kehidupan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillah selawat dan salam atas Junjungan mulia Rasulullah SAW keluarga serta sahabat baginda (Allahumma solli ála Muhammad waála alihi wasahbihiwassalam).

Jika kita merenung diri kita dan perjalanan hidup yang kita lalui, pasti kita dapat menyedari bahawa kita memang merupakan musafir. Bila bermusafir maksudnya meniti suatu perjalanan yang ada permulaan dan ada destinasi yang dituju. 

Kita memulakan perjalanan hidup kita di dunia ini, mulai dari hidup sebagai janin dalam rahim ibu kita, sebelumnya kita 'tiada''. Allah memperingatkan kita tentang keadaan tersebut seperti firmanNya dalam Surah Al-Insan (76:1-5) :
1. Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dan masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut.
2. Sungguh, Kami telah mencipta manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
3. Sungguh, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.
4. Sungguh, Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.
5. Sungguh, orang-orang yang berbuat kebajikan akan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur (satu mata air di syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya).

Boleh dikatakan setiap tahun kita meraikan hari jadi bersama-sama keluarga atau rakan taulan. Alangkah baiknya semasa kita menyambut hari jadi bahkan setiap masa dengan benar-benar bersyukur kepada Pencipta kita seperti dalam firman Allah di atas. Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang memperingatkan kita tentang perjalanan hidup kita, daripada 'tiada', diciptakanNya lengkap dengan pendengaran dan penglihatan untuk diujiNya. Secara saintifik memang terbukti bayi mendengar dahulu baru melihat. Jadi hidup kita sebenarnya sentiasa dalam keadaan menjalani ujian Allah, mudah-mudahan kita sedar tentang hakikat ini dan sentiasa berwaspada agar tidak gagal dalam ujian.

Allah juga menunjukkan kita jalan yang perlu kita tempuhi yakni jalan yang lurus (Sirotulmustaqim).  Dalam hal ini manusia terbahagi dua iaitu: 
i) yang bersyukur atas petujuk jalan yang lurus oleh PenciptaNya dan 
ii) yang kufur yakni tidak mahu mengikut jalan yang lurus tersebut. 

Menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengingati Allah dan memohon dengan rendah hati kepadaNya agar memimpin kita ke jalan yang lurus. Sekiranya selain daripada Allah menjadi tujuan, maka kita terpesong dari jalan yang lurus tersebut. Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menyediakan remedi untuk kita yakni dengan membaca Surah Al Fatihah (1:5-6) yang terjemahannya: Akan Dikau kami sembah dan akan Dikau kami mohon pertolongan. Tunjukkilah kami jalan yang lurus. [Ummul Kitab yang menjadi rukun qauli untuk dibaca dalam solat, yakni sehingga telinga kita dapat mendengarnya].

Di dunia musafir kita berakhir dengan kematian apabila roh meninggalkan jasad sehingga jasad tidak berfungsi langsung malah binasa, tetapi roh kita tetap hidup dan untuk meneruskan musafir di alam barzakh dan akhirnya kita dibangkitkan semula untuk dimasukkan Allah ke salah satu destinasi akhir samada ke syurga dengan segala kenikmatannya atau neraka dengan azab yang tidak terhingga (naúzubillah). 

Lauhaulawalaquwatailla billahiáliyilázim, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah jua. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan lulus dalam ujianNya semasa kita menjalani hidup di dunia ini, dan semoga akhirnya memasukkan kita ke dalam syurga dengan rahmatNya amin... Ya Rabb

Tuesday, January 29, 2013

Sekadar Catatan Pengalaman Kehidupan dan perkongsian Ilmu (Setelah sekian lama tertangguh)....

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milik Allah. Setelah lebih dua tahun  akaun blog ini diwujudkan, baru malam ini blog ini dapat direalisasikan dengan izinNya. Mohon pertolongan Allah agar ini dapat menjadi wadah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam menempuh perjalanan hidup ini sebagai musafir menuju destinasi yang pasti semata-mata keranaNya dan mengharap keredhaanNya jua...

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...