Wednesday, March 13, 2013

Qadar Yang Lebih Halus: Mari Kita Renungkan Nafas Kita


 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Ingin saya kongsikan bersama di sini tentang merenung ''qadar" pada tahap yang lebih halus iaitu nafas kita.  

Biasanya kita kurang memerhatikan nafas kita kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah payah dan dianggap remeh untuk diperhatikan. Perkara yang dianggap remeh ini perlu kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam perkaitannya dengan perjalanan qadar. Kita tanya diri kita apakah setiap nafas yang kita tarik dan hembus itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah SWT tentukan? Adakah setiap tarikan dan hembusan nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai qadar lagi yang terjadi?. Perkara yang dianggap kecil ini harus direnung secara mendalam agar kita mendapat pengertian tentang qadar secara lebih halus dan terperinci.

Nafas ialah udara yang keluar masuk pada badan kita melalui hidung dan mulut. Satu hembusan udara yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita serta menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi dengan kiraan hari dan jam. Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan nafas itulah umur kita.

Kita melihat qadar sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam skop yang luas. Sikap memandang qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada  berpegang kepada qadar. Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan melihat qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas. Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku qadar mengikut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah SWT tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah SWT dan apabila jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati. 

Jika kita dapat melihat perjalanan qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat qadar pada setiap detik dan pada setiap kejadian. Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang berdetik di atas bumbung rumah kta adalah mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah SWT. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah SWT. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah SWT. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah SWT. Tidak ada satu pun yang menyimpang dari qadar menurut ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah SWT al- Latif, Maha Halus, tidak ada sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiranNYa. Semua mahkluk berjalan di atas landasan qadar yang diaturkanNya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan perjalanan penciptaanNya.  
A056



(Surah Hud 11: ayat 56). Terjemahannya: Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan tuhan kamu. Tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

A022

(Surah al Hadid 57:ayat 22) Terjemahannya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu mudah bagi Kami.


Allah SWT menetukan ketentuan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah SWT. Malaikat hanya menjalankan perintahNya. Apa yang ada pada sisi malaikat boleh diubah olehNya, tetapi apa yang ada di sisiNya tidak pernah berubah. Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan memiliki ketentuan yang mutlak. Doa dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan. ilmu Tuhan meliputi yang awal dan akhir. Segala sesuatu telah ada pada ilmuNya sebelum ia berlaku lagi. Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah SWT. Malaikat dan manusia tidak memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah SWT perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga ia menjadi sesuai dengan kehendak Allah SWT.


(Dengan izin daripada Syarah al Hikam dua- Sufi Islam Darul Iman)




Monday, March 11, 2013

Mari Kita Mulakan Menghafaz Al Quran

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Hujung minggu sudah saya telah menghadiri seminar "Kaedah Jibril-Teknik Mudah dan Praktikal Menghafaz al-Quran". Saya hanya bersetuju apabila anak mengajak saya dan suami ke seminar tersebut dan beliau telah mendaftarkan kami secara on-line. Saya tidak pernah tahu secara spesifik tentang kaedah tersebut, sekadar pernah mendengar orang menyebut Kaedah Jibril. Dalam hati saya meneka, mungkin nama kaedah tersebut ada kena mengena dengan peristiwa malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW. Saya pergi ke seminar berkenaan dengan hati terbuka untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentangnya. Saya juga katakan dalam hati " Pasti ada hikmah dan kebaikan di sebalik takdir Allah menghantar kami untuk mengikuti seminar ini". Terjadinya sesuatu bukan tanpa sebab atau hanya secara kebetulan. 



Memang pernah terlintas di hati untuk menghafaz al Quran, bukan sahaja surah-surah     penting seperti Surah Yasin dan As Sajdah. Yang berjaya dihafaz hanyalah beberapa surah lazim untuk dibaca dalam solat (Al Fatihah tidaklah boleh diambil kira sebab tanpanya tidak sah solat). Surah yang paling panjang berjaya dihafal ialah Surah Al Mulk (cuma 30 ayat). Itupun mengingatkan fadilat surah tersebut sebagai pemberi syafaat sebagai penyelamat daripada azab kubur dan hadis Rasulullah SAW "Aku suka jika Surah Al Mulk ada dalam hati setiap umatku". Walaupun surah Yasin telah berulang-ulang dan banyak-banyak kali dibaca sehingga apabila ada orang membacanya, mampu membaca bersama-sama tanpa melihat musyaf Al Quran. Tapi jika disuruh baca sendiri-sendiri tanpa melihat Al Quran-impossible rasanya. Impian nak menghafaz al Quran akhirnya dipendamkan jauh di lubuk hati bagaikan tidak mungkin akan timbul kembali.



Selepas separuh hari mengikuti seminar menghafaz al Quran dengan Kaedah Jibril, impian yang sudah sekian lama dipendam, rasanya timbul kembali. Ustaz Muhammad Asraff Ayob Al-Hafiz  (pengasas kaedah ini) sangat bersungguh memberikan motivasi untuk menghafaz Al Quran, sekurang-kurangnya surah-surah penting termasuk Yasin, Al Waqiah, Ar Rahman dan sebagainya. Beliau menekankan tentang pentingnya untuk menghafaz, memahami dan mengamalkan kandungan Al Quran terutamanya bagi meraih keberkatan dalam hidup. Dengan keazaman yang tinggi, teknik yang betul dan keyakinan penuh kepada Allah, in sya Allah impian untuk menghafaz Al Quran akan dapat dicapai.



Kaedah ini dinamakan demikian sempena dengan nama malaikat penghantar wahyu yakni Malaikat Jibril. Dalam peristiwa penurunan wahyu pertama, Malaikat Jibril telah memeluk erat baginda Nabi Muhammad sehingga hampir sesak nafas sambil menyerukan Iqra' (bacalah) sebanyak dua kali dan setiapkalinya dijawab oleh Nabi SAW "Saya tidak boleh membaca". Akhirnya selepas pelukan yang ketiga Malikat Jibril terus membacakan ayat pertama daripada Surah Iqra'. Kaedah yang diasaskan oleh Ustaz Asraff ini banyak menggunakan angka tiga, seperti tiga kali ulang, tiga kali waktu solat dan tiga baris. Kaedah ini memerlukan komitmen 30 minit sehari untuk menghafaz tiga baris al Quran sehari. Tiga puluh (30) minit tersebut termasuk 5 minit pembiasaan, 15 minit hafazan dan penggabungan dan 10 minit pengukuhan. Tiga baris ayat yang telah dihafaz perlu diulang 3 kali  yakni sebelum solat, dalam solat dan selepas solat pada hari itu. Untuk hari seterusnya, dilakukan proses yang sama untuk 3 baris berikutnya. Ustaz menasihatkan supaya memulakan hafazan pada hari Isnin, berterusan hingga hari Jumaat. Hari-hari hujung minggu, diperuntukan untuk pengulangan semua barisan ayat-ayat yang sudah dihafaz.



Menurut Ustaz Asraff tenik ini disarankan untuk mereka yang sibuk dengan urusan harian. Dengan teknik ini, kita menetapkan target hafazan harian dan melaksanakan pelan tindakan bagi mencapai target berkenaan. Melalui kaedah atau teknik ini, menghafaz al Quran bukanlah sesuatu yang mustahil bagi sesiapa sahaja. Namun bukanlah ia sesuatu yang terlalu mudah kerana masih perlu diperuntukkan masa, kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Termotivasi dengan seminar yang telah diikuti, saya berazam untuk mencuba secara serius kaedah ini. Sebagai permulaan, saya telah memilih untuk menghafal surah al Waqiah. Alhamdulillah, ketika saya menulis entri ini, 50 ayat yang pertama sudah dapat dihafal. 

Semoga Allah kurniakan kekuatan dan keikhlasan kepada saya untuk meneruskan usaha menghafaz ini semata-mata untuk mencari keredhaanNya dan hanya menggantungkan harapan dan pertolongan dariNya  semata-mata jua "Laa haula walaa qquwwata ila billah''. Semoga Allah perkenankan doa untuk mencapai impian ini.



Wassalam.



Saturday, March 2, 2013

Mohon Allah kurniakan Hikmah (Kebaikan Yang Sangat Banyak)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita dalam kita menjalani musafir kehidupan dan selagi diizinkanNya menghirup udara di bumi milikNya ini. Segala sesuatu yang kita jalani dan nikmat yang diperolehi hanyalah semata-mata kurniaanNya, Alhamdulillah.

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang berulang-ulang kali menyatakan tentang nikmat kurniaanNya yang wajib disyukuri oleh hamba-hambaNya. Tentang kurniaanNya,  Allah SWT menerangkan sesuatu yang apabila dikurniakan kepada hambanya adalah sebenar-benarnya "suatu kebaikan yang yang banyak". Firman Allah dalam Surah Al Baqarah (2:269)

A269

Terjemahannya: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya'.
(He granteth wisdom to whom He pleased; and he to whom wisdom is granted receiveth indeed a benefit overflowing; but none will grasp the Message but men of understanding).

Perkataan hikmah di dalam Al Quran disebut sebanyak 20 kali. Terdapat beberapa maksud ''hikmah'' berdasarkan dalil-dalil daripada Al Quran yang dikemukan oleh para pentafsir: antaranya ialah kenabian; syariat-syariat (tentang halal dan haram) ;  pengetahuan mendalam tentang al Quran (sebahagian besar penafsir berpandangan begini); sampainya kepada hakikat pesanan Tuhan dalam ucapan dan perbuatan; pengetahuan agama yang luas; pemahaman dan penerimaan yang benar daripada agama; termasuklah pendapat Allamah Thaba-thabai RA yang menyeluruh yang merangkumi semua pendapat yang lain (ruj. Islam quest.net).

Berkaitan dengan hikmah, Rasulullah SAW bersabda "Al Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia didapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya (riwayat At Tirmidzi). Dapat difahamkan daripada ini bahawa hikmah merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan manafaat termasuklah apa jua bidang ilmu yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

Lantaran mengetahui betapa banyaknya kebaikan di sebalik kurniaan hikmah oleh Allah SWT, seharusnya menjadi cita-cita dan impian setiap kita untuk mendapatkannya. Al Quran menyatakan bahawa Allah mengurniakan hikmah  kepada para nabi, antaranya:A113

Terjemahannya: Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad ), nescaya berhasillah cita-cita segolongan daripada mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikit pun; dan (selain itu) Allah menurunkan kepadamu Kitab (Al Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar (An Nisaa' 4:113).

Dalam Surah An Anbiyaa' (21:79) 
A079

Terjemahannya: Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan bagi gunung ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Nabi Ibrahim AS, yang sememangnya dikurniakan hikmah oleh Allah sebagai seorang Nabi, namun baginda tetap berdoa kepada Allah memohon dikurniakan akan hikmah seperti dalam Surah as Syu'ara (26:83)A083

Terjemahannya: Wahai Tuhanku, berikanlah daku hikmah (pengetahuan agama), dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.

Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah agar dikurniakan kita dengan hikmah dalam kita menjalani setiap detik kehidupan di dunia ini. Doa seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS seperti di atas boleh kita jadikan doa amalan kita, begitu juga dengan ayat 79 Surah An Anbiyaa seperti tertulis di atas. Semoga Allah berkenan mengurniakan kita dengan 'kebaikan yang sangat banyak", amin... Ya Rabb.

Lahaula wala quwwatailla billahiláliyilázim

Wassalam. 


Rujukan:

Surah.My tafsiran Al Quran Bahasa Melayu 

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...