Saturday, November 9, 2013

Mari Kita Dirikan Solat Sunat Dhuha

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirabbilálamin
WasolatuwassalamálasaiyidaMuhammad waálaalihi wasahbihiajmain

Solat sunat Dhuha adalah salah satu solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Bercerita tentang solat Dhuha ini, terimbau kembali kenangan semasa pertama kali melakukan ibadat umrah bertahun-tahun yang lalu bersama-sama tiga orang anak. Ketika itu mereka masih lagi di sekolah rendah. Salah satu yang dirasakan keperluan ketika itu ialah membawa bersama-sama buku panduan amalan terutamnya panduan solat-solat sunat. Seperti kebiasaan jemaah yang lain-lain juga, waktu berada di Masjidil Haram diguna dengan sebaik-baiknya termasuk mendirikan bermacam-macam solat sunat yang tidak biasa dilakukan sebelumnya, termasuklah solat sunat Dhuha. Pada hari pertama di Masjidil Haram, saya mengajak kedua-dua anak perempuan untuk bersama-sama mendirikan solat Dhuha.

Seketika selepas selesai memberi salam solat Dhuha, saya terkejut dengan bunyi yang agak kuat betul-betul di hadapan saya. Rupa-rupanya ada seorang lelaki Arab meletakkan satu guni tamar di hadapan kami. Tidak perasan saya dari arah mana dia datang, tiba-tiba sahaja muncul. Dia terus mengambil buah-buah tamar dari dalam guni tersebut dan memberikannya kepada saya dan anak-anak yang di kiri dan kanan saya. Apabila datang beberapa orang perempuan berjubah hitam dengan anak-anak mereka, lelaki Arab tersebut berkata-kata dengan suara yang agak keras dan tidak mahu memberikan kepada mereka (mungkin mereka memang biasa meminta-minta di masjid, Allahuálam). Peristiwa berkenaan menjadikan saya merasa benar-benar kagum dan terpegun. Saya benar-benar merasakan Allah mahu menunjukkan secara serta merta kepada saya dan anak-anak bahawa Allah memakbulkan doa hamba-hambaNya. Fadhilat solat sunat Dhuha bertepatan dengan yang diucapkan dalam doa solat sunat tersebut. Saya seolah-olah ditanya: apa kurang yakinkah kamu kepada janji dan sifat Maha Pemurah, Maha Pemberi (Al Wahhab) Allah? Tidak tergambarkan rasa terharu di hati saya mendapatkan sedekah buah kurma yang sangat enak dan manis dengan tidak disangka-sangka. Saya kongsikan kurma tersebut dengan suami dan anak-anak, dan saya simpan sedikit untuk dibawa balik ke Malaysia untuk diberikan kepada ibu saya juga.

Peristiwa berkenaan sangat terkesan di hati saya. Sering saya mengulang tayang cerita berkenaan bersama anak-anak, juga dikongsikan dengan sanak saudara dan sahabat-sahabat sebagai satu pengalaman menarik semasa di Masjidil Haram dan sebagai motivasi untuk sama-sama mendirikan solat sunat Dhuha. 

Maksud doa solat sunat Dhuha:
"Ya Allah! Sesungguhnya waktu dhuha itu, waktu DhuhaMu, kecantikan itu kecantikanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah! sekiranya rezekiku ada di langit maka turunkanlah. Jika ada di bumi keluarkanlah. jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah dengan kebenaran (berkat) dhuhaMu, kecantikanMu, kekuatanMu dan kekuasaanMu, limpahkan kepadaku apa yang engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Hadith Rasulullah SAw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memelihara jaminan (yang ada pada) solat Dhuha, terampun baginya dosa-dosa sekalipun (dosa-dosanya) umpama buih di lautan.

Semoga Allah permudahkan kita semua untuk melakukan amal kebaikan termasuklah solat Dhuha. Semoga juga diikhlaskan hati kita oleh Allah SWT melakukannya semata-mata keranaNya. Urusan rezeki kita  serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Lahaulawalaquwwataillabillah

Thursday, November 7, 2013

Bilakah waktu, di manakah tempat dan siapakah yang mustajab doa

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirabbilálamin
Washolatuwassalam ála asyrafilanbiyaiwalmursalin wa''alaalihi wasahbihi ajamain

Kita sebagai hamba Allah sentiasa dalam keadaan memerlukan dan bergantung hanya kepadaNya setiap saat detik waktu. Seperti dalam Surah Al Ikhlas, ayat 2: 
A002
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat"

Justeru, telah diajarkan kepada kita untuk berdoa dan memohon hanya kepadaNya bagi sebarang keperluan kita baik secara umum atau khusus. Dalam kita berdoa, lebih elok sekiranya kita mengetahui akan ketika/waktu yang mustajab untuk berdoa menurut hadith Nabi SAW untuk dimanafaatkan. Di samping   waktu mustajab, terdapat juga tempat-tempat mustajab untuk berdoa. Tambahan lagi, pada masa kita berdoa untuk sebarang hajat, kita juga boleh meminta orang-orang yang diriwayatkan mustajab doanya oleh hadith Nabi untuk mendoakan kita.

Waktu/ketika mustajab doa:
1. Antara azan dan iqamah
2. Ketika akan memulai solat dan sesudahnya
3. Ketika sujud dalam solat
4. Ketika 'ítidal akhir dalam solat
5. Ketika antara waktu zohor dan asar
6. Ketika waktu asar dan maghrib
7. Pada waktu asar hari Jumaat
8. Pada hari Jumaat dan malamnya
9. Ketika di tengah malam
10.Ketika sepertiga akhir malam dan waktu sahur
11.Ketika khatam Al Quran
12.Ketika hujan 
13.Pada bulan Ramadhan, terutama malam Lailatulqadar
14.Pada malam pertama hari Raya Aidilfitri
15.Pada malam pertama Hari Raya Haji
16.Ketika khatib duduk antara dua khutbah
17.Ketika khatib turun dari mimbar
18.Pada Hari Arafah, terutamanya di Arafah
19.Ketika berhadapan dengan musuh di medan perang
20.Ketika melihat Kaabah
21.Ketika melihat Masjid Rasulullah SAW
22.Ketika melakukan tawaf

Tempat-tempat mustajab doa:
1. Di pintu Kaabah, dalam Kaabah
2. Di Multazam
3. Di telaga Zam Zam
4. Di belakang makam Nabi Ibrahim
5. Di atas Bukit Safa dan Marwah
6. Di Makam Rasulullah SAW
7. Di Muzdalifah
8. Di Mina
9. Di Jamrah ketiga

Orang-orang yang mustajab doa:
1. Doa ibu bapa kepada anak-anak
2. Doa anak-anak soleh untuk ibu-bapa
3. Doa orang yang teraniaya atau dalam kesusahan
4. Doa seorang sahabat untuk sahabatnya tanpa diketahuinya
5. Doa orang yang sedang dalam musafir
6. Doa orang yang berpuasa sehingga berbuka
7. Doa pemimpin yang adil

Mari kita sama-sama manafaatkan peluang yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk meraih makbul dalam doa-doa yang kita panjatkan. Sebagai seorang yang berakal sejahtera, kita tidak sekali-kali akan mensia-siakan kesempatan yang diberikan, bahkan akan berusaha supaya dapat berada dalam ketika atau tempat-tempat yang telah disebutkan untuk kita memohon dan berdoa dengan khusyuk dan yakin dimakbulkan Allah. Kita juga tidak perlu segan untuk meminta orang-orang yang disebutkan sebagai makbul doanya terutamanya ibu-bapa kita, mendoakan sebarang kebaikan atau hajat yang kita inginkan. Sebagai ibu-bapa, seharusnya kita sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Hindarkan daripada mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti maki hamun kepada anak-anak kita, dikhuatiri ianya akan jadi doa yang dimakbulkan, nauzubillah. Meskipun ada perbuatan atau perkataan anak-anak yang kurang disenangi, tetap maafkan mereka dan doakan kebaikan untuk mereka.

Masih ingat lagi ketika mengandungkan anak-anak dahulu, boleh dikatakan saya tidak pernah lupa meminta ibu bapa dan suami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kedua-dua ibu dan anak dalam kandungan dan dipermudahkan proses melahirkan. Setiap hari Jumaat, dipesankan kepada suami agar menggunakan waktu antara dua khutbah untuk memanjatkan doa. Alhamdulillah, semua kehamilan dan kelahiran anak-anak saya Allah permudahkan. Mungkin ini boleh dikongsikan dengan ibu-ibu yang mengandung.

Elok kita manafaatkan waktu kita bermusafir untuk berdoa dan memohon apa saja kebaikan yang kita hajatkan. Sekiranya ahli keluarga kita, sahabat dan sebagainya yang bermusafir, minta mereka tolong mendoakan kita. Saya sering berpesan kepada anak-anak supaya tidak lupa berdoa untuk diri mereka dan yang lain-lain juga ketika bermusafir. Semoga Allah bimbing kita untuk sentiasa bergantung hanya semata kepadaNya dan menjadikan kita di kalangan orang yang makbul doanya, aamin ya rabbul'alamin. 


Lahaulawalaquwwataillah




Sunday, November 3, 2013

Mereka yang Mewarisi syurga (Menurut Hadith Nabi SAW) Bhg 2

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirrabbilálamin
Wassolatiwassalamuála asyrofilanbiyaiwalmursalin waálaalihi wasahbihiajmain


26. Tiga Golongan Ahli Syurga
Maksud Hadith Nabi SAW "Hendakkah kalian aku beritahukan dengan laki-laki yang dimasukkan ke dalam syurga? jawab mereka, bahkan hai Rasulullah ingin kami dengan yang itu. Katanya, Nabi masuk syurga, orang yang siddiq masuk syurga, orang yang ziarah ke tempat saudaranya di samping kota, tidak ziarah ke sana, kecuali hanya kerana Allah, juga ini masuk syurga". (Riwayat AtThabroni).

27. Wanita yang baik hati/banyak anaknya
Maksud hadith nabi SAW "Hendakkah kalian aku khabarkan dengan wanita-wanita yang akan mewarisi syurga? Itulah mereka yang pengasih sayang, banyak anak, selalu minta maaf kalau dia bersalah, ini tanganku di tangan engkau, aku tidak boleh tidur kecuali engkau redha"(Riwayat AtThabroni).

28. Orang yang berjihad di jalan Allah
Maksud Hadith Nabi SAW "Barangsiapa berdebu kakinya di jalan Allah, nescaya Allah haramkan dia masuk neraka" (Riwayat AtTirmizi).

29. Pelajar yang membangkitkan agama Islam

Maksud Hadith Nabi SAW "barang siapa meninggal dunia dalam keadaan menuntut ilmu, dengan niat hidupnya agama islam. maka antaranya dengan para Nabi cuma satu darjaat dalam syurga"(Riwayat AdDarami).

30. Guru-guru agama yang mengajarkan syariat Islam
Maksud hadith Nabi SAW "Barang siapa pada waktu pagi dan petang, dalam keadaan mengajarkan ilmu agama Islam, maka dia adalah ahli syurga" (Riwayat Abu Naim)
Syaratnya ialah dilakukan tugas tersebut dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

31. Yang manis bicara/solat tengah malam

Maksud hadith Nabi "Sesungguhnya di dalam syurga itu ada beberapa kamar, yang dapat dilihat luarnya dari dalam, dan dalamnya dapat dilihat dari luar. kata seorang sahabat yang datang dari desa, bagi siapa itu wahai Rasulullah?
Jawabnya : Bagi orang yang harum manis dalam perkataan, selalu menjamu orang dengan makanan, berpuasa sentiasa ia biasakan, solat di malam hari, manusia sedang tidur". (Riwayat AtTirmizi).

32. Orang yang dermawan/suri rumah tangga/pembantu
Maksud Hadith Nabi SAW "Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia dan Besar, betul betul akan memasukkan dengan sebab sesuap roti, atau sejemput kurma, atau apa saja yang ada manafaatnya bagi para fakir miskin, tiga orang ke syurga, yakni yang menyuruh supaya barang itu disedekahkan, dan isteri yang memasaknya, dan pembantu yang tolong memberikan kepada tangan si miskin". (Riwayat Al Hakim).

33. Orang yang berkorban di hari Raya Haji
Maksud hadith Nabi SAW "Barang siapa berkorban dalam keadaan senang jiwanya, menuntut keredhaan Allah pada pengorbanabnya, yang demikian itu adalah bahagiannya yang menjadi tembok yang mendinding dari apai neraka ". (Riwayat AtThabroni).

34. Orang yang membesarkan keagungan Allah
Maksud hadith Nabi SAW "barangsiapa menuntut supaya saudaranya bersumpah, tetapi ia tahu bahawa saudaranya itu orang yang biasa berdusta, ia tinggalkan kerana mengingat kebesaran Allah kalau ia bersumpah, maka orang itu diwajibkan untuknya syurga". (Riwayat Abu  Shekh ibnu Haiyyan).

35. Orang yang melaksanakan enam prinsip agama
Maksud hadith Nabi SAW "Jaminkanlah peliharakanlah bagiku enam pokok dalam diri kalian, aku jamin untuk kalian syurga, Hendaklah benar apabila berkata, tepatilah janji apabila kalian berjanji, sempurnakanlah apa-apa yang kalian diamanatkan orang, peliharalah kemaluan kalian, pejamkan mata kalian (dari melihat yang diharamkan), pertahankan tangan-tangan kalian (dari menyakiti orang)". (Riwayat imam Ahmad).

36. Hakim yang adil
Maksud hadith Nabi SAW "Hakim itu ada tiga orang, satu yang ke syurga dan dua yang ke neraka. ada pun yang masuk ke syurga ialah seorang lelaki yang tahu kebenaran, lalu ia laksanakan dengan sebenarnya". (Riwayat AtTirmizi).

37. Orang yang menangis takut kepada Allah
Maksud Hadith Nabi SAW "Tidak masuk api neraka seorang pria yang menangis kerana takut kepada Allah, sehingga air susu dapat kembali kepada tetek".(Riwayat AtTirmizi).

38. Orang yang setia kepada Rasul
Maksud hadith nabi SAW "Sekelian umatku masuk syurga, kecuali orang-orang yang enggan. tidak setia. barangsiapa patuh dan taat kepadaku masuk syurga, barangsiapa tidak setia dan tidak patuh akan daku, sesungguhnya itulah orang yang enggan, tidak setuju". (Riwayat AlBukhori).

39. Orang yang mengekang marah
Maksud hadith Nabi SAW "barangsiapa dapat menahan marah, padahal dia berkuasa untuk melepaskan kemarahannya, nanti dia akan dipanggil Allah di tengah khalayak ramai di hari kiamat, allah kasih kepadanya, bidadari yang mana saja beliau mahu pilih". (Riwayat AtTirmizi).

40. Orang yang mengamalkan penghulu Istighfar
Maksud hadith Nabi "Penghulu doa minta ampun (Allahumma anta Robbi.....) barangsiapa membacanya dengan keadaan yakin penghulu istighfar ini dengan keadaan yakin pada waktu petang, maka apabila meninggal dunia pada malam itu nescaya ia masuk syurga. Dan barangsiapa membacanya dengan keadaan yakin pada waktu pagi, apabila mati ia pada hari itu, nescaya ia masuk syurga". (Riwayat AlBukhori).

41. Orang yang mengharap syurga serta takut api neraka
Mmaksud hadith Nabi SAW "Hanya yang akan masuk syurga itu ialah orang yang mengharap syurga, juga yang menjauhi api neraka ialah yang takut kepada api neraka. juga yang Allah kasihi ialah yang bersifat sayang kepada makhlukNya". (Riwayat alBaihaqi).

42. Orang yang mendapat khusnul Khitam
Maksud hadith Nabi saw "Barang siapa ada pada akhir perkataannya Laillahaillallah nescaya masuk syurga". (Riwayat Abu Daud).
Pernah Nabi SAW berkata pada suatu hari, "Perbaharuilah iman kamu, kata para sahabatnya, bagaimana kami akan memperbaharui iman kami wahai rasulullah, jawabnya perbanyakkan mengucap zikir Laillaha illallah. 
Orang yang kuat imannya, insya Allah kuat juga amal ibadatnya dan tidak mudah terjerumus ke dalam dosa dan maksiat. Juga dalam hadith qudsi bahawa laillahaillallah adalah benteng, sesiapa yang masuk ke dalam benteng Allah, dia aman dari azabnya.

Semoga Allah bimbing dan berikan kekuatan kepada kita untuk beramal ibadat selari dengan panduan yang digariskan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW melalui hadithnya. Kita berdoa dengan penuh harapan semoga Allah merahmati kita dan berkenan memasukkan kita nanti ke dalam syurganya dan menghindarkan kita dari azab neraka, aamin ya Rabbul álamin.

Lahaulawala quwwataillabillah


   

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...