Monday, April 10, 2017

Bismillahirrahmanirrahim,
AllahummasolliálaMuhammad wa'ala aliMuhammad wasahbihiwwassalam



Alhamdulillah kelmarin 9 April 2017, hari Ahad saya bersama beberapa ahli keluarga selamat bermusafir ke Kuantan. Selepas menghadiri kenduri kahwin, kami bertolak ke Kuantan dengan dua buah kereta. Sebuah kereta lagi telah bertolak terlebih dahulu. Kami tiba di Kuantan waktu malam. Oleh kerana ''homestay'' yang kami tempah lokasinya melepasi Tanjung Lumpur, kami mengambil keputusan untuk berhenti makan malam dengan hidangan makanan laut di Tanjung Lumpur dahulu. kami singgah di Restoran Super Top. Kami puas dapat menikmati hidangan masakan laut yang memang menjadi kesukaan keluarga kami termasuk ikan kerapu kukus, tom yam seafood, sambal udang, ikan masak sambal petai, sotong goreng tepung.

Selesai makan malam, kami terus ke ''homestay Penghulu" di Kempadang. Keadaan rumah semi-D tersebut agak selesa bagi kami sekeluarga. Rumahnya masih baru. Halamannya luas.Kkalau Di KL atau Selangor, entah berapa ratus ribu harganya, kalaupun tak mencecah juta. memang betul agaknya bahawa lokasi dan lokasi adalah faktor penting dalam menentukan harga sesuatu 'property''.

Tujuan utama musafir kami ke Kuantan ialah untuk mengadakan lawatan ke sebuah maahad Tahfiz di situ. Kami ingin mendengar sendiri kisah, pengalaman serta pengorbanan mudir maahad berkenaan, Ustaz Jamal pada peringkat awal pembangunannya sehinggalah kepada keadaannya pada hari ini. Sebelumnya, pihak kami telah menghubungi beliau dan telahpun membuat temujanji dengannya.

Alhamdulillah Ustaz Jamal menerima lawatan kami dengan baik. Beliau telah sudi berkongsi pengalamannya dalam membangunkan MABIQ. Tidak sedikit pengalam sukar dan cabaran yang telah beliau hadapi terutama diperingkat awal penubuhannya. Malah seketika beliau sebak dan menitiskan air mata mengenangkan detik detik yang sangat bermakna yang beliau telah lalui. Kami sangat teruja mendengar perkongsian beliau. Ustaz Jamal juga tidak lokek untk memberikan nasihat dan pandangan dalam menghadapi cabaran yang mungkin dihadapi bagi sesiapa saja yang beminat atau bercadang menubuhkan maahad tahfiz berdasarkan pengalamannya sendiri.

Insyaa Allah, diharaplan mudah mudahan dengan mendengar perkongsian beliau, apa yang mendorongnya, cabaran yang dihadapi dan pengorbanan yang telah beliau lakukan demi mencapai hasrat agar Al Quran terlekat di dada anak anak muda, dapat pula menyuntik semangat ke arah itu kepada kami sekeluarga. Sudah pasti apa yang Ustaz Jamal lakukan adalah satu amal jariah yang terpuji yang insyaa Allah akan menjadi saham yang sangat sangat diharapkan di akhirat nanti. Allahumma aamiin Ya Rabbalálamin.


Cappadocia, hotel gua dan Surah Al Kahfi: kenangan yang sukar dilupakan

Bismillahirrahmanirrahim

AllahummasolliálaMuhammad waálaaalihi wasahbihi wassalam

Teringatkan pengalaman melancong atau bermusafir ke Cappadocia, Turki. Sebelumnya kami suami isteri telah menghadiri kovokesyen anak kami di Mesir sambil menggunakan peluang tersebut untuk bercuti dan melancong ke negeri para ambia tersebut. Kami kemudian meneruskan percutian ke Turki dengan menaiki pesawat Egypt Air dari Iskandariah ke Istanbul. Di Istanbul kami tinggal di ''homestay'' yang diuruskan oleh seorang pelajar Malaysia. Dari situ kami hanya perlu menaiki tram untuk ke destinasi popular pelancongan sekitar Istanbul termasuk Masjid Biru, Masjid Sultan Ahmad, Muzium Islam, menikmati makanan laut di restoran pinggir Laut Bhosporus dan sebagainya.

Destinasi seterusnya ialah Cappadocia. Kami menaiki bas ekspres/bas metro dari Istanbul ke Cappadicia. Perjalanan dengan bas ke sana boleh tahan lamanya, terasa lenguh juga belakang kami. Alhamdulillah kami dapat tidor semasa dalam perjalanan. Dengan tidor dapatlah juga rehatkan minda kami dan tidaklah terasa lama sangat perjalanan tersebut.

Cappadocia bandar yang kurang sibuk dengan lanskap semula jadi yang sangat unik. Banyak terdapat struktur seperti bukit bukit gondol dengan bentuk yang unik. Penduduk tempatan memberikan nama nama tertentu kepada bukit bukit tersebut bersesuaian dengan mirip bentuk bukit tersebut.



Semasa di sana kami diberi pilihan samada mahu tinggal di hotel biasa atau hotel gua. Saya memilih untuk tinggal dan bermalam di hotel gua semata mata ingin merasakan pengalaman baru. Perjalanan ke hotel gua agak berliku liku dan mendaki bukit dengan kenderaan. Akhirnya kami sampai ke hotel gua kami. Ada juga rasa khuatir sekiranya runtuh pula gua tu. Agak sejuk di dalam gua tersebut. Ada dipasangkan ''heater'' tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. kami tidur berselimut tebal. Selepas solat Isyak, sebelum melelapkan mata, saya mengambil Al Quran. Sebelum membukanya, saya berkata kata di dalam hati "Ya Allah, aku nak baca Al Quran ni sebelum tidur.  Ya Allah, aku mohon Engkau tunjukkan mana mana saja ayat untuk aku baca pada malam ini dalam keadaan badanku yang agak keletihan ini dan pertama kali tidur dalam gua Ya Allah". Dengan membaca Bismillah...dan dengan memejamkan mata, lembaran lembaran mukasurat Al Quran berlari antara jari jari tangan dan kemudian berhenti pada muka surat yang saya berniat untuk membacanya. Apabila aku buka mata, saya benar benar terkejut apabila mukasurat yang  dibuka adalah permulaan surat Al Kahfi. Saya rasa teruja sangat sebab ketika itu kami berada di dalam gua. Kahfi bermaksud gua. Saya kejutkan suami yang baru terlelap untuk berkongsi perasaan teruja saya dan menunjukkan mukasurat pertama surat tersebut yakni muka pertama surah Al Kahfi kepadanya. "Allah suruh saya baca surah Al Kahfi malam ni" ujar saya..

Surah Al Kahfi mengandungi kisah pemuda pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang kafir dan zalim ke dalam gua. Mereka kemudiannya  ditidurkan oleh Allah SWT selama tiga ratus sembilan tahun. Surah ini juga menceritakan kisah Nabi Musa AS berjalan atau bermusafir bagi mencari ilmu untuk berguru dengan hamba Allah yang telah dikurniakan ilmu laduni. Diriwayatkan bahawa hamba Allah berkenaan ialah Nabi Khidir AS. Surah ini juga mengesahkan tentang pengalaman musafir Zulkarnain. Memandangkan keadaan kami yang sedang bermusafir dan menginap pula di dalam hotel gua,  Sehingga ke hari ini apabila saya baca surah Al Kahfi pada hari Jumaat terutamanya, saya pasti teringat peristiwa ini. Kisah ini sangat memberi kesan dan kekal menjadi kenangan yang sukar saya lupakan. Wallahu'alam.

Thursday, April 6, 2017

Four Guided Steps In The Quran for Self transformation (from Ustaz Nouman Ali Khan)

Bismillahirrahmanirrahim

AllahummasolliálaMuhammad waálaaliMuhammad wasohbihi wassalam

Alhamdulillah, dapat kesempatan mengikuti ceramah secara ''live'' Ustaz Nouman Ali Khan pagi tadi (6 April 2017) tentang "Empat Langkah Panduan Dalam Al Quran Bagi  Transformasi Diri (Four Guided Steps In The Quran for Self Transformation). Ustaz Nouman berkongsi pengalamannya bagaimana beliau mula mula mempelajari tentang agama Islam daripada ustaz dan masjid yang berbeza beza, yang menyebabkan beliau keliru dan tidak memperolehi ilmu yang jelas tentang Islam.Sehinggalah beliau bertemu dengan seorang guru pada bulan Ramadhan yang mengajarkannya Al Quran dengan terjemahan. Mulai dari situlah Ustaz Nouman merasakan satu hubungan yang bermakna dengan Al Quran dan berminat untuk mendalami Al Quran. Beliau berazam untuk terus mendalami Al Quran dan akan mengajarkan teknuk yang diajarkan oleh gurunya kepada orang lain.

Daripada pengalaman beliau dalam mempelajari Al Qurran atau mentaddabur Al Quran, belau sangat terkesan dengan Surah Al Jumaah yang 'resonate'dengan beliau dalam proses dan perjalanannya mempelajari dan mentaddabur Al Quran yang telah membaa transformasi dirinya secara dalaman dan luaran. Surah Al Jumaah adalah surah Madani dalam kategori surah Musabbihah yakni surah yang bermula dengan ''Yusabbihulillah...." yang bermaksud "declare Allah's perfection" (menyatakan tentang kesempurnaan Allah). Surat ini bermula dengan pernyataan kesempurnaan Allah dengan empat namaNya yang mulia (alma ul Husna). Selanjutnya Ustaz Nouman membaca dan menafsirkan ayat 1 hingga 3 daripada Surah Al Jumaah.

Terjemahan ayat ayat tersebut adalah seperti berikut:
1. Apa yang ada di langit dan apa ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah. Maharaja, Mahasuci, Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana.

2. Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, meskipun sebelumnya, mereka benar benar dalam kesesatan yang nyata.

3. dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah  Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana.

(4. Demikianlah kurnia Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki; dan Allah memiliki kurnia yang besar).

Setiap yang ada di langit seperti matahari dan yang di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah SWT. Empat nama Allah yang disebutkan dalam ayat pertama iaitu:
1. Al Malik      .(.King)
2. Al Quddus     (Pure)
3. Al Aziz          (Authority)
4. Al Hakim      (Wise)

 Al Malik (King) memiliki kekuasaan/authority serta sangat dihormati. Al Quddus bermaksud 'pure' suci bersih daripada sebarang kekurangan dan keburukan. Al Aziz Mahaperkasa menunjukkan kuasa dan authority. Sementara Al Hakim bermaksud Mahabijaksana.

Allah Tuhan mempunyai nama nama seperti disebutkan di atas telah mengutus rasul kepada kaum yang buta huruf, rasul yang daripada kalangan mereka sendiri. Rasul telah diutus kepada kaumnya bagi tujuan:
1. Membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah
2. Menyucikan jiwa mereka
3. Mengajarkan kepada mereka Kitab (undang undang/peraturan)
4. Mengajarkan kepada mereka Hikmah (wisdom)

Sebagai utusan Allah, Rasul menjalankan tugas menyampaikan arahan yang empat tersebut yang hakikatnya berasal daripada Allah Tuhan yang memiliki empat nama yang dibacakan dalam ayat yang pertama. Empat nama Allah  yang disebut dalam ayat pertama sangat bertepatan dengan empat tugas yang perlu dijalankan oleh Rasulullah SAW. Rasul membacakan ayat ayat Allah Maharaja yang sangat berkuasa, mulia dan selayaknya sangat sangat di hormati (King). Tugas menyucikan jiwa kaumnya dengan mengajarkan iman mentauhidkan Allah serta meninggalkan sebarang bentuk syirik.Ini adalah perintah daripada Allah yang Mahaquddus (Pure). Tugas Rasul seterusnya ialah mengajarkan kitab yakni undang undang dan peraturan yang perlu dipatuhi. Perintah ini datangnya daripada Allah yang memiliki kekasaan/authoriy Mahaperkasa (Al Aziz). Rasul juga diperintahkan untuk mengajarkan hikmah (wisdom) kepada kaumnya. Dalam setiap hal Rasul menunjukkan tatacara dan contoh perilaku baginda sendiri untuk diikuti yang mengandungi hikmah (wisdom). Arahan ini bertepatan dengan nama asma ulhusna Mahabijaksana (Al Hakim).

Begitu indahnya seni susunan ayat ayat Allah serta perintah perintahNya yang hanya boleh dihayati sekiranya kita mentadabbur. Al Quran adalah satu mukjizat kepada Rasul kita Muhammad SAW. Sebagai lautan luas yang dalam yang sebanyak mana diselami tidak mungkin dapat menjangkau kedalaman dan keluasannya. Ilmu yang Allah kurniakan kepada kita hambaNya hanya ibarat setitik air sahaja berbanding perbendaharaan lautan yang luas dan dalam tersebut. Amat rugilah sesiapa yang tidak mengambil peduli Al Quran, apalagi kalau mendustakannya. Al Quran adalah kalam Allah tuhan kita yang merupakan mukjizat kepada rasul Nabi Muhammad SAW kekal sehingga akhir waktu.

Berdasarkan pendekatan yang telah diambil oleh Nabi Muhammad SAW, Ustaz Nouman melalui TV Bayyinah telah membangunkan satu pakej yang akan kita bergerak langkah demi langkah dalam memahami dan berinteraksi dengan Al Quran dengan lebih bermakna Bermula dengan membaca sedikit demi sedikit yang buahnya insyaa Allah akan menyucikan jiwa kita insyaa Allah. Seterusnya akan memahami peaturan/kitab yang difirmahkan Allah dalam Al Quran dan seterusnya mamahami hikmah di sebalik ayat ayat Allah. Proses ini berterusan insyaa Allah membawwa kita kepada pemafaman ang mendalam tentang Al Quran.

Program ini boleh diikuti langkah demi langkah  bermula dengan : 1) membaca, memahami dan refleksi Surah Al Fatihah. 2) mengikuti program "Divine speech" yang telah beliau jalankan yang akan benar benar meninkatkan kefahaman kita bahawa Al Quran adalah daripada Allah; Langkah 1 dan 2 adalah selari dengan langkah Rasul iaitu untuk terus membacakan ayat ayat Allah insyaa Allah Langkah 3) mengikuti 'thematic overview'' dan 4)'' çoncise commentary''. Dengan mengikuti secara berulang ulang diharapkan dapat menyucikan jiwa kita insyaa Allah. Langkah seterusnya ialah "deeper look'' yang akan memberikan kefahaman yang mendalam tentang Al Quran dan hikmah disebalik ayat ayat Allah yang dibaca, insyaa Allah.

Mari kita sama sama menyahut ajakan Ustaz Nouman Ali menggunakan pakej TV Al Bayinnah yang beliau telah bangunkan supaya kita Allah Tuhan Rabb kita kefahaman tentang kitabNya serta dikurniakanNya hikmah (wisdom) melalui ikhtiar kita dalam mendekatkan diri kepada Al Quran, mentaddabur kitab suci ini Insya Allah. Ya Allah bantulah kami untuk membaca ayat ayatMu, mentaddabur memahami dan beramal dengan ayat ayatMu. Kami mohon agar Engkau kurniakan kami hikmah, iaitu pemberian yang bererti kebaikan yang banyak dari sisiMu. Allahumma aamiin Ya Rabb.



Wednesday, April 5, 2017

Lima Perkara Yang Akan Ditanyakan Kepada Setiap Orang Di Hadapan Allah Pada Hari Kebangkitan

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummasolliálasaiyidina Muhammad waálaalihi wasohbihi wassalam

Setiap anak Adam tidak akan bergerak daripada tempat berdirinya di hadapan Allah pada Hari Kebangkitan sehingga dia ditanya tentang lima (5) perkara iaitu: hidupnya apa yang ia telah lakukan semasa hidupnya; masa mudanya untuk apa ia telah menggunakan masa mudanya; harta kekayaannya dari mana ia dapati dan untuk apa harta itu ia telah gunakan; dan ilmunya untuk apa ia telah gunakan (Hadith riwayat At Tirmizi).

Bila kita renungkan hadith ini, maka kita sedari bahawa setiap detik yang kita lalui, hidup kita, usia kita, harta benda kita dan ilmu kita semuanya akan dipersoalkan nanti. Kita bertanggungjawab atau accountable atas semua perkara. Sewajarnya kita merasa emas dan khuatir akan nasib kita ketika itu. tidak dapat kita berdolak dalik atau mencari helah, segalanya tercatat secara detail di suratan amalan kita. Bukan masa untuk beralasan di sana nanti.

Sewajarnya kita perlu dan tidak boleh tidak kena bertindak bijak sekarang, semasa kita masih dihidupkanNya di dunia ini. Kita perlu menghisab lima perkara tersebut sekarang. Masa tidak pernah menyebelahi kita. Apakah kita telah gunakan hidup kita seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT iaitu untuk mengibadati Allah SWT. Sudahkah kita benar benar menjadi hamba Allah. apakah kita sudah benar benar beriman dengan enam rukun iman iaitu beriman kepada Allah; beriman kepada para rasul; beriman kepada kitab Allah; beriman kepada malaikat; beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada''dan qadar. Apakah kita sudah mentauhidkan Allah SWT dengan sebenar benarnya dan tidak langsung tercemar oleh syirik. Semua dosa Allah boleh ampunkan tetapi tidak sekali kali dosa syirik, nauzubillah. Semoga Allah SWT pelihara kita daripada dosa syirik.

Apakah kita sudah menjalankan rukun Islam sebagaimana yang disyariatkan seperti yang ditunjuk dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Rukun Islam yang lima: bersyahadah (syahadatain); mendirikan solat; berzakat; berpuasa di bulan Ramadhan; dan mengerjakan haji sekiranya sudah mampu dan cukup syaratnya. Setiap syariat dan amal ibadat yang diwajibkan itu perlu berpandukan sumber daripada Rasulullah SAW. Iman dan Islam perlu di lengkapi dengan ihsan. Komponen ihsan yang seringkali kurang diberikan penekanan atau keutamaan. Ihsan adalah menyedari akan Allah. Apabila kita beribadat merasa seolah olah melihat Allah dan sedar bahawa Allah benar benar melihat kita.

Masa muda kita hanya sekali kita alami. Masa mudalah lumrahnya kita memiliki fizikal yang kuat dan cantik. Jiwa yang bersemangat membara 'darah muda', sekiranya tidak dituntuni oleh iman, Islam dan ihsan, terdedah kepada menurut tuntunan hawa nafsu semata mata. Hawa nafsu sering mengajak kepada keburukan dan ammarah kecuali hawa nafsu yang dirahmati oleh Allah SWT. Beruntunglah sesiapa yang menggunakan masa mudanya yang gagah kuat dan penuh bertenaga untuk mentaati Allah, mentaati Rasullullah SAW. Berjuang untuk agama Allah dengan menjalankan kerja dakwah bagi mengajak manusia kepada iman dan agama Islam.

Kita juga bertanggung jawab terhadap harta yang dimiliki. Mencari dan memiliki harta perlu dengan cara yang halal, tidak dengan tipu muslihat atau menzalimi orang lain. Bagaimana kita menggunakan harta kita.Apakiah kita sudah menggunakannya untuk Islam dengan membayar zakat, bersedekah dan untuk perjuangan fisabilillah. Umpamanya untuk menyokong kerja dakwah dan menyebarluaskan ajaran Islam di muka bumi ini. Sekiranya kita dapat lakukan perkara perkara ini, maka beruntunglah kita insyaa Allah.

Ilmu yang kita perolehi dengan izinNya, apakah kita gunakan ke arah kebaikan. Tidak kiralah ilmu agama, ilmu sains atau apa sahaja cabang ilmu yang kita perolehi, dapat kita manafaatkan untuk kebaikan ummah demi mencari keredhaan Allah. Ataukah ilmu kita itu semata mata kita gunakan untuk mencari kesenangan duniawi semata mata. Umpamanya bagi mengejar pangkat dan harta dan sanjungan manusia sahaja. Yakinlah bahawa sekiranya ilmu kita tidak digunakan ke arah kebaikan untuk manafaat ramai demi mencari redha Allah SWT, maka ilmu tersebut tidak membawa apa apa keuntungan di dunia apa lagi di akhirat. Bahkan kemurkaan Allah yang akan diperolehi, nauzubillah.

Dalam kita menghalusi dan menghisab lima perkara tersebut, masa usia kita yang berbaki di dunia ini jangan sekali kali di sia siakan supaya dapat terus mempergiatkan usaha dan mengambil langkah yang strategik dan efektif supaya kelima lima perkara tersebut menjadi sumber atau resources yang berharga dan terhad bagi bekalan kita untuk menghadapi saat dan ketika kita berdiri di hadapan Allah ST di Hari Kebangkitan di akhirat nanti. Sekaranglah masanya untuk memikirkan dan pertimbangkan secara mendalam apakah sebenarnya 'vision' dan 'mission' yang kita tetapkan bagi persediaan kita untuk kita apabila bertemu dan berdiri di hadapan Allah  kelakRabbuljalil  di Hari Kebangkitan atau Hari Pembalasan. Ya Allah Ya Rabb bantulah kami agar dapat kami lakukan yang terbaik dengan lima perkara yang Engkau titipkan kepada kami agar kami selamat serta mendapat redhaMu di akhirat nanti. Allahumma Aamiin Ya Rabb.





Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...