Wednesday, March 13, 2013

Qadar Yang Lebih Halus: Mari Kita Renungkan Nafas Kita


 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Ingin saya kongsikan bersama di sini tentang merenung ''qadar" pada tahap yang lebih halus iaitu nafas kita.  

Biasanya kita kurang memerhatikan nafas kita kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah payah dan dianggap remeh untuk diperhatikan. Perkara yang dianggap remeh ini perlu kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam perkaitannya dengan perjalanan qadar. Kita tanya diri kita apakah setiap nafas yang kita tarik dan hembus itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah SWT tentukan? Adakah setiap tarikan dan hembusan nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai qadar lagi yang terjadi?. Perkara yang dianggap kecil ini harus direnung secara mendalam agar kita mendapat pengertian tentang qadar secara lebih halus dan terperinci.

Nafas ialah udara yang keluar masuk pada badan kita melalui hidung dan mulut. Satu hembusan udara yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita serta menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi dengan kiraan hari dan jam. Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan nafas itulah umur kita.

Kita melihat qadar sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam skop yang luas. Sikap memandang qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada  berpegang kepada qadar. Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan melihat qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas. Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku qadar mengikut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah SWT tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah SWT dan apabila jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati. 

Jika kita dapat melihat perjalanan qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat qadar pada setiap detik dan pada setiap kejadian. Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang berdetik di atas bumbung rumah kta adalah mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah SWT. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah SWT. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah SWT. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah SWT. Tidak ada satu pun yang menyimpang dari qadar menurut ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah SWT al- Latif, Maha Halus, tidak ada sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiranNYa. Semua mahkluk berjalan di atas landasan qadar yang diaturkanNya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan perjalanan penciptaanNya.  
A056



(Surah Hud 11: ayat 56). Terjemahannya: Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan tuhan kamu. Tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

A022

(Surah al Hadid 57:ayat 22) Terjemahannya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu mudah bagi Kami.


Allah SWT menetukan ketentuan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah SWT. Malaikat hanya menjalankan perintahNya. Apa yang ada pada sisi malaikat boleh diubah olehNya, tetapi apa yang ada di sisiNya tidak pernah berubah. Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan memiliki ketentuan yang mutlak. Doa dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan. ilmu Tuhan meliputi yang awal dan akhir. Segala sesuatu telah ada pada ilmuNya sebelum ia berlaku lagi. Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah SWT. Malaikat dan manusia tidak memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah SWT perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga ia menjadi sesuai dengan kehendak Allah SWT.


(Dengan izin daripada Syarah al Hikam dua- Sufi Islam Darul Iman)




Monday, March 11, 2013

Mari Kita Mulakan Menghafaz Al Quran

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Hujung minggu sudah saya telah menghadiri seminar "Kaedah Jibril-Teknik Mudah dan Praktikal Menghafaz al-Quran". Saya hanya bersetuju apabila anak mengajak saya dan suami ke seminar tersebut dan beliau telah mendaftarkan kami secara on-line. Saya tidak pernah tahu secara spesifik tentang kaedah tersebut, sekadar pernah mendengar orang menyebut Kaedah Jibril. Dalam hati saya meneka, mungkin nama kaedah tersebut ada kena mengena dengan peristiwa malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW. Saya pergi ke seminar berkenaan dengan hati terbuka untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentangnya. Saya juga katakan dalam hati " Pasti ada hikmah dan kebaikan di sebalik takdir Allah menghantar kami untuk mengikuti seminar ini". Terjadinya sesuatu bukan tanpa sebab atau hanya secara kebetulan. 



Memang pernah terlintas di hati untuk menghafaz al Quran, bukan sahaja surah-surah     penting seperti Surah Yasin dan As Sajdah. Yang berjaya dihafaz hanyalah beberapa surah lazim untuk dibaca dalam solat (Al Fatihah tidaklah boleh diambil kira sebab tanpanya tidak sah solat). Surah yang paling panjang berjaya dihafal ialah Surah Al Mulk (cuma 30 ayat). Itupun mengingatkan fadilat surah tersebut sebagai pemberi syafaat sebagai penyelamat daripada azab kubur dan hadis Rasulullah SAW "Aku suka jika Surah Al Mulk ada dalam hati setiap umatku". Walaupun surah Yasin telah berulang-ulang dan banyak-banyak kali dibaca sehingga apabila ada orang membacanya, mampu membaca bersama-sama tanpa melihat musyaf Al Quran. Tapi jika disuruh baca sendiri-sendiri tanpa melihat Al Quran-impossible rasanya. Impian nak menghafaz al Quran akhirnya dipendamkan jauh di lubuk hati bagaikan tidak mungkin akan timbul kembali.



Selepas separuh hari mengikuti seminar menghafaz al Quran dengan Kaedah Jibril, impian yang sudah sekian lama dipendam, rasanya timbul kembali. Ustaz Muhammad Asraff Ayob Al-Hafiz  (pengasas kaedah ini) sangat bersungguh memberikan motivasi untuk menghafaz Al Quran, sekurang-kurangnya surah-surah penting termasuk Yasin, Al Waqiah, Ar Rahman dan sebagainya. Beliau menekankan tentang pentingnya untuk menghafaz, memahami dan mengamalkan kandungan Al Quran terutamanya bagi meraih keberkatan dalam hidup. Dengan keazaman yang tinggi, teknik yang betul dan keyakinan penuh kepada Allah, in sya Allah impian untuk menghafaz Al Quran akan dapat dicapai.



Kaedah ini dinamakan demikian sempena dengan nama malaikat penghantar wahyu yakni Malaikat Jibril. Dalam peristiwa penurunan wahyu pertama, Malaikat Jibril telah memeluk erat baginda Nabi Muhammad sehingga hampir sesak nafas sambil menyerukan Iqra' (bacalah) sebanyak dua kali dan setiapkalinya dijawab oleh Nabi SAW "Saya tidak boleh membaca". Akhirnya selepas pelukan yang ketiga Malikat Jibril terus membacakan ayat pertama daripada Surah Iqra'. Kaedah yang diasaskan oleh Ustaz Asraff ini banyak menggunakan angka tiga, seperti tiga kali ulang, tiga kali waktu solat dan tiga baris. Kaedah ini memerlukan komitmen 30 minit sehari untuk menghafaz tiga baris al Quran sehari. Tiga puluh (30) minit tersebut termasuk 5 minit pembiasaan, 15 minit hafazan dan penggabungan dan 10 minit pengukuhan. Tiga baris ayat yang telah dihafaz perlu diulang 3 kali  yakni sebelum solat, dalam solat dan selepas solat pada hari itu. Untuk hari seterusnya, dilakukan proses yang sama untuk 3 baris berikutnya. Ustaz menasihatkan supaya memulakan hafazan pada hari Isnin, berterusan hingga hari Jumaat. Hari-hari hujung minggu, diperuntukan untuk pengulangan semua barisan ayat-ayat yang sudah dihafaz.



Menurut Ustaz Asraff tenik ini disarankan untuk mereka yang sibuk dengan urusan harian. Dengan teknik ini, kita menetapkan target hafazan harian dan melaksanakan pelan tindakan bagi mencapai target berkenaan. Melalui kaedah atau teknik ini, menghafaz al Quran bukanlah sesuatu yang mustahil bagi sesiapa sahaja. Namun bukanlah ia sesuatu yang terlalu mudah kerana masih perlu diperuntukkan masa, kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Termotivasi dengan seminar yang telah diikuti, saya berazam untuk mencuba secara serius kaedah ini. Sebagai permulaan, saya telah memilih untuk menghafal surah al Waqiah. Alhamdulillah, ketika saya menulis entri ini, 50 ayat yang pertama sudah dapat dihafal. 

Semoga Allah kurniakan kekuatan dan keikhlasan kepada saya untuk meneruskan usaha menghafaz ini semata-mata untuk mencari keredhaanNya dan hanya menggantungkan harapan dan pertolongan dariNya  semata-mata jua "Laa haula walaa qquwwata ila billah''. Semoga Allah perkenankan doa untuk mencapai impian ini.



Wassalam.



Saturday, March 2, 2013

Mohon Allah kurniakan Hikmah (Kebaikan Yang Sangat Banyak)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita dalam kita menjalani musafir kehidupan dan selagi diizinkanNya menghirup udara di bumi milikNya ini. Segala sesuatu yang kita jalani dan nikmat yang diperolehi hanyalah semata-mata kurniaanNya, Alhamdulillah.

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang berulang-ulang kali menyatakan tentang nikmat kurniaanNya yang wajib disyukuri oleh hamba-hambaNya. Tentang kurniaanNya,  Allah SWT menerangkan sesuatu yang apabila dikurniakan kepada hambanya adalah sebenar-benarnya "suatu kebaikan yang yang banyak". Firman Allah dalam Surah Al Baqarah (2:269)

A269

Terjemahannya: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya'.
(He granteth wisdom to whom He pleased; and he to whom wisdom is granted receiveth indeed a benefit overflowing; but none will grasp the Message but men of understanding).

Perkataan hikmah di dalam Al Quran disebut sebanyak 20 kali. Terdapat beberapa maksud ''hikmah'' berdasarkan dalil-dalil daripada Al Quran yang dikemukan oleh para pentafsir: antaranya ialah kenabian; syariat-syariat (tentang halal dan haram) ;  pengetahuan mendalam tentang al Quran (sebahagian besar penafsir berpandangan begini); sampainya kepada hakikat pesanan Tuhan dalam ucapan dan perbuatan; pengetahuan agama yang luas; pemahaman dan penerimaan yang benar daripada agama; termasuklah pendapat Allamah Thaba-thabai RA yang menyeluruh yang merangkumi semua pendapat yang lain (ruj. Islam quest.net).

Berkaitan dengan hikmah, Rasulullah SAW bersabda "Al Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia didapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya (riwayat At Tirmidzi). Dapat difahamkan daripada ini bahawa hikmah merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan manafaat termasuklah apa jua bidang ilmu yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

Lantaran mengetahui betapa banyaknya kebaikan di sebalik kurniaan hikmah oleh Allah SWT, seharusnya menjadi cita-cita dan impian setiap kita untuk mendapatkannya. Al Quran menyatakan bahawa Allah mengurniakan hikmah  kepada para nabi, antaranya:A113

Terjemahannya: Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad ), nescaya berhasillah cita-cita segolongan daripada mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikit pun; dan (selain itu) Allah menurunkan kepadamu Kitab (Al Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar (An Nisaa' 4:113).

Dalam Surah An Anbiyaa' (21:79) 
A079

Terjemahannya: Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan bagi gunung ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Nabi Ibrahim AS, yang sememangnya dikurniakan hikmah oleh Allah sebagai seorang Nabi, namun baginda tetap berdoa kepada Allah memohon dikurniakan akan hikmah seperti dalam Surah as Syu'ara (26:83)A083

Terjemahannya: Wahai Tuhanku, berikanlah daku hikmah (pengetahuan agama), dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.

Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah agar dikurniakan kita dengan hikmah dalam kita menjalani setiap detik kehidupan di dunia ini. Doa seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS seperti di atas boleh kita jadikan doa amalan kita, begitu juga dengan ayat 79 Surah An Anbiyaa seperti tertulis di atas. Semoga Allah berkenan mengurniakan kita dengan 'kebaikan yang sangat banyak", amin... Ya Rabb.

Lahaula wala quwwatailla billahiláliyilázim

Wassalam. 


Rujukan:

Surah.My tafsiran Al Quran Bahasa Melayu 

Tuesday, February 26, 2013

Munajat (Tasawuf Moden oleh Prof Dr Hamka)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Petikan daripada "Munajat"  Allahyarham Buya Prof  Dr Hamka dalam buku "Tasawuf Moden":


Ilahi!
  • Sudah kudengar segala seruan yang disampaikan kepadaku, maka timbullah minat dalam hatiku hendak mengerjakan seruan-Mu, perintah untuk kebahgiaanku. Aku mengaku bahawa semuanya untuk kemaslahatan dan kesucianku. Tetapi kedha'ifan dan kelemahanku selalu mendorongku ke jalan yang tidak Engkau sukai.
  • Tuhanku! Dosa yang aku kerjakan, amat kecil bila dibandingkan dengan besarnya keampunan-Mu. Kalau Tuhan hendak mencelakakanku, gelap jalan yang aku tempuh dan tak seorangpun yang kuat kuasa mempertahankan aku. Kalau Tuhan hendak memberi aku malu, maka terbukalah rahsiaku, walaupun bagaimana aku menyembunyikannya. Kerana itu, ya Tuhanku, sempurnakan awal hikmah-Mu sampai ke hujungnya, dan jangan Tuhan cabut apa yang telah diberikan.
  • Ya Tuhan yang telah memberi aku pakaian cinta, yang selamanya tiada luntur dan usang.
  • Tuhan yang menjaga aku di dalam perjalanan dan diam, berilah aku sedikit cahaya pun jadilah, dari Nur-Mu!
  • Dengan ingat akan Engkau, oh Tuhanku, aku beroleh nikmat. Orang yang berjalan di luar garis-Mu, tersesat dan terpencil.
  • Aku yakin keluasan ilmu-Mu. Engkau tahu apa yang tersimpan di hatiku.
  • Ilahi! Amat banyak kesalahanku, aku sia-sia dan lalai, padahal anugerah-Mu meliputi diriku.
  • Aku sembunyikan dosaku daripada mata makhluk, padahal Engkau selalu melihat dan memperhatikannya. Dalam pada itu, Tuhan sedia pula mengampuni.
  • Demi kebesaran-Mu! Sejahat-jahat makhluk-Mu, tidak ada yang tak merasa jahat kejahatannya yang dikerjakan. Tetapi dia lemah dan dungu sebab itu Engkau ampuni dia.
  • Aku ini dungu hai Tuhan, ampuni aku! 

Ilahi!
  • Sudah amat jauh tersesat perjalananku. Sekarang aku pulang kerana aku tahu, tiap-tiap aku bersalah, dengan nikmat jua Tuhan balasi.


  Kata orang enak sekali berkenalan dengan Raja dari segala 
  Raja. Yang tiada menutup pintunya pada setiap     
  orang  yang hendak menghadap!

 Hatiku telah bergembira, kerana Engkaulah tujuan   
 perjalananku. Tuhan yang menanggung segala 
 perbekalanku. Tuhanku! Maha Besar Engkau!



Sunday, February 24, 2013

Tip of Borneo - Pertemuan Dua Laut

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam



Destinasi lain yang telah dilawati semasa di Sabah ialah Tanjung Simpang Mengayau di daerah Kudat. Saya hampir tiada sebarang maklumat geografi tentang Tanjung Simpang Mengayau sebelum menjejakkan kaki ke sana.



Dari tempat letak kereta, kami perlu berjalan kaki dan mendaki beberapa ratus meter untuk sampai ke tanjung. Subhanallah, sungguh mempersonakan pemandangan di sekitar tanjung. Tiupan angin yang agak kencang bagai mengalu-alukan kunjungan kami. Tidak pernah saya merasakan angin sekencang itu di mana-mana pantai pun sebelum ini, sehinggakan beg tangan bergoyang dan kain tudung di kepala bagaikan nak terbang.



Rupa-rupanya Tanjung Simpang Mengayau adalah satu destinasi pelancongan yang popular dan menjadi kebanggaan penduduk Kudat. Tanjung ini merupakan tempat paling utara di Kepulauan Borneo, terletak pada 'tanduk' seperti yang terlihat pada peta negeri Sabah. Oleh itu, ia juga  dikenali sebagai "Tip of Borneo". Telah dibina satu globe sebagai mercu tanda di tempat pelancongan tersebut.


Musafir Al-ghuroba
globe ''mercu tanda"
Musafir Al-Ghuroba
Ombak yang agak besar





Keadaan laut yang agak bergelora dengan ombak besar tidak memungkinkan kami untuk menghampiri pantai, sekadar menuruni anak tangga yang telah dibina di hujung tanjung. Papan tanda amaran tertera agar tidak melangkaui sempadan yang dibenarkan. 


Musafir Al-Ghuroba
Setakat hujung tangga sahaja


Tanjung Simpang Mengayau merupakan tempat pertemuan dua laut iaitu Laut China Selatan dan Laut Sulu. Menurut Sdr Jo imej yang kelihatan seakan-akan satu garisan panjang di tengah laut menunjukkan sempadan pertemuan kedua laut tersebut seperti yang dirakamkan di bawah. 


Musafir Al-Ghuroba
Garisan pertemuan dua laut
Daripada apa yang saya baca, fenomena pertemuan dua laut tersebut tidak sentiasa dapat disaksikan. Bergantung kepada keadaan angin dari kedua-dua laut tersebut. Setiap tahun sekitar bulan Julai, apabila angin timur laut (Laut Sulu) bergelora dan di barat (Laut China Selatan) tenang, pengunjung berpeluang menyaksikan kedua-dua arus ini bertembung. (Kunjungan kami ke sana pada bulan Julai). 

Saya sangat bersyukur kerana kunjungan ke Tanjung Simpang Mengayau, telah memberi kami peluang untuk menyaksikan fenomena pertemuan antara dua laut.  Allah menerangkan tentang fenomena ini seperti firmanNya dalam Surah Ar Rahman (55:19-20): 
A019
A020

Terjemahannya: Dia membiarkan dua laut mengalir yang (kemudian) keduanya bertemu. Di antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.



Dalam Surah Al Furqan (25:53) Allah berfirman tentang pertemuan dua laut (yang tawar dan yang masin).


A053


Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar dan segar dan yang lain sangat masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang tidak dilampaui.



Penjelasan berdasarkan kajian saintifik oleh pakar kaji samudera dalam abad ke 20 tentang  fenomena pertemuan dua laut boleh dibaca dalam laman web quranandscience.com dan juga buku tulisan Dr Zakir Naik. Saya tidak bermaksud untuk menyentuh fakta saintifik tentang fenomena tersebut.



Al Quran sebagai mukjizat  telah menceritakan tentang fenomena tersebut lebih 14 abad yang silam. Tanpa melalui wahyu Allah, mana mungkin Rasulullah SAW yang berada di negeri padang pasir mengetahui tentang fenomena berkenaan dengan begitu tepat. Subhanallah.

'Pertemuan dua laut' ada disebut di dalam Al Quran dalam Surah Al Kahfi yang menceritakan tentang kisah Nabi Musa AS bermusafir bersama-sama pembantunya. Tujuan musafir Nabi Musa AS ialah untuk mencari seorang guru (dikatakan sebagai Nabi Khidir AS) yang telah dikurniakan oleh Allah dengan ilmu 'ladunni' untuk menuntut ilmu dengannya.
Surah Al Kahfi (18: 60-61)

A060
A061
Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada pembantunya, "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun." (60)
Maka ketika mereka sampai ke pertemuan dua laut itu, mereka lupa ikannya, lalu (ikan) itu melompat mengambil jalannya ke laut itu (61).

Kisah Nabi Musa menuntut ilmu ini seterusnya bersambung hingga ayat ke 82. (sila lihat Al Quran 18:60-82).Tentang signifikannya pertemuan antara dua laut dalam kisah Nabi Musa AS ini dan bagaimana seekor ikan dapat mengesan lokasi pertemuan dua laut tersebut sehingga memaksa diri melompat untuk mengambil jalan keluar, mungkin perlu dirujuk kepada yang arif dalam bidang ini, saya tidak mengetahuinya. Wallahuálam.

Lahaulawala quwwataillabillahiláliyilázim

Wassalam



Wednesday, February 20, 2013

Sabah Negeri di Bawah Bayu- Gunung Kinabalu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Antara memori yang telah terakam dan tersimpan dalam fail-fail di benak fikiran ialah pengalaman semasa bermastautin dan juga kembara atau bermusafir ke destinasi-destinasi tertentu. 

Alhamdulillah, sudah beberapa kali Allah izinkan kami berada di Sabah negeri di bawah bayu. Kunjungan kami ke sana tidak berapa lama dahulu adalah atas beberapa misi khususnya untuk urusan pertunangan dan pernikahan/majlis perkahwinan. Setelah maksud utama tercapai, kami gunakan masa yang terluang untuk melawat ke beberapa tempat yang telah dipilih. Urusan pemilihan tempat dibuat oleh anak-anak, saya dan yang lain-lainnya hanya mengikut saja.
Musafir Al Ghuroba
Hantaran pertunangan

Tempat yang mula-mula dilawati ialah kaki Gunung Kinabalu (nak mendaki rasanya di luar kemampuan kami). Dengan menaiki kenderaan yang disewa khas berserta pemandu (Jo, anak saudara kepada rakan kami di sana), kami bergerak awal pagi ke arah Gunung Kinabalu. Cuaca sangat baik, dari kejauhan sudah mula kelihatan puncak Gunung Kinabalu yang tinggi dan gagah di hiasi awan. Di bawah sinar cahaya Sang Suria yang sedang meninggi, puncak gunung kelihatan bersinar warna keperakan (silvery). Tidak langsung diselindungi kabus. Menurut Jo, agak bernasib baik kami dapat melihat pemandangan yang demikian. Andainya cuaca kurang baik,  puncak gunung sukar untuk dilihat. Kami berhenti di beberapa lokasi untuk menikmati pemandangan yang indah sambil merakam dengan lensa kamera yang dibawa. 

Musafir Al ghuroba
Puncak Gunung Kinabalu


musafir al ghuroba
Menikmati pemandangan


Gunung Kinabalu adalah gunung tertinggi di Borneo dan keempat tertinggi di Kepulauan Melayu dengan ketinggian 13,435 kaki atau 4095 meter. Kiranya dapat sampai ke kaki gunung ini, tempat di mana pendaki gunung memulakan pendakian sudah memadai bagi kami sekeluarga. Dapat juga menikmati keindahan pemandangan serta melihat flora yang terdapat di sana. Cuaca di kaki gunung agak sejuk dan berkabus nipis. Kami meluangkan masa melihat di sekitar taman di kaki gunung sebelum kami bertolak balik ke apartment 'home stay' yang kami sewa.


Musafir al ghuroba
taman di kaki gunung

Allah telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasak bumi yakni untuk mengukuhkannya daripada bergoncang sebagaimana firmanNya dalam Surah An Nahl ayat 15 (16:15).

A015
Terjemahannya : Dan Dia menancapkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan)  sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu dapat petunjuk.

Dalam Surah An Naba ayat 6 dan 7 (78:6-7)

A006

Terjemahannya: Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan

A007

Terjemahannya: dan gunung-ganang sebagai pasak?.

Subhanallah, Mahasuci Allah yang telah menjadikan semua ini yang manafaatnya untuk kita manusia yang telah dipilihNya sebagai khalifah di muka bumi. Gunung-ganang yang menjadi pasak bumi juga menambahkan keindahan landskap ciptaanNya. Sudah seharusnya manusia menghargai ciptaan Allah ini. Antara lain yang kita perlu lakukan ialah menjaga kebersihan persekitarannya daripada pencemaran serta sampah saraf, memelihara flora dan fauna yang terdapat di sana bagi mengekalkan 'biodiversity' semulajadinya. Apabila melihat alam semesta yang indah serta gagah seperti ini, pasti kita akan mengakui akan kebesaran PenciptaNya. 

Perkataan gunung juga telah disebut dalam Al Quran seperti firman Allah SWT dalam Surah Al Isra' ayat 37 (17:37)

A037 
Terjemahannya: Dan janganlah engkau berjalan di  bumi  dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau akan tidak dapat menyamai setinggi gunung ganang.

Kita lihat di sini bagaimana Allah mengingatkan manusia yang bersikap angkuh dan sombong dengan mengemukakan kelemahan dan kekerdilan dirinya.

Tafsir Fi Zilal Quran tentang ayat ini:
[Apabila hati seseorang sunyi daripada kesedaran bahawa Allah Yang Maha Kuasa menguasai para hambaNya, maka dia akan dipengaruhi oleh perasaan takbur dan sombong kerana kekayaan atau kekuasaan atau kekuatan atau kecantikannya, tetapi jika dia ingat bahawa segala nikmat yang ada padanya adalah dari pemberian Allah dan ingat bahawa ia amat lemah di hadapan kekuasaan Allah tentulah dia akan merendahkan perasaan takburnya dan menurunkan perasaan kesombongannya dan akan berjalan di bumi dengan langkah lemah lembut tanpa lagak yang angkuh dan bongkak.

Teguran Allah kepada manusia yang sombong akan kelemahan dan kekerdilannya, seharusnya menyedarkan mereka betapa kecilnya tubuh manusia, berbanding kejadian-kejadian besar yang lain yang telah diciptakan Allah. Manusia hanya kuat dengan kekuatan yang dikurniakan Allah dan kemuliaan yang dianugerahi Allah. Dia hanya mulia dengan roh ciptaan Allah yang dihembuskan ke dalam dirinya untuk membolehkannya membuat perhubungan dan bermuraqabah dengan Allah agar tidak melupainya.

Sifat tawadhuk dan rendah diri yang diserukan Al Quran di samping mencela sifat takbur dan sombong itu merupakan adab terhadap Allah dan juga terhadap sesama manusia, juga merupakan adab individu dan juga sosial manusia. Tiada yang meninggalkan adab ini melainkan manusia yang berhati kecil. Manusia yang sombong dibenci oleh Allah kerana melupakan segala nikmat kurniaanNya dan juga dibenci oleh manusia ramai kerana gaya hidupnya yang angkuh.] 


Menyedari betapa diri kita manusia sangat kerdil berbanding alam ciptaanNya termasuk langit dan bumi berserta gunung-ganangnya pastinya kita tiada pilihan melainkan mengakui kebesaranNya seraya menghilangkan rasa sombong dan angkuh lantas berserah, tunduk, sujud serta patuh  dan taat hanya kepadaNya.

Allahumma á'inni ála zikrika wasyukrika wahusniíbadatika

Lahaulawala quwwata illabillahiláliyilázim


(Insya Allah  bersambung....kembara ke Sabah)








Saturday, February 16, 2013

(Cont.)...Penyejuk Mata - Qurrata áyun

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirabbilálamin

Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

One of my daughters really favours lectures by Ustaz Nouman Ali Khan. She also persuades me to listen and follow his lectures. Recently, I decided to listen to his lecture and I chose the lecture entitled "My favourite doa from Al Quran".

I was so amazed when he was reciting Ayat 74 from Surah Al Furqan (25:74)

 وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

And those who pray "Our Lord! grant unto us wives and offspring who will be the comfort of our eyes (coolness of our eyes) and give us (the grace) to lead the righteous." 

and when he mentioned that this ayat is his favourite doa. Subhahallah it was the same ayat that my late father used to recite in his supplication for us, his zuriat. I really felt that Allah wants  to improve my understanding about this particular ayat and doa. Alhamdulillah.


Ustaz Nouman elaborated further on how "qurrata áyun"  in Arabic means ''coolness of the eyes". Literally, this phrase indicates the state of peace and tranquility, where all the sorrow is removed completely. While the opposite is ''the eyes become warm" that depicts the state of deep depression, sadness, sorrow and calamity. Another literal (ancient Arab) meaning of coolness of the eyes is  to find refuge from  sand storm so that the eyes are protected.

In this doa, we ask Allah, our Lord to grant us or to give us (especially for us) coolness of the eyes i.e. to make our eyes cool by means of our spouses and children and future generations. This doa is even more relevant to all of us today in view of the current situation where the fundamental institution of family is under attack. The threat or 'storm' exists not only outside but also inside the family itself. To some people, the family has become a place of sorrow, depression, anger or rage. With this doa we ask Allah to make our family and home a place for refuge from the outside ''storm''.


Musafir Al-Ghuroba
Qurrata áyun - In sya Allah

The second part of the doa is to make us leaders over those who are pious/righteous and fearful before Allah. We are setting a precedent in our family for future generations. Therefore, we are answerable to the trend that we set. We hope that when we are raised on the judgement day, our family and future generations will elevate us instead of dragging us down. 

I felt like crying when I learned about this beautiful, powerful and intelligent doa that my late father used to supplicate daily, after every solat. I am so grateful to Allah that I pray Allah would always and forever answer my father's doa. I promised to myself now,  In sya Allah I will make this doa after every solat. I will encourage all my children and whoever read this to also make this doa, In sya Allah. 

Lahaulawala quwwataillah billahiláliyilázim.
Wassalam.

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...