Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Saturday, October 12, 2013

Golongan-golongan ''Ibadurrahman" : ciri-cirinya dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin

Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Saya sangat tertarik untuk berkongsi dalam blog ini tentang matlamat atau objektif yang sama-sama kita sewajarnya sedar dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.  Di dalam Al Quran, Allah Tuhan kita Yang  Maha Pengasih (Al Rahman) telah memanggil hamba-hambaNya yang memiliki ciri-ciri dan amalan cara hidup yang tertentu sebagai "hamba-hamba (Allah) Al Rahman" atau "'Ibadurrahman", mereka ini dinyatakan akan memperolehi darjat dan martabat yang tinggi di sisi Allah.

Dalam Al Quran,  Surah Al Furqan, ayat 63 hingga 76, Allah telah menerangkan apakah ciri golongan-golongan berkenaan serta dinyatakan balasan bagi mereka iaitu martabat yang tinggi di dalam syurga kerana kesabaran mereka dan penghormatan serta ucapan selamat untuk mereka di dalamnya. Sementara dalam ayat akhir surah berkenaan (ayat 77), Allah menegaskan bahawa Dia tidak mengendahkan atau memperdulikan manusia melainkan kalau ada ibadat mereka. Bagaimana mungkin boleh beribadat sekiranya manusia mendustakan dan mengingkari Allah. Bagi  golongan tersebut kelak azab Allah akan pasti menimpa mereka.

A063
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

A064
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,

A065
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.

A066
Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk

A067
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

A068
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;

A069
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, 

A070
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

A071
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;

A072
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

A073
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.

A074
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

A075
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

A076


Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

A077
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".

Allah SWT Al-Rahman dengan sifat Maha Pengasih telah menerangkan golongan-golongan yang layak untuk dipanggil "Ibdurrahman". Kita sama-sama dapat menggunakanya sebagai kayu ukur dalam menilai diri kita sendiri apakah kita tergolong dalam salah satu golongan yang disebutkan atau kita memiliki kriteria semua golongan yang telah dinyatakan. Menurut Ustaz Nouman Ali, sekiranya kita memiliki kriteria atau ciri-ciri salah satu golongan yang disebutkan, maka kita sudah boleh dikira termasuk dalam "Ibadurrahman". Allah, Tuhan kita Yang Maha Pengasih tidak meletakkan syarat yang sangat ketat bagi hamba-hambaNya untuk layak mendapatkan gelaran atau panggilan tersebut.

Tersentuh hati saya apabila mengenangkan doa yang sering diucapkan oleh arwah ayahanda saya iaitu doa memohon agar Allah kurniakan dengan pasangan dan zuriat yang penyejuk mata (qurrotaáyun), dan seterusnya meminta agar dijadikan imam bagi bagi orang-orang yang bertaqwa, sekurang-kurangnya di kalangan ahli keluarga kita. Semoga Allah terima amalan arwah ayahanda saya dan menerima arwah sebagai termasuk dalam golongan Ibadurrahman.

Sudah seharusnya kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikanNya kekuatan iman, kesabaran yang baik agar kita dapat istiqamah melakukan amal ibadat seperti yang diredhaiNya. Di samping itu, iman yang kukuh dan kesabaran yang baik yang dikurniakan kepada kita membolehkan kita, insya Allah melepasi rintangan oleh hawa nafsu dan ego dalam diri kita yang sentiasa menarik kita ke arah keburukan dan maksiat, tidak mentaati perintah Allah sebaliknya melanggar laranganNya. mudah-mudahan kita dapat tergolong di kalangan "Ïbadurrahman" dan dengan rahmatNya mengurniakan kita di akhirat nanti ganjaran dengan martabat yang tinggi di dalam syurga,aamin Ya Rabbalálamin.

Lahaulawalaquwwataillabillahil'aliyil'azim.

WasallallahuálaMuhammad waálaalihi wasahbihi wassalam

walhamdulillahirabbilálamin











Saturday, March 2, 2013

Mohon Allah kurniakan Hikmah (Kebaikan Yang Sangat Banyak)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita dalam kita menjalani musafir kehidupan dan selagi diizinkanNya menghirup udara di bumi milikNya ini. Segala sesuatu yang kita jalani dan nikmat yang diperolehi hanyalah semata-mata kurniaanNya, Alhamdulillah.

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang berulang-ulang kali menyatakan tentang nikmat kurniaanNya yang wajib disyukuri oleh hamba-hambaNya. Tentang kurniaanNya,  Allah SWT menerangkan sesuatu yang apabila dikurniakan kepada hambanya adalah sebenar-benarnya "suatu kebaikan yang yang banyak". Firman Allah dalam Surah Al Baqarah (2:269)

A269

Terjemahannya: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya'.
(He granteth wisdom to whom He pleased; and he to whom wisdom is granted receiveth indeed a benefit overflowing; but none will grasp the Message but men of understanding).

Perkataan hikmah di dalam Al Quran disebut sebanyak 20 kali. Terdapat beberapa maksud ''hikmah'' berdasarkan dalil-dalil daripada Al Quran yang dikemukan oleh para pentafsir: antaranya ialah kenabian; syariat-syariat (tentang halal dan haram) ;  pengetahuan mendalam tentang al Quran (sebahagian besar penafsir berpandangan begini); sampainya kepada hakikat pesanan Tuhan dalam ucapan dan perbuatan; pengetahuan agama yang luas; pemahaman dan penerimaan yang benar daripada agama; termasuklah pendapat Allamah Thaba-thabai RA yang menyeluruh yang merangkumi semua pendapat yang lain (ruj. Islam quest.net).

Berkaitan dengan hikmah, Rasulullah SAW bersabda "Al Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia didapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya (riwayat At Tirmidzi). Dapat difahamkan daripada ini bahawa hikmah merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan manafaat termasuklah apa jua bidang ilmu yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

Lantaran mengetahui betapa banyaknya kebaikan di sebalik kurniaan hikmah oleh Allah SWT, seharusnya menjadi cita-cita dan impian setiap kita untuk mendapatkannya. Al Quran menyatakan bahawa Allah mengurniakan hikmah  kepada para nabi, antaranya:A113

Terjemahannya: Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad ), nescaya berhasillah cita-cita segolongan daripada mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikit pun; dan (selain itu) Allah menurunkan kepadamu Kitab (Al Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar (An Nisaa' 4:113).

Dalam Surah An Anbiyaa' (21:79) 
A079

Terjemahannya: Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan bagi gunung ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Nabi Ibrahim AS, yang sememangnya dikurniakan hikmah oleh Allah sebagai seorang Nabi, namun baginda tetap berdoa kepada Allah memohon dikurniakan akan hikmah seperti dalam Surah as Syu'ara (26:83)A083

Terjemahannya: Wahai Tuhanku, berikanlah daku hikmah (pengetahuan agama), dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.

Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah agar dikurniakan kita dengan hikmah dalam kita menjalani setiap detik kehidupan di dunia ini. Doa seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS seperti di atas boleh kita jadikan doa amalan kita, begitu juga dengan ayat 79 Surah An Anbiyaa seperti tertulis di atas. Semoga Allah berkenan mengurniakan kita dengan 'kebaikan yang sangat banyak", amin... Ya Rabb.

Lahaula wala quwwatailla billahiláliyilázim

Wassalam. 


Rujukan:

Surah.My tafsiran Al Quran Bahasa Melayu 

Wednesday, February 20, 2013

Sabah Negeri di Bawah Bayu- Gunung Kinabalu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Antara memori yang telah terakam dan tersimpan dalam fail-fail di benak fikiran ialah pengalaman semasa bermastautin dan juga kembara atau bermusafir ke destinasi-destinasi tertentu. 

Alhamdulillah, sudah beberapa kali Allah izinkan kami berada di Sabah negeri di bawah bayu. Kunjungan kami ke sana tidak berapa lama dahulu adalah atas beberapa misi khususnya untuk urusan pertunangan dan pernikahan/majlis perkahwinan. Setelah maksud utama tercapai, kami gunakan masa yang terluang untuk melawat ke beberapa tempat yang telah dipilih. Urusan pemilihan tempat dibuat oleh anak-anak, saya dan yang lain-lainnya hanya mengikut saja.
Musafir Al Ghuroba
Hantaran pertunangan

Tempat yang mula-mula dilawati ialah kaki Gunung Kinabalu (nak mendaki rasanya di luar kemampuan kami). Dengan menaiki kenderaan yang disewa khas berserta pemandu (Jo, anak saudara kepada rakan kami di sana), kami bergerak awal pagi ke arah Gunung Kinabalu. Cuaca sangat baik, dari kejauhan sudah mula kelihatan puncak Gunung Kinabalu yang tinggi dan gagah di hiasi awan. Di bawah sinar cahaya Sang Suria yang sedang meninggi, puncak gunung kelihatan bersinar warna keperakan (silvery). Tidak langsung diselindungi kabus. Menurut Jo, agak bernasib baik kami dapat melihat pemandangan yang demikian. Andainya cuaca kurang baik,  puncak gunung sukar untuk dilihat. Kami berhenti di beberapa lokasi untuk menikmati pemandangan yang indah sambil merakam dengan lensa kamera yang dibawa. 

Musafir Al ghuroba
Puncak Gunung Kinabalu


musafir al ghuroba
Menikmati pemandangan


Gunung Kinabalu adalah gunung tertinggi di Borneo dan keempat tertinggi di Kepulauan Melayu dengan ketinggian 13,435 kaki atau 4095 meter. Kiranya dapat sampai ke kaki gunung ini, tempat di mana pendaki gunung memulakan pendakian sudah memadai bagi kami sekeluarga. Dapat juga menikmati keindahan pemandangan serta melihat flora yang terdapat di sana. Cuaca di kaki gunung agak sejuk dan berkabus nipis. Kami meluangkan masa melihat di sekitar taman di kaki gunung sebelum kami bertolak balik ke apartment 'home stay' yang kami sewa.


Musafir al ghuroba
taman di kaki gunung

Allah telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasak bumi yakni untuk mengukuhkannya daripada bergoncang sebagaimana firmanNya dalam Surah An Nahl ayat 15 (16:15).

A015
Terjemahannya : Dan Dia menancapkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan)  sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu dapat petunjuk.

Dalam Surah An Naba ayat 6 dan 7 (78:6-7)

A006

Terjemahannya: Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan

A007

Terjemahannya: dan gunung-ganang sebagai pasak?.

Subhanallah, Mahasuci Allah yang telah menjadikan semua ini yang manafaatnya untuk kita manusia yang telah dipilihNya sebagai khalifah di muka bumi. Gunung-ganang yang menjadi pasak bumi juga menambahkan keindahan landskap ciptaanNya. Sudah seharusnya manusia menghargai ciptaan Allah ini. Antara lain yang kita perlu lakukan ialah menjaga kebersihan persekitarannya daripada pencemaran serta sampah saraf, memelihara flora dan fauna yang terdapat di sana bagi mengekalkan 'biodiversity' semulajadinya. Apabila melihat alam semesta yang indah serta gagah seperti ini, pasti kita akan mengakui akan kebesaran PenciptaNya. 

Perkataan gunung juga telah disebut dalam Al Quran seperti firman Allah SWT dalam Surah Al Isra' ayat 37 (17:37)

A037 
Terjemahannya: Dan janganlah engkau berjalan di  bumi  dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau akan tidak dapat menyamai setinggi gunung ganang.

Kita lihat di sini bagaimana Allah mengingatkan manusia yang bersikap angkuh dan sombong dengan mengemukakan kelemahan dan kekerdilan dirinya.

Tafsir Fi Zilal Quran tentang ayat ini:
[Apabila hati seseorang sunyi daripada kesedaran bahawa Allah Yang Maha Kuasa menguasai para hambaNya, maka dia akan dipengaruhi oleh perasaan takbur dan sombong kerana kekayaan atau kekuasaan atau kekuatan atau kecantikannya, tetapi jika dia ingat bahawa segala nikmat yang ada padanya adalah dari pemberian Allah dan ingat bahawa ia amat lemah di hadapan kekuasaan Allah tentulah dia akan merendahkan perasaan takburnya dan menurunkan perasaan kesombongannya dan akan berjalan di bumi dengan langkah lemah lembut tanpa lagak yang angkuh dan bongkak.

Teguran Allah kepada manusia yang sombong akan kelemahan dan kekerdilannya, seharusnya menyedarkan mereka betapa kecilnya tubuh manusia, berbanding kejadian-kejadian besar yang lain yang telah diciptakan Allah. Manusia hanya kuat dengan kekuatan yang dikurniakan Allah dan kemuliaan yang dianugerahi Allah. Dia hanya mulia dengan roh ciptaan Allah yang dihembuskan ke dalam dirinya untuk membolehkannya membuat perhubungan dan bermuraqabah dengan Allah agar tidak melupainya.

Sifat tawadhuk dan rendah diri yang diserukan Al Quran di samping mencela sifat takbur dan sombong itu merupakan adab terhadap Allah dan juga terhadap sesama manusia, juga merupakan adab individu dan juga sosial manusia. Tiada yang meninggalkan adab ini melainkan manusia yang berhati kecil. Manusia yang sombong dibenci oleh Allah kerana melupakan segala nikmat kurniaanNya dan juga dibenci oleh manusia ramai kerana gaya hidupnya yang angkuh.] 


Menyedari betapa diri kita manusia sangat kerdil berbanding alam ciptaanNya termasuk langit dan bumi berserta gunung-ganangnya pastinya kita tiada pilihan melainkan mengakui kebesaranNya seraya menghilangkan rasa sombong dan angkuh lantas berserah, tunduk, sujud serta patuh  dan taat hanya kepadaNya.

Allahumma á'inni ála zikrika wasyukrika wahusniíbadatika

Lahaulawala quwwata illabillahiláliyilázim


(Insya Allah  bersambung....kembara ke Sabah)








Friday, February 15, 2013

Doa Mendapatkan Penyejuk Mata...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillahirabbilálamin



Allahumma solliálaMuhammad waálaalihi 
wasahbihiwasallam


Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin mencoretkan antara kenangan akan ayahanda saya yang telah kembali ke rahmatullah bulan Ramadhan yang lalu. Ayahanda telah dipanggil kembali ke hadhirat Ilahi pada hari Jumaat, waktu sahur 21 Ramadhan. Segala urusan tentang ayahanda telah dapat dibuat dengan begitu pantas dan pengkebumian dapat diselesaikan sebelum waktu solat Jumaat. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan serta menghimpunkan ayahanda di kalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabb.

Kenangan tentang arwah ayahanda antaranya ialah setiap kali kami balik kampung menziarahinya suasana selalunya ceria sebab ayahanda memang seorang yang suka bergurau dengan anak cucu bahkan juga dengan sanak saudara dan sahabat-sahabatnya. Yang sangat berbekas di hati saya ialah ketika sampai masa kami untuk pulang ke kota, saya pasti bersalaman dengan ayahanda dan memohon maaf sambil meminta agar beliau mendoakan saya dan seisi keluarga. Hampir setiap kali beliau memberikan reaksi yang sama iaitu "Memanglah aku sentiasa doakan, setiap kali selepas solat aku berdoa: 

"رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامً


[maksudnya "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah  Al Furqan 25:74] 



Masih terngiang-ngiang suara ayahanda membacakan doa tersebut. Kini ayahanda sudah tiada lagi di dunia untuk terus mendoakan kami. Sebelum ini, saya sendiri ada juga mengucapkan doa tersebut tetapi tidak secara istiqamah, tapi semenjak ayahanda pergi, timbul keazaman di hati untuk meneruskan secara istiqamah doa yang pernah dilazimkan oleh arwah ayahanda (in sya Allah setiap kali lepas solat). Kalau semasa hayatnya ayahanda sentiasa mendoakan pasangan dan zuriat keturunannya agar menjadi penyejuk mata, maka atas alasan apa saya tidak pula berdoa untuk pasangan dan zuriat keturunan saya. Saya benar-benar rasa terkesan dengan doa ini dan sangat terhutang budi dengan ayahanda yang sentiasa mendoakan kami semasa hayatnya dahulu.

Semoga zuriat keturunan ayahanda telah dapat menyejukkan mata ayahanda semasa hayatnya dahulu dan berpanjangan hingga ke alam akhirat, kami tidak tahu... Wahai Allah kami mohon agar Engkau makbulkan doa arwah ayahanda kami. Sekarang giliran saya pula untuk melazimkan doa yang sama. Makbulkan ya Allah, amin amin amin Ya Rabb...
 





Musafir Al-Ghuroba
Semoga  jadi penyejuk mata


(in sya Allah... bersambung...)













Sunday, February 10, 2013

(...samb) Musafir ke Kuala Sepetang: Hutan Bakau (mangrove forest) dan Kilang Arang

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirabbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waálaaliMuhammad wasahbihiwasallam

Keesokan harinya kami sekali lagi bertolak ke Kuala Sepetang. Pemandu pelancong kami, En Khairul menunggu kami di tepi jalan masuk ke Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang (Mangrove Park). En Khairul memperkenalkan kami kepada pokok bakau, jenis-jenis bakau yang terdapat di situ, cara pembiakannya, kerja-kerja pemuliharaan (conservation) pokok bakau dan species pokok yang jadi musuhnya. Memandangkan masa kami yang terhad, kami hanya sempat berjalan meniti jambatan yang disediakan di hutan bakau tersebut kira-kira 20-30 meter sahaja. Sebenarnya  pokok bakau sangat unique termasuk cara pembiakannya dan kepentingannya dari aspek ekologi.

Hutan bakau Kuala Sepetang adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Matang yang terkenal di peringkat dunia sebagai ''mangrove conservation area" dan diiktiraf sebagai hutan bakau yang paling baik pengurusannya di dunia. Luas keseluruhan hutan bakau ini ialah kira-kira 20 hektar. 

Musafir Al-ghuroba
En Khairul memberi penerangan

Dari situ kami ke destinasi seterusnya iaitu ke kilang membuat arang. Namanya pun kilang arang, suasananya agak gelap dan suram. Menurut En Khairul, kilang tersebut dibina dalam tahun 1930 dan kekal sehingga ke hari ini. Cara opreasi kilang berkenaan masih mengekalkan kaedah lama, umpamanya pengangkutan kayu-kayu bakau ke kilang tersebut masih dengan boat khas yang melalui terusan yang dibina ke kilang berkenaan. Dari situ, kayu-kayu bakau dibawa ke kilang dengan ditarik atas landasan yang khas.

Kemudian kami dibawa ke tempat kayu-kayu bakau diproses manjadi arang. Kata En Khairul "Ini ialah tempat kayu-kayu bakau dibakar/proses untuk jadi arang. Ia dipanggil tannur. Bentuknya seperti iglu dan diperbuat daripada tanah liat khas yang tahan suhu tinggi. Harga bagi membuat sebuah tanur ialah kira-kira RM 15,000."

Yang benar-benar menyebabkan saya kaget ialah perkataan "tannur". Kalau kita baca Al Quran dengan terjemahan, pasti kita terjumpa kisah kaum Nabi Nuh AS yang dihukum Allah SWT kerana  mendustakan Nabi yang diutuskan kepada mereka. Kisah bagaimana mereka ditenggelamkan oleh banjir besar kecuali yang sedikit yakni yang beriman kepada seruan Nabi Nuh AS. 

Dalam Surah Hud (11: 40) terjemahannya: Hingga apabila perintah Kami datang dan tannur (dapur) telah memancarkan air, Kami berfirman "Muatkanlah ke dalamnya (kapal itu) dari masing-masing (haiwan) sepasang (jantan dan betina), dan (juga) keluargamu kecuali orang yang telah terkena ketetapan terdahulu dan (muatkan pula) orang yang beriman. Ternyata orang-orang yang beriman bersama dengan Nuh hanya sedikit."

Tannur

Maka saya berfikir tentang peristiwa yang dikisahkan dalam Al Quran tersebut. Kalau beginilah kira-kiranya tannur tu, sudah pasti keadaannya sangat panas yang membakar apa saja yang dimasukkan ke dalamnya dan dengan kepanasan tersebut juga pasti mengeringkan air yang terdapat di dalam tanah di sekitarnya. Daripada kisah tersebut Allah menunjukkan kekuasanNya kepada kaum Nabi Nuh AS, betapa Dia berkuasa memancarkan mata air dari tannur, suatu tempat yang logiknya panas dan kering. Bagi yang melihat dengan mata hati pasti mengakui kekuasan Allah di sebalik perihal tersebut. Saya terus berkongsi dengan keluarga saya tentang pengajaran daripada Allah tentang peristiwa tersebut. Subhanallah....Astaghfirullah, Ya Allah betapa takutnya kami akan azabMu Ya Allah. Peliharalah kami ya Allah...

Saya difahamkan yang kerja menyalakan dan menjaga api untuk membuat arang agak rumit. Memerlukan pengalaman dan kemahiran yang tinggi. Kayu-kayu perlu dikeringkan dahulu dengan api yang sederhana kuat. Selepas itu baru dinyalakan api yang kuat. Jika tersilap hasil arangnya akan tidak sempurna. Seorang pekerja yang ditemui di situ yang sudah agak berumur dikatakan sangat mahir sehinggakan dengan menghidu bau asap daripada tannur tersebut beliau boleh mengetahui samada pembakaran sudah sempurna atau belum. Menurut En Khairul arang yang dihasilkan di kilang ini kebanyakan untuk dieksport keluar negeri seperti Jepun, antara kegunaannya ialah untuk pembuatan kosmetik.

Seterusnya En Khairul membawa kami ke tannur yang sudah dikosongkan. Maksudnya semua kayu arang sudah dikeluarkan dan menunggu untuk diisi semula dengan kayu-kayu yang baru. Kayu-kayu tersebut disusun berdiri. Bila masuk dalam "iglu" tersebut, masih terasa bahang panasnya walaupun api sudah lama padam. Saya pandang ke sekeliling, memang agak besar tannur itu. Saya pandang ke atas, tidak ada lubang atau keadaannya tertutup. Yang ada ialah pintu tempat menyalakan kayu-kayu untuk membakar kayu-kayu bakau yang akan disusun nanti. Serta merta timbul rasa takut dan ngeri, apa yang saya fikirkan ialah bagaimana dahsyatnya kepanasan api neraka apabila Allah gambarkan dalam firmanNya tentang kedaan neraka yang tertutup rapat. 

Dalam Surah Al Balad (90:19-20) maksudnya: Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat. 

Dalam Surah Al Humazah (104:8-9) maksudnya: Sungguh, api itu ditutup rapat atas mereka. (Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. 

Saya benar-benar rasa ngeri dan tidak berani masuk ke dalam tannur tersebut kecuali berhampiran pintu dan sekejap sangat. Saya ceritakan juga pada keluarga saya tentang ini dan saya berdoa kepada Allah agar memelihara saya, ahli keluarga saya dan semua orang-orang yang beriman daripada azab neraka. Sebenarnya inilah antara iktibar dan pelajaran yang kami perolehi daripada lawatan ke kilang arang di Kuala Sepetang.

Rabbana atinafiddunyahasanah wafilakhiratihasanah waqina ázabbannar amin Ya Rabb.

musafirghuroba
Di dalam tannur yang dah kosong


Program seterusnya ialah menaiki boat ke muara Sg Sepetang untuk melihat burung-burung helang yang datang menyambar perut-perut ayam (ringan dan terapung) yang dilemparkan oleh En Khairul dan juga mengail ikan di chalet terapung di tengah laut sambil menikmati pemandangan 'sun set' dari atas chalet tersebut.  Kami tidak pandai mengail, walaupun bagaimanapun syukur Alhamdulillah, kami sekeluarga memang 'enjoy'' dengan pengalaman yang diperolehi dan yang penting dapat merasakan betapa kerdilnya diri kita manusia dan merasakan akan kebesaran Allah dengan melihat alam ciptaanNya, laut, burung-burung, ikan dan sebagainya. Sungguh mengasyikkan dapat menyaksikan betapa indahnya langit di kala malam mula menyapa dan matahari beredar masuk ke peraduannya, subhanallah.

musafirghuroba
Burung helang-terbang rendah cari makanan


Atas chalet terapung- mengail

Sun set dari atas chalet terapung


Lahaulawala uwwataillabillahiláliyilázim
Wassalam


Wednesday, February 6, 2013

Bermusafirlah...

Bismillahirrahmanirrahim. 
Alhamdulillahirobbilálamin. Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasohbihiwassalam.


Kelebihan bermusafir


Terdapat beberapa ayat Al Quran yang menyentuh tentang musafir atau pengembaraan. Antaranya ialah firman Allah dalam Surah Al An'am (6: 11) yang terjemahannya: Katakanlah (Muhammad), "Jelajahilah bumi, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu.''

Ayat lain, Surat An-Naml (27: 69) bermaksud: Katakanlah (Muhammad) "Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa.


Seterusnya dalam Surah Ar-Rum (30: 42): Katakanlah (Muhammad) "Berpergianlah kamu di muka bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu. Kebanyakan mereka adalah orang yang mempersekutukan (Allah)."

Dalam Surah Al-Hajj (22: 46), Allah berfirman yang terjemahannya: Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada.

Manakala dalam Surah Al Mulk (67: 15) pula bermaksud: Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

Daripada sini dapat kita katakan bahawa orang-orang Islam memang digalakkan untuk pergi bermusafir atau mengembara dalam rangka untuk menambahkan keimanan kepada Allah SWT. Dalam bermusafir, nikmat pancaindera pendengaran dan penglihatan serta hati harus peka dan digunakan untuk memperakui kekuasaan dan kebesaran Allah. Betapa Allah Maha Berkuasa mengazab orang-orang yang mendustai ayat dan petunjuk Allah. Merasai pengalaman berada di tempat-tempat tertentu umpamanya melihat tinggalan sejarah Firaun di Mesir pasti tidak sama dengan sekadar mengetahui melalui pembacaan.

Untuk bermusafir, niat kita harus semata-mata untuk mencari kebaikan kerana Allah SWT. Manusia bermusafir atas berbagai-bagai sebab antaranya melakukan amal ibadat haji atau umrah, menuntut  ilmu, mencari rezeki, berjihad atau untuk menziarahi keluarga atau sahabat. Musafir tidak seharusnya dicemarkan dengan perkara-perkara maksiat dan haram samada sebagai tujuan atau pun aktiviti semasa bermusafir.

Adab bermusafir termasuklah:
  1. Musafir dengan niat dan tujuan yang baik.
  2. Mandi sunat sebelum bermusafir.
  3. Solat sunat musafir seterusnya berdoa sebelum memulakan perjalanan.
  4. Menyediakan bekalan yang secukupnya termasuk kenderaan, makanan, wang, pakaian dan ubatan jika perlu.
  5. Jika bermusafir dalam kumpulan tiga orang atau lebih, sunat melantik seorang menjadi ketua.
  6. Sunat mengucapkan selamat tinggal kepada yang ditinggalkan bagi memaklumkan tentang keberangkatan dan tempat yang dituju.
  7. Memilih teman musafir yang soleh.


Galakan melakukan musafir atau pengembaraan boleh difahami dengan adanya pelbagai keringanan yang diberikan oleh Islam kepada para musafir, bahkan kelebihan yang dapat diraih semasa bermusafir. Bagi yang bermusafir lebih daripada  dua marhalah (91 km) antara keringanannya:



  1. Mengqasarkan solat fardhu yang 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Hanya bermusafir saja yang menjadi alasan dibolehkan qasar.
  2. Menjamak solat iaitu menggabungkan dua solat dikerjakan dalam salah satu waktu.
  3. Tidak berpuasa pada siang hari Ramadhan sekiranya musafirnya menghadapi kesukaran untuk berpuasa.
  4. Mengusap sepatu selama tiga hari tiga malam bagi musafir. Daripada Ali bi Abi Talib "Rasulullah SAW menjadikan tiga hari tiga malam sebagai jangkawaktu mengusap khuf (sepatu) bagi musafir, sedangkan sehari semalam untuk mukim" (HR Muslim no. 276).
  5. Bertayamum ketika safar sekiranya sukar mendapati air.
  6. Meninggalkan solat sunat rawatib (namun Rasulullah SAW tetap melakukan solat sunah qabliyah subuh dan sunat witir).


Meski pun para musafir mendapat keringanan, namun pahalanya seperti yang diperolehi oleh yang mukim. Sabda Rasulullah SAW "Jika seseorang sakit atau bermusafir, maka dicatat pahala baginya sebagaimana ia mukim atau ketika sihat" (HR Bukhari no 2996).


Di samping itu, telah disebutkan pula kelebihan bermusafir, antaranya: 
  • Mustajabnya doa orang yang sedang bermusafir bukan dengan tujuan melakukan maksiat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah iaitu doa ibu/bapa, doa orang bermusafir dan doa orang yang dizalimi" (HR Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
  • Bagi musafir yang terputus bekalannya semasa diperantauan, mereka termasuk dalam salah satu asnaf yang layak untuk diberikan zakat.


Dengan berbagai-bagai manafaat dan keringanan  yang boleh diperolehi melalui pengembaraan atau bermusafir, mudah-mudahan kita termotivasi untuk mencari peluang bermusafir dan semoga musafir kita akan menambah iman serta kefahaman kita akan kebesaran Allah, mengingatkan kita untuk bersyukur dan lantaran itu menyedari akan kedudukan kita sebagai hamba Allah,  aamin...Ya Rabb

Lahaulawala quwwatailla billahiláliyilázim
Wassalam







Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...