Friday, February 15, 2013

Doa Mendapatkan Penyejuk Mata...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillahirabbilálamin



Allahumma solliálaMuhammad waálaalihi 
wasahbihiwasallam


Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin mencoretkan antara kenangan akan ayahanda saya yang telah kembali ke rahmatullah bulan Ramadhan yang lalu. Ayahanda telah dipanggil kembali ke hadhirat Ilahi pada hari Jumaat, waktu sahur 21 Ramadhan. Segala urusan tentang ayahanda telah dapat dibuat dengan begitu pantas dan pengkebumian dapat diselesaikan sebelum waktu solat Jumaat. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan serta menghimpunkan ayahanda di kalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabb.

Kenangan tentang arwah ayahanda antaranya ialah setiap kali kami balik kampung menziarahinya suasana selalunya ceria sebab ayahanda memang seorang yang suka bergurau dengan anak cucu bahkan juga dengan sanak saudara dan sahabat-sahabatnya. Yang sangat berbekas di hati saya ialah ketika sampai masa kami untuk pulang ke kota, saya pasti bersalaman dengan ayahanda dan memohon maaf sambil meminta agar beliau mendoakan saya dan seisi keluarga. Hampir setiap kali beliau memberikan reaksi yang sama iaitu "Memanglah aku sentiasa doakan, setiap kali selepas solat aku berdoa: 

"رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامً


[maksudnya "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah  Al Furqan 25:74] 



Masih terngiang-ngiang suara ayahanda membacakan doa tersebut. Kini ayahanda sudah tiada lagi di dunia untuk terus mendoakan kami. Sebelum ini, saya sendiri ada juga mengucapkan doa tersebut tetapi tidak secara istiqamah, tapi semenjak ayahanda pergi, timbul keazaman di hati untuk meneruskan secara istiqamah doa yang pernah dilazimkan oleh arwah ayahanda (in sya Allah setiap kali lepas solat). Kalau semasa hayatnya ayahanda sentiasa mendoakan pasangan dan zuriat keturunannya agar menjadi penyejuk mata, maka atas alasan apa saya tidak pula berdoa untuk pasangan dan zuriat keturunan saya. Saya benar-benar rasa terkesan dengan doa ini dan sangat terhutang budi dengan ayahanda yang sentiasa mendoakan kami semasa hayatnya dahulu.

Semoga zuriat keturunan ayahanda telah dapat menyejukkan mata ayahanda semasa hayatnya dahulu dan berpanjangan hingga ke alam akhirat, kami tidak tahu... Wahai Allah kami mohon agar Engkau makbulkan doa arwah ayahanda kami. Sekarang giliran saya pula untuk melazimkan doa yang sama. Makbulkan ya Allah, amin amin amin Ya Rabb...
 





Musafir Al-Ghuroba
Semoga  jadi penyejuk mata


(in sya Allah... bersambung...)













No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...