Saturday, November 9, 2013

Mari Kita Dirikan Solat Sunat Dhuha

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirabbilálamin
WasolatuwassalamálasaiyidaMuhammad waálaalihi wasahbihiajmain

Solat sunat Dhuha adalah salah satu solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Bercerita tentang solat Dhuha ini, terimbau kembali kenangan semasa pertama kali melakukan ibadat umrah bertahun-tahun yang lalu bersama-sama tiga orang anak. Ketika itu mereka masih lagi di sekolah rendah. Salah satu yang dirasakan keperluan ketika itu ialah membawa bersama-sama buku panduan amalan terutamnya panduan solat-solat sunat. Seperti kebiasaan jemaah yang lain-lain juga, waktu berada di Masjidil Haram diguna dengan sebaik-baiknya termasuk mendirikan bermacam-macam solat sunat yang tidak biasa dilakukan sebelumnya, termasuklah solat sunat Dhuha. Pada hari pertama di Masjidil Haram, saya mengajak kedua-dua anak perempuan untuk bersama-sama mendirikan solat Dhuha.

Seketika selepas selesai memberi salam solat Dhuha, saya terkejut dengan bunyi yang agak kuat betul-betul di hadapan saya. Rupa-rupanya ada seorang lelaki Arab meletakkan satu guni tamar di hadapan kami. Tidak perasan saya dari arah mana dia datang, tiba-tiba sahaja muncul. Dia terus mengambil buah-buah tamar dari dalam guni tersebut dan memberikannya kepada saya dan anak-anak yang di kiri dan kanan saya. Apabila datang beberapa orang perempuan berjubah hitam dengan anak-anak mereka, lelaki Arab tersebut berkata-kata dengan suara yang agak keras dan tidak mahu memberikan kepada mereka (mungkin mereka memang biasa meminta-minta di masjid, Allahuálam). Peristiwa berkenaan menjadikan saya merasa benar-benar kagum dan terpegun. Saya benar-benar merasakan Allah mahu menunjukkan secara serta merta kepada saya dan anak-anak bahawa Allah memakbulkan doa hamba-hambaNya. Fadhilat solat sunat Dhuha bertepatan dengan yang diucapkan dalam doa solat sunat tersebut. Saya seolah-olah ditanya: apa kurang yakinkah kamu kepada janji dan sifat Maha Pemurah, Maha Pemberi (Al Wahhab) Allah? Tidak tergambarkan rasa terharu di hati saya mendapatkan sedekah buah kurma yang sangat enak dan manis dengan tidak disangka-sangka. Saya kongsikan kurma tersebut dengan suami dan anak-anak, dan saya simpan sedikit untuk dibawa balik ke Malaysia untuk diberikan kepada ibu saya juga.

Peristiwa berkenaan sangat terkesan di hati saya. Sering saya mengulang tayang cerita berkenaan bersama anak-anak, juga dikongsikan dengan sanak saudara dan sahabat-sahabat sebagai satu pengalaman menarik semasa di Masjidil Haram dan sebagai motivasi untuk sama-sama mendirikan solat sunat Dhuha. 

Maksud doa solat sunat Dhuha:
"Ya Allah! Sesungguhnya waktu dhuha itu, waktu DhuhaMu, kecantikan itu kecantikanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah! sekiranya rezekiku ada di langit maka turunkanlah. Jika ada di bumi keluarkanlah. jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah dengan kebenaran (berkat) dhuhaMu, kecantikanMu, kekuatanMu dan kekuasaanMu, limpahkan kepadaku apa yang engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Hadith Rasulullah SAw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memelihara jaminan (yang ada pada) solat Dhuha, terampun baginya dosa-dosa sekalipun (dosa-dosanya) umpama buih di lautan.

Semoga Allah permudahkan kita semua untuk melakukan amal kebaikan termasuklah solat Dhuha. Semoga juga diikhlaskan hati kita oleh Allah SWT melakukannya semata-mata keranaNya. Urusan rezeki kita  serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Lahaulawalaquwwataillabillah

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...