Thursday, January 31, 2013

Musafir Menjalani Kehidupan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillah selawat dan salam atas Junjungan mulia Rasulullah SAW keluarga serta sahabat baginda (Allahumma solli ála Muhammad waála alihi wasahbihiwassalam).

Jika kita merenung diri kita dan perjalanan hidup yang kita lalui, pasti kita dapat menyedari bahawa kita memang merupakan musafir. Bila bermusafir maksudnya meniti suatu perjalanan yang ada permulaan dan ada destinasi yang dituju. 

Kita memulakan perjalanan hidup kita di dunia ini, mulai dari hidup sebagai janin dalam rahim ibu kita, sebelumnya kita 'tiada''. Allah memperingatkan kita tentang keadaan tersebut seperti firmanNya dalam Surah Al-Insan (76:1-5) :
1. Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dan masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut.
2. Sungguh, Kami telah mencipta manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
3. Sungguh, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.
4. Sungguh, Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.
5. Sungguh, orang-orang yang berbuat kebajikan akan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur (satu mata air di syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya).

Boleh dikatakan setiap tahun kita meraikan hari jadi bersama-sama keluarga atau rakan taulan. Alangkah baiknya semasa kita menyambut hari jadi bahkan setiap masa dengan benar-benar bersyukur kepada Pencipta kita seperti dalam firman Allah di atas. Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang memperingatkan kita tentang perjalanan hidup kita, daripada 'tiada', diciptakanNya lengkap dengan pendengaran dan penglihatan untuk diujiNya. Secara saintifik memang terbukti bayi mendengar dahulu baru melihat. Jadi hidup kita sebenarnya sentiasa dalam keadaan menjalani ujian Allah, mudah-mudahan kita sedar tentang hakikat ini dan sentiasa berwaspada agar tidak gagal dalam ujian.

Allah juga menunjukkan kita jalan yang perlu kita tempuhi yakni jalan yang lurus (Sirotulmustaqim).  Dalam hal ini manusia terbahagi dua iaitu: 
i) yang bersyukur atas petujuk jalan yang lurus oleh PenciptaNya dan 
ii) yang kufur yakni tidak mahu mengikut jalan yang lurus tersebut. 

Menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengingati Allah dan memohon dengan rendah hati kepadaNya agar memimpin kita ke jalan yang lurus. Sekiranya selain daripada Allah menjadi tujuan, maka kita terpesong dari jalan yang lurus tersebut. Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menyediakan remedi untuk kita yakni dengan membaca Surah Al Fatihah (1:5-6) yang terjemahannya: Akan Dikau kami sembah dan akan Dikau kami mohon pertolongan. Tunjukkilah kami jalan yang lurus. [Ummul Kitab yang menjadi rukun qauli untuk dibaca dalam solat, yakni sehingga telinga kita dapat mendengarnya].

Di dunia musafir kita berakhir dengan kematian apabila roh meninggalkan jasad sehingga jasad tidak berfungsi langsung malah binasa, tetapi roh kita tetap hidup dan untuk meneruskan musafir di alam barzakh dan akhirnya kita dibangkitkan semula untuk dimasukkan Allah ke salah satu destinasi akhir samada ke syurga dengan segala kenikmatannya atau neraka dengan azab yang tidak terhingga (naúzubillah). 

Lauhaulawalaquwatailla billahiáliyilázim, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah jua. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan lulus dalam ujianNya semasa kita menjalani hidup di dunia ini, dan semoga akhirnya memasukkan kita ke dalam syurga dengan rahmatNya amin... Ya Rabb

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...