Sunday, February 3, 2013

Jadilah Hamba Allah yang Bersyukur...

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirobbilálamin. AllahummasolliálaMuhammad waálaalihi wasohbihiwasallam.


Dalam artikel sebelum ini, saya ada mencatatkan tentang firman Allah dalam Surah Al-Insan (76: 3) Sungguh Kami telah menunjukkan kepadanya (manusia) jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.

Seterusnya mari kita sama-sama membaca maksud  firman Allah dalam Surah An-Nahl, (16: 78 ) Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur.

Kita lihat pula maksud firman Allah dalam Surah Al Mulk, (67: 23) Katakanlah: Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.

Terdapat lebuh kurang tujuh puluh ayat dalam Al Quran yang menyebut tentang syukur. Sebutan perkataan syukur yang diulang-ulang sedemikian kali menggambarkan peri pentingnya bersyukur kepada kita manusia, makhluk ciptaan Allah. Namun Allah juga menyatakan dalam beberapa ayat, antaranya seperti dalam Surah Al Mulk yang disebutkan di atas bahawa hanya sedikit daripada manusia yang bersyukur.

Kata syukur biasa dipertentangkan dengan kata kufur kerana keduanya mempunyai maksud yang berlawanan. Syukur bererti menampakkan sesuatu ke permukaan, manakala kufur bererti menutupinya. Syukur dan kufur adalah dua sifat manusia yang berlawanan dan tidak mungkin seseorang bersifat dengan kedua-duanya pada satu-satu masa.

Untuk kali ini saya ingin meneliti tentang sifat syukur.

Menurut Imam Ghazali, syukur termasuk ibadah yang tinggi maqam atau darjatnya. Malah lebih tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Definisi syukur menurut ilmu tasauf ialah ucapan, sikap dan perbuatan berterima kasih kepada Allah SWT dan pengakuan yang tulus atas nikmat dan kurnia yang diberikanNya (Sumber: Definisi Syukur Menurut Al Quran).          

Di dalam sebuah hadith ada disebut Rasulullah SAW menunaikan solat malam (tahajjud) sehingga bengkak kedua kaki baginda, ditanyakan oleh Aisyah kepada baginda kenapa baginda menyusahkan diri baginda sedangkan baginda telah diampunkan dosa yang lepas dan akan datang. Berkata baginda '' Apakah aku tidak menjadi hambaNya yang bersyukur?"(HR Imam At Tirmidzi daripada Al Mughirah bin Su'bah). Maka sudah jelas betapa perlunya kita bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah. 

Bagaimana cara bersyukur?

Menurut Imam Al Ghazali, cara bersyukur terdiri daripada empat komponen berikut: 

1. Syukur dengan hati
Menyedari sepenuhnya bahawa segala nikmat baik kecil atau besar adalah semata-mata anugerah dan kemurahan Allah SWT.

2. Syukur dengan lisan
Ucapan ''Alhamdulillah'' tatkala hati yakin sepenuhnya dengan nikmat yang diperolehi semata-mata anugerah dari Allah. Meski pada zahirnya nikmat atau rezeki berkenaan diperolehi daripada seseorang.

3. Syukur dengan perbuatan
Perbuatan menggunakan segala nikmat yang diterima dijalan yang diredhaiNya. Umpamanya menggunakan harta untuk berzakat, sedekah dan beribadah kepada Allah. Pancaindera pendengaran  dan penglihatan digunakan untuk mendengar dan melihat ayat-ayat dan kebesaran Allah dan tujuan utuk kebaikan semata-mata.  

4. Menjaga nikmat dari kerusakan
Umpamanya nikmat kesihatan, perlu dijaga secara yang sepatutnya agar terhindar dari penyakit. Yang lebih utama menjaga nikmat iman dan Islam dari sebarang bentuk ancaman. Iman dan Islam dapat dipupuk antaranya dengan mendirikan dan menjaga solat, mentaddabur Al Quran, berzikir, berdoa dan menghadiri majlis taklim.

Allah SWT menjanjikan akan tambahan nikmat bagi hambaNya yang bersyukur seperti firmanNya dalam Surah Ibrahim (14: 7) Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), sungguh azabKu sangat pedih.  

Bagaimana untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur?

Untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur, kita perlu berdoa dan memohon kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam Al Quran, Surah Al Ahqaf (46: 15) ''..Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmatMu yang Engkau berikan kepadaKu dan kepada kedua ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

Doa Nabi Sulaiman AS sebagaimana firman Allah dalam Surah An Naml (27: 19) ''Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlan daku dengan limpah kurniaMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh''.

Dalam sebuah hadith,Rasulullah SAW mengajarkan doa kepada Muaz ibn Jabal r.a. "Ya Allah bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadat dengan baik kepadaMu'' (Allahumma a'inniálazikrika wasyukrika wahusni'ibadatika). Eloklah kita sama-sama amalkan doa ini selepas setiap solat.

Mudah-mudahan Allah dengan limpah rahmatNya membantu kita untuk menjadi hambaNya yang bersyukur, amin ya Rabb...
Lahaulawala quwwataillahbillahiláliyilázim.
Wassalam

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...