Wednesday, May 8, 2013

Dapat Juga Memiliki Sebahagiaan Daripada Risalah al-Nur, Alhamdulillah

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Telah timbul kekaguman dan minat terhadap tokoh Islam yang terkenal Badiuzzaman Said Nursi selepas habis membaca novel sejarah kisah hidup hasil tulisan Abdul Latip Talib. Penulis ini telah mengembara ke Turki bersama-sama ahli rombongan lainnya bagi mendapatkan maklumat tentang tokoh Islam berkenaan dan juga bagi mengesahkan fakta-faktanya. Membaca novel berkenaan seolah-olah kita dibawa semula ke zaman Said Nursi di mana perasaan dan emosi bagaikan dapat merasakan suasana, suka duka dan semangat tokoh berkenaan dalam menjalani kehidupannya yang sebahagian besarnya  memperjuangkan Islam khususnya keimanan di saat Islam ditindas dengan hebatnya. 

Ada ketikanya timbul rasa terharu dan sedih hingga dapat menitiskan airmata dan ada ketikanya secara spontan hati dengan khusyuk terus memanjatkan doa agar Allah limpahkan kurniaan rahmatNya kepada almarhum Said Nursi atas segala pengorbanan yang beliau lakukan. Said Nursi seorang tokoh yang luar biasa, memang beliau layak diberikan gelaran 'Bediuzzaman'. Risalah al-Nur adalah tulisan beliau yang sangat terkenal yang ditulis ketika beliau dibuang daerah dan dipenjarakan. Risalah ini dihasilkan dan disebarkan secara rahsia. Dengan bantuan anak-anak muridnya yang setia,  Risalah al-Nur akhirnya tersebar juga ke kota-kota dan desa-desa.

Risalah al-Nur atau Rasaíl al-Nur adalah satu tafsiran Al-Quran yang memfokuskan kepada persoalan tentang keimanan. Risalah berkenaan menjadi bacaan orang ramai apabila al-Quran dan kitab-kitab agama diharamkan. Terdapat lebih daripada 130 tajuk, antaranya al-Kalimat, al-Maktubat, al-Lamaat dan al-Shuáat. 

Saya telah pergi ke kedai-kedai buku di sekitar Jalan TAR bertanyakan sekiranya ada dijual buku karya Said Nursi Bediuzzaman. Jawapannya mengecewakan. Saya juga bertanya teman saya yang diketahui mempunyai koleksi kitab-kitab sekiranya ada karya said Nursi dalam koleksi beliau. Akhirnya beliau terjumpa sebuah buku nipis    bertajuk Iman dan Kekufuran yang diterjemahkan oleh Mat Nasir Ismail yang dicetak pada tahun 1986 terbitan Dewan Pustaka Fajar. Tanda harga buku berkenaan masih ada, S3.40 sen. Buku tersebut mengandungi 77 muka surat sahaja tetapi yang menariknya terdapat gambar-gambar Said Nursi ketika beliau masih agak muda dan ketika sudah berusia. Dengan perasaan hati yang gembira buku tersebut dapat dikhatamkan dalam masa yang singkat sahaja. 

Tidak putus atas dengan kegagalan mendapatkan sebarang buku Said Nursi di kedai buku sekitar Jalan TAR, baru-baru ni saya sekali lagi pergi ke kawasan tersebut. Meninjau-ninjau kedai-kedai buku lain menanyakan tentang buku-buku Said Nursi. Kedai yang mula-mula saya masuk, tidak ditemukan walau sebuah buku Said Nursi. Saya teruskan pencaraian. Kemudian di sebuah kedai buku lain yang tidak berapa besar, saya bertanya lagi tentang buku Said Nursi. Saya katakan "Saya mencari buku-buku tulisan Said Nursi, kalaulah ada saya akan beli samada buku lama atau baharu, Bahasa Melayu atau English dan Bahasa Indonesia pun saya hendak".  Alhamdulillah, akhirnya kali ini saya diberi harapan mungkin ada buku Said Nursi di kedai tersebut. Selepas mencari, dijumpai tiga buah buku iaitu dua buah buku kulit keras yang saiz sederhana bertajuk Kehidupan Rasulullah dan Dari Balik Lembaran Suci terbitan Prenada Media, Jakarta Timur Indonesia. Sebuah lagi buku kulit nipis tapi agak tebal bertajuk Menikmati Takdir Langit (Lamaát). Dengan rasa gembira, saya  membawa balik ketiga-tiga buku tersebut. 

Sekarang ni saya mencuba mencari ruang masa bagi membaca buku-buku tersebut. Saya sudah membaca hampir separuh buku Dari Balik Lembaran Suci. Semoga memperoleh manafaat daripada membaca buku-buku berkenaan, in sya Allah.

In sya Allah, saya akan terus menambahkan koleksi Risalah al-Nur  pada masa akan datang.

Lahaulawalaquwataillabillahil'aliyil'azim.

Wassalam

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...