Monday, March 11, 2013

Mari Kita Mulakan Menghafaz Al Quran

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Hujung minggu sudah saya telah menghadiri seminar "Kaedah Jibril-Teknik Mudah dan Praktikal Menghafaz al-Quran". Saya hanya bersetuju apabila anak mengajak saya dan suami ke seminar tersebut dan beliau telah mendaftarkan kami secara on-line. Saya tidak pernah tahu secara spesifik tentang kaedah tersebut, sekadar pernah mendengar orang menyebut Kaedah Jibril. Dalam hati saya meneka, mungkin nama kaedah tersebut ada kena mengena dengan peristiwa malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW. Saya pergi ke seminar berkenaan dengan hati terbuka untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentangnya. Saya juga katakan dalam hati " Pasti ada hikmah dan kebaikan di sebalik takdir Allah menghantar kami untuk mengikuti seminar ini". Terjadinya sesuatu bukan tanpa sebab atau hanya secara kebetulan. 



Memang pernah terlintas di hati untuk menghafaz al Quran, bukan sahaja surah-surah     penting seperti Surah Yasin dan As Sajdah. Yang berjaya dihafaz hanyalah beberapa surah lazim untuk dibaca dalam solat (Al Fatihah tidaklah boleh diambil kira sebab tanpanya tidak sah solat). Surah yang paling panjang berjaya dihafal ialah Surah Al Mulk (cuma 30 ayat). Itupun mengingatkan fadilat surah tersebut sebagai pemberi syafaat sebagai penyelamat daripada azab kubur dan hadis Rasulullah SAW "Aku suka jika Surah Al Mulk ada dalam hati setiap umatku". Walaupun surah Yasin telah berulang-ulang dan banyak-banyak kali dibaca sehingga apabila ada orang membacanya, mampu membaca bersama-sama tanpa melihat musyaf Al Quran. Tapi jika disuruh baca sendiri-sendiri tanpa melihat Al Quran-impossible rasanya. Impian nak menghafaz al Quran akhirnya dipendamkan jauh di lubuk hati bagaikan tidak mungkin akan timbul kembali.



Selepas separuh hari mengikuti seminar menghafaz al Quran dengan Kaedah Jibril, impian yang sudah sekian lama dipendam, rasanya timbul kembali. Ustaz Muhammad Asraff Ayob Al-Hafiz  (pengasas kaedah ini) sangat bersungguh memberikan motivasi untuk menghafaz Al Quran, sekurang-kurangnya surah-surah penting termasuk Yasin, Al Waqiah, Ar Rahman dan sebagainya. Beliau menekankan tentang pentingnya untuk menghafaz, memahami dan mengamalkan kandungan Al Quran terutamanya bagi meraih keberkatan dalam hidup. Dengan keazaman yang tinggi, teknik yang betul dan keyakinan penuh kepada Allah, in sya Allah impian untuk menghafaz Al Quran akan dapat dicapai.



Kaedah ini dinamakan demikian sempena dengan nama malaikat penghantar wahyu yakni Malaikat Jibril. Dalam peristiwa penurunan wahyu pertama, Malaikat Jibril telah memeluk erat baginda Nabi Muhammad sehingga hampir sesak nafas sambil menyerukan Iqra' (bacalah) sebanyak dua kali dan setiapkalinya dijawab oleh Nabi SAW "Saya tidak boleh membaca". Akhirnya selepas pelukan yang ketiga Malikat Jibril terus membacakan ayat pertama daripada Surah Iqra'. Kaedah yang diasaskan oleh Ustaz Asraff ini banyak menggunakan angka tiga, seperti tiga kali ulang, tiga kali waktu solat dan tiga baris. Kaedah ini memerlukan komitmen 30 minit sehari untuk menghafaz tiga baris al Quran sehari. Tiga puluh (30) minit tersebut termasuk 5 minit pembiasaan, 15 minit hafazan dan penggabungan dan 10 minit pengukuhan. Tiga baris ayat yang telah dihafaz perlu diulang 3 kali  yakni sebelum solat, dalam solat dan selepas solat pada hari itu. Untuk hari seterusnya, dilakukan proses yang sama untuk 3 baris berikutnya. Ustaz menasihatkan supaya memulakan hafazan pada hari Isnin, berterusan hingga hari Jumaat. Hari-hari hujung minggu, diperuntukan untuk pengulangan semua barisan ayat-ayat yang sudah dihafaz.



Menurut Ustaz Asraff tenik ini disarankan untuk mereka yang sibuk dengan urusan harian. Dengan teknik ini, kita menetapkan target hafazan harian dan melaksanakan pelan tindakan bagi mencapai target berkenaan. Melalui kaedah atau teknik ini, menghafaz al Quran bukanlah sesuatu yang mustahil bagi sesiapa sahaja. Namun bukanlah ia sesuatu yang terlalu mudah kerana masih perlu diperuntukkan masa, kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Termotivasi dengan seminar yang telah diikuti, saya berazam untuk mencuba secara serius kaedah ini. Sebagai permulaan, saya telah memilih untuk menghafal surah al Waqiah. Alhamdulillah, ketika saya menulis entri ini, 50 ayat yang pertama sudah dapat dihafal. 

Semoga Allah kurniakan kekuatan dan keikhlasan kepada saya untuk meneruskan usaha menghafaz ini semata-mata untuk mencari keredhaanNya dan hanya menggantungkan harapan dan pertolongan dariNya  semata-mata jua "Laa haula walaa qquwwata ila billah''. Semoga Allah perkenankan doa untuk mencapai impian ini.



Wassalam.



No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...