Wednesday, March 13, 2013

Qadar Yang Lebih Halus: Mari Kita Renungkan Nafas Kita


 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Ingin saya kongsikan bersama di sini tentang merenung ''qadar" pada tahap yang lebih halus iaitu nafas kita.  

Biasanya kita kurang memerhatikan nafas kita kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah payah dan dianggap remeh untuk diperhatikan. Perkara yang dianggap remeh ini perlu kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam perkaitannya dengan perjalanan qadar. Kita tanya diri kita apakah setiap nafas yang kita tarik dan hembus itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah SWT tentukan? Adakah setiap tarikan dan hembusan nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai qadar lagi yang terjadi?. Perkara yang dianggap kecil ini harus direnung secara mendalam agar kita mendapat pengertian tentang qadar secara lebih halus dan terperinci.

Nafas ialah udara yang keluar masuk pada badan kita melalui hidung dan mulut. Satu hembusan udara yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita serta menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi dengan kiraan hari dan jam. Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan nafas itulah umur kita.

Kita melihat qadar sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam skop yang luas. Sikap memandang qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada  berpegang kepada qadar. Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan melihat qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas. Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku qadar mengikut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah SWT tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah SWT dan apabila jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati. 

Jika kita dapat melihat perjalanan qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat qadar pada setiap detik dan pada setiap kejadian. Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang berdetik di atas bumbung rumah kta adalah mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah SWT. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah SWT. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah SWT. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah SWT. Tidak ada satu pun yang menyimpang dari qadar menurut ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah SWT al- Latif, Maha Halus, tidak ada sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiranNYa. Semua mahkluk berjalan di atas landasan qadar yang diaturkanNya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan perjalanan penciptaanNya.  
A056



(Surah Hud 11: ayat 56). Terjemahannya: Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan tuhan kamu. Tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

A022

(Surah al Hadid 57:ayat 22) Terjemahannya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu mudah bagi Kami.


Allah SWT menetukan ketentuan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah SWT. Malaikat hanya menjalankan perintahNya. Apa yang ada pada sisi malaikat boleh diubah olehNya, tetapi apa yang ada di sisiNya tidak pernah berubah. Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan memiliki ketentuan yang mutlak. Doa dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan. ilmu Tuhan meliputi yang awal dan akhir. Segala sesuatu telah ada pada ilmuNya sebelum ia berlaku lagi. Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah SWT. Malaikat dan manusia tidak memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah SWT perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga ia menjadi sesuai dengan kehendak Allah SWT.


(Dengan izin daripada Syarah al Hikam dua- Sufi Islam Darul Iman)




No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...