Saturday, October 26, 2013

Doa sebagai wirid dan zikrullah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Saudara/saudari yang dimuliakan dan semoga sentiasa dirahmati Allah. 

Kita semua tahu bahawa Islam adalah agama yang syumul. Tiada ruang waktu atau ketika dalam kehidupan seharian kita yang boleh kita dakwa tidak termasuk dalam skop peraturan atau tatacara yang dianjurkan Islam berdasarkan daripada sumber Al Quran dan Hadith Nabi Muhammad SAW.  

Mulai daripada ketika celik mata bangun tidur waktu pagi sehinggalah kita hendak memejamkan mata untuk tidur pada malam hari, Rasulullah SAW mengajarkan kita adab dan bermacam-macam doa sebelum melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan. 
Sebaik-baik doa adalah doa yang mengikut apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, samada yang bersumber daripaa AlQuran atau hadiths Nabi SAW. Peraturan berdoa pula seperti yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW ialah:
i) Dimulakan dengan pujian-pujian kepada Allah SWT serta selawat kepada Nabi SAW baru diikuti dengan doa yang kita kehendaki 
ii) Mengangkat kedua belah tangan ke paras bahu dan menyapu ke muka selepas selesai berdoa
iii) Percaya dan yakin bahawa doa kita akan diperkenankan oleh Allah SWT
    (semua di atas berdasarkan hadith Nabi SAW)
iv) Berdoa dengan penuh kusyuk dan tawadhuk serta dengan suara yang perlahan seperti Firman Allah dalam Surah Al 'Araf ayat 55, yang maksudnya "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan kerana sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang yang melewati batas".

Terdapat berbagai-bagi buku di pasaran tentang doa-doa pilihan yang bersumberkan Al Quran dan Hadith Nabi SAW yang boleh kita perolehi untuk dijadikan rujukan. Dalam sehari semalam berbagai-bagai doa yang sepatutnya kita hafal dan menjadi amalan kita agar rahmat dan pertolongan Allah dilimpahkan kepada kita, hambaNya yang lemah. Di samping itu, berdoa adalah merupakan ibadat bagi kita orang Muslim, sebagaimana disebut dalam sebuah Hadith Nabi SAW. 

Terdapat banyak ayat alQuran yang menggalakkan kita untuk berdoa, antaranya ialah:
- Surah Al Mukmin, ayat 60 maksudnya "Dan berfirman oleh Tuhan kamu, berdoalah kamu kepada Aku, nescaya Aku perkenankan bagi kamu" 
- Surah Al Baqarah, ayat 186 bermaksud "Dan apabila hamba-hambaNya bertanyamu (wahai Muhammad) tentang Aku (maka beritahulah) sesungguhnya Aku hampir, Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu".

Doa-doa yang sepatutnya kita hafal dan amalkan dalam seharian antaranya ialah:
-doa bangun tidur
-doa masuk tandas
-doa keluar tandas
-doa sesudah wudhuk
-doa ketika memakai pakaian
-doa keluar rumah
-doa naik kenderaan
-doa masuk rumah
-doa menuju ke masjid
-doa masuk masjid
-doa keluar masjid
-doa sesudah azan
-doa antara iqamah dan azan
-wirid/doa selepas solat fardhu dan juga solat sunat
-doa/wirid waktu pagi/petang
- dan seterusnya....
memang banyak untuk disenaraikan semuanya di sini.

Kebanyakan daripada doa-doa yang tersebut diatas adalah juga menjadi wirid (bermaksud amalan yang tetap atau sentiasa dilakukan samada dalam bentuk bacaan atau yang seumpamanya). Wirid termasuk dalam zikrullah iaitu cara mengingati dan taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT membimbing dan membantu kita untuk dapat mengamalkan doa-doa dan wirid sebagaimana yang diajarkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan akhirnya kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mengingati Allah (ahli zikrullah) dan mendapat pertolonganNya di dunia dan di akhirat, aamin.

Lahaulawalaquwwata illabillah
Rujukan;
1. Himpunan Doa-Doa Pilihan  dari Al Quran & Al Hadis Serta Terjemahannya (Prof. Dr Haron Din & Ust Ishak Din) Darul Nu'man
2.Wirid Rasulullah S.A.W. Pagi dan Petang (Dr Abdullah Yasin) Al Furqan Enterprise

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...