Monday, October 28, 2013

Mereka Yang Mewarisi Syurga (Menurut Hadith Nabi SAW) Bhg.1

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirrabbilálamin
Wassolatiwassalamuála asyrofilanbiyaiwalmursalin waálaalihi wasahbihiajmain

Beberapa ketika dulu saya teringatkan sebuah buku yang saya perolehi di Madinah secara percuma semasa pergi menunaikan umrah bersama-sama suami dan tiga orang anak-anak saya beberapa tahun yang lalu.. Buku tersebut telah lama saya selesai membacanya. Pernah terdetik di hati untuk berkongsi isi kandungannya dengan pengunjung-pengunjug blog saya tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya.


Hari ini, saya teringat kembali kepada buku berkenaan dan syukur diberikan saya kemahuan yang kuat untuk mendapatkannya dari celah-celah koleksi buku yang saya miliki. Saya merasa sangat beruntung memiliki buku tulisan K.H. Ahmad Jamhuri Jaharis Nuruddin, bertajuk "Siapakah Yang Mewarisi Syurga Dan Yang Memasuki Api Neraka". satu buku atau kitab yang memberikan pencerahan tentang kategori manusia dengan ciri-ciri sikap dan amalan mereka yang menurutHadis Nabi SAW layak untuk menjadi ahli syurga atau sebaliknya akan memasuki neraka, naúzubillah.

Selepas saya teliti, tidak ada larangan daripada pengarang atau pihak penerbit untuk dikongsikan isi kandungan buku tersebut, malah pengarang mengharapkan agar risalah tersebut dapat dimiliki oleh setiap rumah muslimin, dan beliau berharap agar dapat mengetuk pintu hati hartawan yang boleh menyumbang harta untuk mencetak risalah berkenaan untuk diedarkan dengan percuma. Mulia sungguh hati pengarang berkenaan. Semoga Allah kurniakan segala kebaikan kepada beliau atas usaha murninya dan semoga ini menjadi amal jariah beliau dengan ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT.

Sifat semula jadi jiwa manusia ingin masuk syurga dan dijauhkan daripada api neraka. Ini sesuai dengan ajaran AlQuran dan sunah rasul supaya kita cepat minta ampun kepada Allah, segera meminta syurga dan berlindung dari api neraka. Allah selalu memanggil kita ke rumahNya Darussalam, rumah yang aman sentosa. Kita disuruh supaya bertaqwa kepada Allah dan mengejar rahmatNya yang melimpah ruah.


Memang ada yang berkata, beramal bukan untuk syurga atau takut bukan kerana api neraka. Perkataan tersebut adalah menurut maqam mereka. Syurga sudah ditentukan penghuninya dan neraka pun begitu. Justeru mungkin akan ditanya beramal untuk apa? jawapannya tidak lain, kita beramal adalah semata-mata menjunjung perintah Allah, menandakan diri kita yang patuh dan taat kepadaNya.


Kita dilarang berserah diri kepada qadha dan qadar tanpa beramal kerana qadha dan qadar ketentuan manusia yang masuk ke syurga atau ke neraka tidak kita ketahui. Oleh sebab itu kita disuruh beramal. Disuruh mengharapkan syurga dan dilarang mendekati jalan ke api neraka.


Syurga adalah tempat yang amat indah dan mewah, penuh kebahgiaan dan tidak ada langsung kepayahan. Tiada langsung kotoran, apa yang dimakan an minum hanya akan menjadi keringat yang berbau harum.


Pengarang ini telah mengumpulkan hadith-hadis dari kitab-kitab seperti Bukhari, Muslim, Abi Daud, Attirmizi, Annasai, Ibnu Majah dan lain-lain yang insya Allah bukan hadith yang maudhu. Saya ingin kongsikan dahulu tentang siapakah yang mewarisi syurga dan kemudian  nanti insya Allah akan disambung dengan siapakah pula yang akan masuk neraka, naúzubillah.

Mereka yang mewarisi syurga :


1. Orang yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa.

Maksud Hadith Nabi SAW "Barang siapa mati, tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun jua, nescaya masuk syurga" (Mutafaqun álaih).

2. Orang yang bersolat setiap sesudah berwudhuk.

Maksud Hadith Nabi SAW "Tidak ada seseorang Muslim yang berwudhuk, ia sempurnakan wudhuknya, kemudian solat dua rakaat, menghadap dengan ikhlas kepada Allah dengan hatinya dan mukanya, kecuali pastilah baginya syurga" (Riwayat Muslim). Solat dimaksudkan di sini lebih kepada solat sunat.

3. Orang yang berpuasa

Maksud hadith Nabi SAW "Syurga ada lapan pintu, salah satunya yang bernama Arrayyan, tidak akan masuk dari sana kecuali orang-orang yang berpuasa"(Mutafaqqun álaih).

4. Orang yang pemurah

Maksud Hadith Nabi SAW "Syurga adalah istana para dermawan, orang-orang yang pemurah" (Riwayat Atthabrani).

5. Orang yang mendapat haji mabrur

Maksud Hadith Nabi SAW "Haji yang mabrur tidak ada balasannya kecuali syurga" (Riwayat Imam Ahmad).

6. Orang yang berdoa sesudah berwudhuk

Maksud Hadith Nabi SAW "Tidak ada dari kalian, seseorang yang berwudhuk, ia sempurnakan wudhuknya, kemudian membaca doa seperti berikut:

اَشْهَدُ اَنْ لاَاِلَهَ الا اللَّه وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ

وَاَشْهَدُ اَنْ مُحمَّدا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ المُتَطَهِّرِيْنَ
وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَدِك الصَّالِحِيْنَ

(terjemahannya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad hambaNya dan pesuruhNya.
Ya Allah jadikanlah aku daripada orang yang bertaubat
dan golongkanlah aku daripada hambaMu yang soleh)
Kecuali dibukakan baginya pintu syurga yang lapan, terserah dia masuk dari pintu mana yang dia suka" (Riwayat Muslim).
7. Orang yang mendirikan solat empat rakaat sebelum zuhor)
Maksud Hadith Nabi SAW "Barangsiapa selalu mengamalkan solat sunat empat rakaat sebelum solat zuhor, dan empat rakaat sesudahnya, diharamkan jiwanya atas api neraka" (Riwayat Attirmizi).  
8. Orang yang membaca Ayatulkursi dan Suratulikhlas sesudah solat
Maksud Hadith Nabi SAW "Sesiapa yang membaca ayatulkursi setiap selepas solat fardhu, tiada yang melarang dia untuk masuk syurga kecuali mati. dan Imam Aththabrani menambahkan dalam riwayat lain, ayatulkursi tambah suratulikhlas" (Riwayat Annasai', Aththabrani).
9. Orang yang sentiasa sembahyang dhuha
Maksud Hadith Nabi SAW "Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang dikenal dengan pintu Dhuha. maka apabila hari kiamat, memanggil orang yang memberitahukan. Mana orang-orang yang keadaannya sentiasa mengerjakan solat dhuha. Inilah dia pintu yang khusus untuk kalian, masuklah dari sana dengan rahmat Allah"(Riwayat Atthabroni).

10. Wanita-wanita yang berbakti kepada Allah dan suami

Maksud hadith Nabi SAW "Apabila solat perempuan itu beres kelima-lima waktunya, dia puasa bulan Ramadhan sepenuhnya, dan dia pelihara kehormatannya (kemaluannya), dan berbakti terhadap suaminya, nanti di hari qiamat akan dikatakan kepadanya masuklah melalui pintu syurga yang mana yang engkau suka" (Riwayat Imam Ahmad)

11. Orang yang menyumbangkan harta bagi membangunkan masjid

Maksud hadith nabi SAW "Barang siapa membangun masjid kerana Allah, nescaya Allah bangunkan baginya sebuah rumah di syurga"(Riwayat Bukhari dan Muslim).

12. Orang yang selalu solat berjamaah di masjid

Maksud Hadith Nabi SAW "Barang siapa pagi-pagi ke masjid atau petang hari, nescaya Allah nanti sediakan baginya jamuan setiap pagi dan petang" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

13. Orang yang membersihkan masjid

Maksud Haith Nabi SAW "Barang siapa yang membuang kotoran, sampah dari masjid, nescaya Allah bangunkan baginya sebuah rumah dalam syurga" (Riwayat Ibnu Majah).

14. Orang sentiasa mengumandangkan azan

Maksud Hadith Nabi SAW "Barang siapa melakukan azan satu tahun. Wajib pasti baginya syurga" (Riwayat Al Baihaqi).

15. Orang yang membersihkan/membuang halangan dari jalanan

Maksud Hadith Nabi SAW "Sesungguhnya aku lihat seorang pemuda mundar mandir di dalam syurga, kerana ia telah memotongg satu ranting kayu di atas jalan, yang menyakiti atau menyukarkan kaum muslimin yang lalu di sana" (Riwayat Muslim) 

16. Orang yang kasih sayang terhadap binatang

Maksud Hadith Nabi SAW "Menghampiri seorang lelaki kepada sebuah perigi, lalu turun minum di sana. Berhampiran perigi ada seekor anjing dalam keadaan haus, timbul di hatinya rasa kasihan, lalu turun melepaskan sebelah kasutnya lalu di isi dengan air dan air tersebut diberikan kepada anjing. Dengan demikian, Allah berterima kasih kepada perbuatannya, Allah masukkannya ke dalam syurga"  (Riwayat Muslim).

17. Orang yang mengasuh anak yatim

Maksud Hadith Nabi SAW "Aku dan orang yang memelihara anak yatim bersama-sama di dalam syurga seperti ini. Ia contohkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya"(Riwayat Attirmizi).

18. Orang yang membantu mereka yang haus dan lapar

Maksud hadith Nabi SAW "Sesiapa saja yang beriman memberi makanan kepada mukmin yang menderita lapar, nescaya Allah memberikan makanan kepadanya di hari kiamat dengan buah-buahan syurga. Siapa saja yang memberikan minuman kepada mukmin yang kehausan, kelak dia akan diberi minum oleh Allah SWT di hari kiamat nanti dengan minuman arak yang semerbak baunya. Siapa saja yang memberi pakaian kepada saudaranya yang beriman dalam keadaan tanpa pakaian, nescaya Allah memberikan pakaian kepadanya pada hari kiamat dengan kain yang hijau dari syurga"(Riwayat Attirmizi). 

19. Orang yang memberi makanan kepada yang berhajat

Maksud Hadith Nabi SAW "Barang siapa memberi makanan kepada orang yang sakit sesuai dengan seleranya, nescaya Allah memberi makan kepadanya buah-buahan dari syurga"(Riwayat Atthabroni).

20. Orang fakir miskin

Maksud Hadith Nabi SAW "Berdialog syurga dan neraka, berkata syurga, penghunikan adalah orang rendah dan fakir miskin" (Riwayat Attirmizi)
Juga sudah dinampakkan syurga kepada Nabi SAW, ternyata yang paling ramai penghuninya ialah orang dhaif/rendah dan fakir miskin. Memang watak si miskin selalunya merendah iri, manusia sering bersikap sombong apabila merasa kaya.

21. Orang yang membimbing orang buta

Maksud Hadith Nabi SAW "Barang siapa yang membimbing orang yang buta sampai empat puluh langkah, wajib ditentukan baginya syurga"(Riwayat Abu Naim).
Selalunya tidak akan berbuat demikian kecuali orang yang tawadhuk dan tidak sombong.

22. Orang yang mengasuh tiga orang anak perempuan

Maksud Hadith Nabi SAW "Barangsiapa memelihara tiga orang anak perempuan, ia berikan pendidikan kepada mereka, kemudian ia kahwinkan mereka semuanya dan berbuat baik kepada mereka, maka balasan baginya adalah syurga"(Riwayat Al Hakim).
Sekali pun seorang anak perempuan saja, pahala tetap ia dapati.

23. Orang yang kematian tiga orang anaknya

Maksud hadith Nabi SAW "Tidak ada dari seseorang Muslim, yang anaknya meninggal dunia belum sampai dewasa, kecuali Allah masukkan ia ke syurga, sebab kurnia rahmat Allah terhadap mereka"  (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Pernah Rasulullah SAW ditanya, bagaimana kalau dua orang sahaja yang meninggal? Jawabnya sekalipun dua, sekalipun satu. Mereka akan menolong ibu bapa mereka di padang Mahsyar, dengan membawa air minuman dan membimbing ibu bapa mereka ke dalam syurga.

24. Orang yang menjadi buta

Maksud Hadith Nabi SAW "kata Saidina Anas, aku dengar rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia dan Besar berfirman (hadith qudsi) apabila Aku kenakan bala hambaku pada dua biji mata yang disayanginya. maka diterimanya dengan sabar, nescaya Aku ganti yang dua itu tadi dengan syurga (yang dua itu adalah matanya)"(Riwayat Al Bukhari).

25. Orang yang selalu memuji Allah

Maksud Hadith Nabi SAW "Yang pertama dipanggil masuk syurga adalah orang-orang selalu memuji Allah. Mereka sentiasa mengucapkan Alhamdulillah". (Riwayat Abu Naim)
Sentiasa memuji Allah samada di waktu senang atau di waktu susah.

(Insya Allah bersambung...)


No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...