Saturday, October 12, 2013

Golongan-golongan ''Ibadurrahman" : ciri-cirinya dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin

Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Saya sangat tertarik untuk berkongsi dalam blog ini tentang matlamat atau objektif yang sama-sama kita sewajarnya sedar dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.  Di dalam Al Quran, Allah Tuhan kita Yang  Maha Pengasih (Al Rahman) telah memanggil hamba-hambaNya yang memiliki ciri-ciri dan amalan cara hidup yang tertentu sebagai "hamba-hamba (Allah) Al Rahman" atau "'Ibadurrahman", mereka ini dinyatakan akan memperolehi darjat dan martabat yang tinggi di sisi Allah.

Dalam Al Quran,  Surah Al Furqan, ayat 63 hingga 76, Allah telah menerangkan apakah ciri golongan-golongan berkenaan serta dinyatakan balasan bagi mereka iaitu martabat yang tinggi di dalam syurga kerana kesabaran mereka dan penghormatan serta ucapan selamat untuk mereka di dalamnya. Sementara dalam ayat akhir surah berkenaan (ayat 77), Allah menegaskan bahawa Dia tidak mengendahkan atau memperdulikan manusia melainkan kalau ada ibadat mereka. Bagaimana mungkin boleh beribadat sekiranya manusia mendustakan dan mengingkari Allah. Bagi  golongan tersebut kelak azab Allah akan pasti menimpa mereka.

A063
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

A064
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,

A065
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.

A066
Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk

A067
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

A068
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;

A069
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, 

A070
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

A071
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;

A072
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

A073
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.

A074
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

A075
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

A076


Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

A077
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".

Allah SWT Al-Rahman dengan sifat Maha Pengasih telah menerangkan golongan-golongan yang layak untuk dipanggil "Ibdurrahman". Kita sama-sama dapat menggunakanya sebagai kayu ukur dalam menilai diri kita sendiri apakah kita tergolong dalam salah satu golongan yang disebutkan atau kita memiliki kriteria semua golongan yang telah dinyatakan. Menurut Ustaz Nouman Ali, sekiranya kita memiliki kriteria atau ciri-ciri salah satu golongan yang disebutkan, maka kita sudah boleh dikira termasuk dalam "Ibadurrahman". Allah, Tuhan kita Yang Maha Pengasih tidak meletakkan syarat yang sangat ketat bagi hamba-hambaNya untuk layak mendapatkan gelaran atau panggilan tersebut.

Tersentuh hati saya apabila mengenangkan doa yang sering diucapkan oleh arwah ayahanda saya iaitu doa memohon agar Allah kurniakan dengan pasangan dan zuriat yang penyejuk mata (qurrotaáyun), dan seterusnya meminta agar dijadikan imam bagi bagi orang-orang yang bertaqwa, sekurang-kurangnya di kalangan ahli keluarga kita. Semoga Allah terima amalan arwah ayahanda saya dan menerima arwah sebagai termasuk dalam golongan Ibadurrahman.

Sudah seharusnya kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikanNya kekuatan iman, kesabaran yang baik agar kita dapat istiqamah melakukan amal ibadat seperti yang diredhaiNya. Di samping itu, iman yang kukuh dan kesabaran yang baik yang dikurniakan kepada kita membolehkan kita, insya Allah melepasi rintangan oleh hawa nafsu dan ego dalam diri kita yang sentiasa menarik kita ke arah keburukan dan maksiat, tidak mentaati perintah Allah sebaliknya melanggar laranganNya. mudah-mudahan kita dapat tergolong di kalangan "Ïbadurrahman" dan dengan rahmatNya mengurniakan kita di akhirat nanti ganjaran dengan martabat yang tinggi di dalam syurga,aamin Ya Rabbalálamin.

Lahaulawalaquwwataillabillahil'aliyil'azim.

WasallallahuálaMuhammad waálaalihi wasahbihi wassalam

walhamdulillahirabbilálamin











No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...