Monday, April 10, 2017

Bismillahirrahmanirrahim,
AllahummasolliálaMuhammad wa'ala aliMuhammad wasahbihiwwassalam



Alhamdulillah kelmarin 9 April 2017, hari Ahad saya bersama beberapa ahli keluarga selamat bermusafir ke Kuantan. Selepas menghadiri kenduri kahwin, kami bertolak ke Kuantan dengan dua buah kereta. Sebuah kereta lagi telah bertolak terlebih dahulu. Kami tiba di Kuantan waktu malam. Oleh kerana ''homestay'' yang kami tempah lokasinya melepasi Tanjung Lumpur, kami mengambil keputusan untuk berhenti makan malam dengan hidangan makanan laut di Tanjung Lumpur dahulu. kami singgah di Restoran Super Top. Kami puas dapat menikmati hidangan masakan laut yang memang menjadi kesukaan keluarga kami termasuk ikan kerapu kukus, tom yam seafood, sambal udang, ikan masak sambal petai, sotong goreng tepung.

Selesai makan malam, kami terus ke ''homestay Penghulu" di Kempadang. Keadaan rumah semi-D tersebut agak selesa bagi kami sekeluarga. Rumahnya masih baru. Halamannya luas.Kkalau Di KL atau Selangor, entah berapa ratus ribu harganya, kalaupun tak mencecah juta. memang betul agaknya bahawa lokasi dan lokasi adalah faktor penting dalam menentukan harga sesuatu 'property''.

Tujuan utama musafir kami ke Kuantan ialah untuk mengadakan lawatan ke sebuah maahad Tahfiz di situ. Kami ingin mendengar sendiri kisah, pengalaman serta pengorbanan mudir maahad berkenaan, Ustaz Jamal pada peringkat awal pembangunannya sehinggalah kepada keadaannya pada hari ini. Sebelumnya, pihak kami telah menghubungi beliau dan telahpun membuat temujanji dengannya.

Alhamdulillah Ustaz Jamal menerima lawatan kami dengan baik. Beliau telah sudi berkongsi pengalamannya dalam membangunkan MABIQ. Tidak sedikit pengalam sukar dan cabaran yang telah beliau hadapi terutama diperingkat awal penubuhannya. Malah seketika beliau sebak dan menitiskan air mata mengenangkan detik detik yang sangat bermakna yang beliau telah lalui. Kami sangat teruja mendengar perkongsian beliau. Ustaz Jamal juga tidak lokek untk memberikan nasihat dan pandangan dalam menghadapi cabaran yang mungkin dihadapi bagi sesiapa saja yang beminat atau bercadang menubuhkan maahad tahfiz berdasarkan pengalamannya sendiri.

Insyaa Allah, diharaplan mudah mudahan dengan mendengar perkongsian beliau, apa yang mendorongnya, cabaran yang dihadapi dan pengorbanan yang telah beliau lakukan demi mencapai hasrat agar Al Quran terlekat di dada anak anak muda, dapat pula menyuntik semangat ke arah itu kepada kami sekeluarga. Sudah pasti apa yang Ustaz Jamal lakukan adalah satu amal jariah yang terpuji yang insyaa Allah akan menjadi saham yang sangat sangat diharapkan di akhirat nanti. Allahumma aamiin Ya Rabbalálamin.


No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...