Wednesday, April 5, 2017

Lima Perkara Yang Akan Ditanyakan Kepada Setiap Orang Di Hadapan Allah Pada Hari Kebangkitan

Bismillahirrahmanirrahim
Allahummasolliálasaiyidina Muhammad waálaalihi wasohbihi wassalam

Setiap anak Adam tidak akan bergerak daripada tempat berdirinya di hadapan Allah pada Hari Kebangkitan sehingga dia ditanya tentang lima (5) perkara iaitu: hidupnya apa yang ia telah lakukan semasa hidupnya; masa mudanya untuk apa ia telah menggunakan masa mudanya; harta kekayaannya dari mana ia dapati dan untuk apa harta itu ia telah gunakan; dan ilmunya untuk apa ia telah gunakan (Hadith riwayat At Tirmizi).

Bila kita renungkan hadith ini, maka kita sedari bahawa setiap detik yang kita lalui, hidup kita, usia kita, harta benda kita dan ilmu kita semuanya akan dipersoalkan nanti. Kita bertanggungjawab atau accountable atas semua perkara. Sewajarnya kita merasa emas dan khuatir akan nasib kita ketika itu. tidak dapat kita berdolak dalik atau mencari helah, segalanya tercatat secara detail di suratan amalan kita. Bukan masa untuk beralasan di sana nanti.

Sewajarnya kita perlu dan tidak boleh tidak kena bertindak bijak sekarang, semasa kita masih dihidupkanNya di dunia ini. Kita perlu menghisab lima perkara tersebut sekarang. Masa tidak pernah menyebelahi kita. Apakah kita telah gunakan hidup kita seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT iaitu untuk mengibadati Allah SWT. Sudahkah kita benar benar menjadi hamba Allah. apakah kita sudah benar benar beriman dengan enam rukun iman iaitu beriman kepada Allah; beriman kepada para rasul; beriman kepada kitab Allah; beriman kepada malaikat; beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada''dan qadar. Apakah kita sudah mentauhidkan Allah SWT dengan sebenar benarnya dan tidak langsung tercemar oleh syirik. Semua dosa Allah boleh ampunkan tetapi tidak sekali kali dosa syirik, nauzubillah. Semoga Allah SWT pelihara kita daripada dosa syirik.

Apakah kita sudah menjalankan rukun Islam sebagaimana yang disyariatkan seperti yang ditunjuk dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Rukun Islam yang lima: bersyahadah (syahadatain); mendirikan solat; berzakat; berpuasa di bulan Ramadhan; dan mengerjakan haji sekiranya sudah mampu dan cukup syaratnya. Setiap syariat dan amal ibadat yang diwajibkan itu perlu berpandukan sumber daripada Rasulullah SAW. Iman dan Islam perlu di lengkapi dengan ihsan. Komponen ihsan yang seringkali kurang diberikan penekanan atau keutamaan. Ihsan adalah menyedari akan Allah. Apabila kita beribadat merasa seolah olah melihat Allah dan sedar bahawa Allah benar benar melihat kita.

Masa muda kita hanya sekali kita alami. Masa mudalah lumrahnya kita memiliki fizikal yang kuat dan cantik. Jiwa yang bersemangat membara 'darah muda', sekiranya tidak dituntuni oleh iman, Islam dan ihsan, terdedah kepada menurut tuntunan hawa nafsu semata mata. Hawa nafsu sering mengajak kepada keburukan dan ammarah kecuali hawa nafsu yang dirahmati oleh Allah SWT. Beruntunglah sesiapa yang menggunakan masa mudanya yang gagah kuat dan penuh bertenaga untuk mentaati Allah, mentaati Rasullullah SAW. Berjuang untuk agama Allah dengan menjalankan kerja dakwah bagi mengajak manusia kepada iman dan agama Islam.

Kita juga bertanggung jawab terhadap harta yang dimiliki. Mencari dan memiliki harta perlu dengan cara yang halal, tidak dengan tipu muslihat atau menzalimi orang lain. Bagaimana kita menggunakan harta kita.Apakiah kita sudah menggunakannya untuk Islam dengan membayar zakat, bersedekah dan untuk perjuangan fisabilillah. Umpamanya untuk menyokong kerja dakwah dan menyebarluaskan ajaran Islam di muka bumi ini. Sekiranya kita dapat lakukan perkara perkara ini, maka beruntunglah kita insyaa Allah.

Ilmu yang kita perolehi dengan izinNya, apakah kita gunakan ke arah kebaikan. Tidak kiralah ilmu agama, ilmu sains atau apa sahaja cabang ilmu yang kita perolehi, dapat kita manafaatkan untuk kebaikan ummah demi mencari keredhaan Allah. Ataukah ilmu kita itu semata mata kita gunakan untuk mencari kesenangan duniawi semata mata. Umpamanya bagi mengejar pangkat dan harta dan sanjungan manusia sahaja. Yakinlah bahawa sekiranya ilmu kita tidak digunakan ke arah kebaikan untuk manafaat ramai demi mencari redha Allah SWT, maka ilmu tersebut tidak membawa apa apa keuntungan di dunia apa lagi di akhirat. Bahkan kemurkaan Allah yang akan diperolehi, nauzubillah.

Dalam kita menghalusi dan menghisab lima perkara tersebut, masa usia kita yang berbaki di dunia ini jangan sekali kali di sia siakan supaya dapat terus mempergiatkan usaha dan mengambil langkah yang strategik dan efektif supaya kelima lima perkara tersebut menjadi sumber atau resources yang berharga dan terhad bagi bekalan kita untuk menghadapi saat dan ketika kita berdiri di hadapan Allah ST di Hari Kebangkitan di akhirat nanti. Sekaranglah masanya untuk memikirkan dan pertimbangkan secara mendalam apakah sebenarnya 'vision' dan 'mission' yang kita tetapkan bagi persediaan kita untuk kita apabila bertemu dan berdiri di hadapan Allah  kelakRabbuljalil  di Hari Kebangkitan atau Hari Pembalasan. Ya Allah Ya Rabb bantulah kami agar dapat kami lakukan yang terbaik dengan lima perkara yang Engkau titipkan kepada kami agar kami selamat serta mendapat redhaMu di akhirat nanti. Allahumma Aamiin Ya Rabb.





No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...