Monday, April 10, 2017

Cappadocia, hotel gua dan Surah Al Kahfi: kenangan yang sukar dilupakan

Bismillahirrahmanirrahim

AllahummasolliálaMuhammad waálaaalihi wasahbihi wassalam

Teringatkan pengalaman melancong atau bermusafir ke Cappadocia, Turki. Sebelumnya kami suami isteri telah menghadiri kovokesyen anak kami di Mesir sambil menggunakan peluang tersebut untuk bercuti dan melancong ke negeri para ambia tersebut. Kami kemudian meneruskan percutian ke Turki dengan menaiki pesawat Egypt Air dari Iskandariah ke Istanbul. Di Istanbul kami tinggal di ''homestay'' yang diuruskan oleh seorang pelajar Malaysia. Dari situ kami hanya perlu menaiki tram untuk ke destinasi popular pelancongan sekitar Istanbul termasuk Masjid Biru, Masjid Sultan Ahmad, Muzium Islam, menikmati makanan laut di restoran pinggir Laut Bhosporus dan sebagainya.

Destinasi seterusnya ialah Cappadocia. Kami menaiki bas ekspres/bas metro dari Istanbul ke Cappadicia. Perjalanan dengan bas ke sana boleh tahan lamanya, terasa lenguh juga belakang kami. Alhamdulillah kami dapat tidor semasa dalam perjalanan. Dengan tidor dapatlah juga rehatkan minda kami dan tidaklah terasa lama sangat perjalanan tersebut.

Cappadocia bandar yang kurang sibuk dengan lanskap semula jadi yang sangat unik. Banyak terdapat struktur seperti bukit bukit gondol dengan bentuk yang unik. Penduduk tempatan memberikan nama nama tertentu kepada bukit bukit tersebut bersesuaian dengan mirip bentuk bukit tersebut.



Semasa di sana kami diberi pilihan samada mahu tinggal di hotel biasa atau hotel gua. Saya memilih untuk tinggal dan bermalam di hotel gua semata mata ingin merasakan pengalaman baru. Perjalanan ke hotel gua agak berliku liku dan mendaki bukit dengan kenderaan. Akhirnya kami sampai ke hotel gua kami. Ada juga rasa khuatir sekiranya runtuh pula gua tu. Agak sejuk di dalam gua tersebut. Ada dipasangkan ''heater'' tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. kami tidur berselimut tebal. Selepas solat Isyak, sebelum melelapkan mata, saya mengambil Al Quran. Sebelum membukanya, saya berkata kata di dalam hati "Ya Allah, aku nak baca Al Quran ni sebelum tidur.  Ya Allah, aku mohon Engkau tunjukkan mana mana saja ayat untuk aku baca pada malam ini dalam keadaan badanku yang agak keletihan ini dan pertama kali tidur dalam gua Ya Allah". Dengan membaca Bismillah...dan dengan memejamkan mata, lembaran lembaran mukasurat Al Quran berlari antara jari jari tangan dan kemudian berhenti pada muka surat yang saya berniat untuk membacanya. Apabila aku buka mata, saya benar benar terkejut apabila mukasurat yang  dibuka adalah permulaan surat Al Kahfi. Saya rasa teruja sangat sebab ketika itu kami berada di dalam gua. Kahfi bermaksud gua. Saya kejutkan suami yang baru terlelap untuk berkongsi perasaan teruja saya dan menunjukkan mukasurat pertama surat tersebut yakni muka pertama surah Al Kahfi kepadanya. "Allah suruh saya baca surah Al Kahfi malam ni" ujar saya..

Surah Al Kahfi mengandungi kisah pemuda pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang kafir dan zalim ke dalam gua. Mereka kemudiannya  ditidurkan oleh Allah SWT selama tiga ratus sembilan tahun. Surah ini juga menceritakan kisah Nabi Musa AS berjalan atau bermusafir bagi mencari ilmu untuk berguru dengan hamba Allah yang telah dikurniakan ilmu laduni. Diriwayatkan bahawa hamba Allah berkenaan ialah Nabi Khidir AS. Surah ini juga mengesahkan tentang pengalaman musafir Zulkarnain. Memandangkan keadaan kami yang sedang bermusafir dan menginap pula di dalam hotel gua,  Sehingga ke hari ini apabila saya baca surah Al Kahfi pada hari Jumaat terutamanya, saya pasti teringat peristiwa ini. Kisah ini sangat memberi kesan dan kekal menjadi kenangan yang sukar saya lupakan. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...