Friday, February 8, 2013

Bukit Larut dan Kuala Sepetang (Ecotourism)

Bismillahirrahmanirrahim. 
Alhamdulillahirobbilálamin.
Allahumma solliálaMuhammad waálaalihi wasohbihi wassalam.

Sempena cuti Maulid Rasullullah SAW yang lalu, kami sekeluarga telah bersetuju untuk mengambil tambahan cuti rehat. Jika disambung dengan cuti hujung minggu, menjadikan satu tempuh cuti yang lumayan bagi merancang satu percutian sekeluarga.

Dalam perbincangan kami, terdapat beberapa destinasi percutian yang telah dicadangkan termasuk di dalam dan di luar negeri. Akhirnya atas alasan tertentu kami bersetuju untuk bercuti ke negeri Perak Darul Ridwan. Masih ada tempat-tempat di negeri ini yang kami belum jelajahi. Destinasi percutian kami kali ini ialah ke daerah utara negeri Perak iaitu di Taiping dan Kuala Sepetang. Kami check in di home stay apartment di Tasik Merah Lake Resort. Selepas check in, berehat melepaskan penat, anak-anak keluar ke Bandar Taiping untuk membeli makanan untuk makan malam. Kami telah mengadakan majlis khatam Al Quran (sempena khatam bacaan Al Quran oleh ahli keluarga) pada malam tersebut. Sengaja diaturkan begitu sebagai sebahagian aktiviti pengisian percutian kami.

Keesokan harinya kami bertolak ke Bukit Larut. Cukup sebuah jeep untuk mengangkut kami naik ke atas bukit berkenaan. Cuaca pagi itu sejuk dan nyaman sebab hujan turun pada malam sebelumnya. Sesampainya di atas bukit, kami diberi masa lebih kurang 45 minit untuk meninjau di sekitarnya sebelum jeep bertolak turun. Memang sejuk di atas sana, air paip terasa sejuk bila kami membasuh tangan untuk makan sarapan nasi lemak yang dibeli dari sebuah gerai di kaki bukit. Terdapat di sana jenis pokok tanah tinggi seakan-akan pokok-pokok yang terdapat di kaki Gunung Kinabalu yang pernah kami lawati. Kami dapat melihat hampir keseluruhan bandar Taiping dari atas Bukit Larut. Turun dari Bukit Larut, kami pulang ke apartment untuk makan, solat jamak dan berehat sebentar sebelum bertolak ke destinasi seterusnya.

Selepas waktu asar, kami bertolak ke Kuala Sepetang. Sebelum ke jeti, pemandu pelancong kami, En Khairul membawa kami untuk menjamu selera di kedai makan Mee Udang Mak Teh.  Terperanjat juga kami dengan bilangan udang yang dihidangkan dalam mee bagi setiap mangkuk yang dipesan. Besar-besar udang yang dihidangkan. Kenyang kami makan mee udang Alhamdulillah. Sebelum waktu Maghrib, kami menaiki boat dari jeti di Kuala Sepetang menuju ke muara sungai Sepetang untuk melihat kelip-kelip (fireflies). Perjalanan menaiki boat mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai ke kawasan yang ditumbuhi sejenis pohon yang memang menjadi pilihan untuk kelip-kelip mengawan. Malam tersebut bulan agak penuh, jadi malam tidak begitu gelap. Kelip-kelip akan lebih jelas dapat dilihat ketika malam gelap menurut pemandu pelancong kami. Kami sekeluarga menumpukan perhatian kepada pohon-pohon yang ditunjukkan oleh En Khairul. Selepas beberapa ketika kami dapat melihat pemandangan yang indah, di mana pohon-pohon tersebut bercahaya berkelip-kelipan bagaikan pohon krismas. Keluar ucapan subhanallah dari mulut kami apabila melihat pemandangan tersebut. En Khairul pernah membawa pelancong dari Jepun, mereka bertepuk tangan melihat pemandangan tersebut. Menurut En  Khairul, hanya ada beberapa tempat di dunia yang orang dapat melihat pohon dengan kelip-kelip sebegini. Malaysia adalah salah satunya. Di Malaysia, terdapat dua tempat iaitu di Kuala Selangor dan di Kuala Sepetang, Perak.


musafirghuroba
Bukit Larut


Kuala Sepetang


Pemandangan melihat kelip-kelip mengawan pada waktu malam memang indah dan timbul rasa kagum. Menurut En Khairul, kelip-kelip mengeluarkan fluorescent dari bahagian abdomennya. Kelip-kelip sengaja pergi ke pohon species tertentu untuk mengawan. Selepas proses mengawan, kelip-kelip jantan akan mati sementara kelip-kelip betina akan kembali ke tempat asalnya untuk meneruskan proses pembiakannya. Jangka hayat kelip-kelip hanyalah dua minggu. Timbul juga rasa hiba di hati apabila melihatkan ciptaan Allah yang ini. Kelip-kelip dapat menggembirakan hati manusia dengan memperlihatkan satu fenomena seperti lampu di pokok krismas ketika mereka mengawan. Jelas sekali mereka akur sepenuhnya kepada fitrah aturan Allah yang telah menentukan kitaran dan aktiviti hidupnya yang begitu. Mereka tidak pernah membantah. Hidupnya hanya untuk dua minggu sahaja dan mereka berusaha segenap upaya bagi menyambung kelestarian generasinya dengan patuh sepenuhnya kepada fitrah yang ditentukan oleh Maha Pencipta. 

Saya sangat merasakan betapa beruntungnya kita yang dicipta oleh Allah dengan penuh sempurna dan dikurniakan dengan segala pancaindera terutamanya pendengaran, penglihatan dan hati. Manusia dikurniakan akal yang dapat berfikir bagi mengendalikan hidupnya menggunakan segala pancaindera yang diciptakan oleh Allah. Tidak seperti kelip-kelip jangka hayat manusia panjang, di zaman sekarang ini kebanyakan usia manusia biasanya melepasi 70 tahun (wanita dilaporkan lebih panjang jangka hayat berbanding lelaki). Semoga umur panjang yang dikurniakan Allah tidak kita persia-siakan, sebaliknya digunakan sebaik-baiknya untuk bersyukur kepadaNya dan benar-benar menghambakan diri dan mengibadatiNya.

Bukankan Allah telah menegaskan tujuan diciptakanNya manusia seperti firmanNya dalam Surat Az Dzariyat (51: 56): Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan agar mereka menyembah dan  beribadat kepadaKu.

Malam tersebut kami tinggalkan kelip-kelip di muara Sungai Sepetang dengan satu pengalaman yang baru. Kami pulang ke apartment sewa dan keesokan harinya kami sekali lagi ke Kuala Sepetang untuk aktiviti yang lain pula.

Lahaulawalauwwataillabillahiláliyil'zim.
Wassalam
Bersambung... In sya Allah...

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...