Wednesday, February 20, 2013

Sabah Negeri di Bawah Bayu- Gunung Kinabalu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam

Antara memori yang telah terakam dan tersimpan dalam fail-fail di benak fikiran ialah pengalaman semasa bermastautin dan juga kembara atau bermusafir ke destinasi-destinasi tertentu. 

Alhamdulillah, sudah beberapa kali Allah izinkan kami berada di Sabah negeri di bawah bayu. Kunjungan kami ke sana tidak berapa lama dahulu adalah atas beberapa misi khususnya untuk urusan pertunangan dan pernikahan/majlis perkahwinan. Setelah maksud utama tercapai, kami gunakan masa yang terluang untuk melawat ke beberapa tempat yang telah dipilih. Urusan pemilihan tempat dibuat oleh anak-anak, saya dan yang lain-lainnya hanya mengikut saja.
Musafir Al Ghuroba
Hantaran pertunangan

Tempat yang mula-mula dilawati ialah kaki Gunung Kinabalu (nak mendaki rasanya di luar kemampuan kami). Dengan menaiki kenderaan yang disewa khas berserta pemandu (Jo, anak saudara kepada rakan kami di sana), kami bergerak awal pagi ke arah Gunung Kinabalu. Cuaca sangat baik, dari kejauhan sudah mula kelihatan puncak Gunung Kinabalu yang tinggi dan gagah di hiasi awan. Di bawah sinar cahaya Sang Suria yang sedang meninggi, puncak gunung kelihatan bersinar warna keperakan (silvery). Tidak langsung diselindungi kabus. Menurut Jo, agak bernasib baik kami dapat melihat pemandangan yang demikian. Andainya cuaca kurang baik,  puncak gunung sukar untuk dilihat. Kami berhenti di beberapa lokasi untuk menikmati pemandangan yang indah sambil merakam dengan lensa kamera yang dibawa. 

Musafir Al ghuroba
Puncak Gunung Kinabalu


musafir al ghuroba
Menikmati pemandangan


Gunung Kinabalu adalah gunung tertinggi di Borneo dan keempat tertinggi di Kepulauan Melayu dengan ketinggian 13,435 kaki atau 4095 meter. Kiranya dapat sampai ke kaki gunung ini, tempat di mana pendaki gunung memulakan pendakian sudah memadai bagi kami sekeluarga. Dapat juga menikmati keindahan pemandangan serta melihat flora yang terdapat di sana. Cuaca di kaki gunung agak sejuk dan berkabus nipis. Kami meluangkan masa melihat di sekitar taman di kaki gunung sebelum kami bertolak balik ke apartment 'home stay' yang kami sewa.


Musafir al ghuroba
taman di kaki gunung

Allah telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasak bumi yakni untuk mengukuhkannya daripada bergoncang sebagaimana firmanNya dalam Surah An Nahl ayat 15 (16:15).

A015
Terjemahannya : Dan Dia menancapkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan)  sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu dapat petunjuk.

Dalam Surah An Naba ayat 6 dan 7 (78:6-7)

A006

Terjemahannya: Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan

A007

Terjemahannya: dan gunung-ganang sebagai pasak?.

Subhanallah, Mahasuci Allah yang telah menjadikan semua ini yang manafaatnya untuk kita manusia yang telah dipilihNya sebagai khalifah di muka bumi. Gunung-ganang yang menjadi pasak bumi juga menambahkan keindahan landskap ciptaanNya. Sudah seharusnya manusia menghargai ciptaan Allah ini. Antara lain yang kita perlu lakukan ialah menjaga kebersihan persekitarannya daripada pencemaran serta sampah saraf, memelihara flora dan fauna yang terdapat di sana bagi mengekalkan 'biodiversity' semulajadinya. Apabila melihat alam semesta yang indah serta gagah seperti ini, pasti kita akan mengakui akan kebesaran PenciptaNya. 

Perkataan gunung juga telah disebut dalam Al Quran seperti firman Allah SWT dalam Surah Al Isra' ayat 37 (17:37)

A037 
Terjemahannya: Dan janganlah engkau berjalan di  bumi  dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau akan tidak dapat menyamai setinggi gunung ganang.

Kita lihat di sini bagaimana Allah mengingatkan manusia yang bersikap angkuh dan sombong dengan mengemukakan kelemahan dan kekerdilan dirinya.

Tafsir Fi Zilal Quran tentang ayat ini:
[Apabila hati seseorang sunyi daripada kesedaran bahawa Allah Yang Maha Kuasa menguasai para hambaNya, maka dia akan dipengaruhi oleh perasaan takbur dan sombong kerana kekayaan atau kekuasaan atau kekuatan atau kecantikannya, tetapi jika dia ingat bahawa segala nikmat yang ada padanya adalah dari pemberian Allah dan ingat bahawa ia amat lemah di hadapan kekuasaan Allah tentulah dia akan merendahkan perasaan takburnya dan menurunkan perasaan kesombongannya dan akan berjalan di bumi dengan langkah lemah lembut tanpa lagak yang angkuh dan bongkak.

Teguran Allah kepada manusia yang sombong akan kelemahan dan kekerdilannya, seharusnya menyedarkan mereka betapa kecilnya tubuh manusia, berbanding kejadian-kejadian besar yang lain yang telah diciptakan Allah. Manusia hanya kuat dengan kekuatan yang dikurniakan Allah dan kemuliaan yang dianugerahi Allah. Dia hanya mulia dengan roh ciptaan Allah yang dihembuskan ke dalam dirinya untuk membolehkannya membuat perhubungan dan bermuraqabah dengan Allah agar tidak melupainya.

Sifat tawadhuk dan rendah diri yang diserukan Al Quran di samping mencela sifat takbur dan sombong itu merupakan adab terhadap Allah dan juga terhadap sesama manusia, juga merupakan adab individu dan juga sosial manusia. Tiada yang meninggalkan adab ini melainkan manusia yang berhati kecil. Manusia yang sombong dibenci oleh Allah kerana melupakan segala nikmat kurniaanNya dan juga dibenci oleh manusia ramai kerana gaya hidupnya yang angkuh.] 


Menyedari betapa diri kita manusia sangat kerdil berbanding alam ciptaanNya termasuk langit dan bumi berserta gunung-ganangnya pastinya kita tiada pilihan melainkan mengakui kebesaranNya seraya menghilangkan rasa sombong dan angkuh lantas berserah, tunduk, sujud serta patuh  dan taat hanya kepadaNya.

Allahumma á'inni ála zikrika wasyukrika wahusniíbadatika

Lahaulawala quwwata illabillahiláliyilázim


(Insya Allah  bersambung....kembara ke Sabah)








No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...