Alhamdulillahirabbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waálaalihi
wasahbihiwasallam
Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin mencoretkan antara kenangan akan ayahanda saya yang telah kembali ke rahmatullah bulan Ramadhan yang lalu. Ayahanda telah dipanggil kembali ke hadhirat Ilahi pada hari Jumaat, waktu sahur 21 Ramadhan. Segala urusan tentang ayahanda telah dapat dibuat dengan begitu pantas dan pengkebumian dapat diselesaikan sebelum waktu solat Jumaat. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan serta menghimpunkan ayahanda di kalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabb.
Kenangan tentang arwah ayahanda antaranya ialah setiap kali kami balik kampung menziarahinya suasana selalunya ceria sebab ayahanda memang seorang yang suka bergurau dengan anak cucu bahkan juga dengan sanak saudara dan sahabat-sahabatnya. Yang sangat berbekas di hati saya ialah ketika sampai masa kami untuk pulang ke kota, saya pasti bersalaman dengan ayahanda dan memohon maaf sambil meminta agar beliau mendoakan saya dan seisi keluarga. Hampir setiap kali beliau memberikan reaksi yang sama iaitu "Memanglah aku sentiasa doakan, setiap kali selepas solat aku berdoa:
[maksudnya "Wahai Tuhan kami, berilah kami
beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang
yang (mahu) bertaqwa." (Surah Al Furqan 25:74]
Masih terngiang-ngiang suara
ayahanda membacakan doa tersebut. Kini ayahanda sudah tiada lagi di dunia untuk
terus mendoakan kami. Sebelum ini, saya sendiri ada juga mengucapkan doa
tersebut tetapi tidak secara istiqamah, tapi semenjak ayahanda pergi, timbul
keazaman di hati untuk meneruskan secara istiqamah doa yang pernah dilazimkan
oleh arwah ayahanda (in sya Allah setiap kali lepas solat). Kalau semasa
hayatnya ayahanda sentiasa mendoakan pasangan dan zuriat keturunannya agar
menjadi penyejuk mata, maka atas alasan apa saya tidak pula berdoa untuk
pasangan dan zuriat keturunan saya. Saya benar-benar rasa terkesan dengan doa
ini dan sangat terhutang budi dengan ayahanda yang sentiasa mendoakan kami
semasa hayatnya dahulu.
Semoga zuriat keturunan ayahanda
telah dapat menyejukkan mata ayahanda semasa hayatnya dahulu dan berpanjangan
hingga ke alam akhirat, kami tidak tahu... Wahai Allah kami mohon agar Engkau
makbulkan doa arwah ayahanda kami. Sekarang giliran saya pula untuk melazimkan
doa yang sama. Makbulkan ya Allah, amin amin amin Ya Rabb...
(in sya Allah... bersambung...)
No comments:
Post a Comment