Sunday, February 10, 2013

(...samb) Musafir ke Kuala Sepetang: Hutan Bakau (mangrove forest) dan Kilang Arang

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahirabbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waálaaliMuhammad wasahbihiwasallam

Keesokan harinya kami sekali lagi bertolak ke Kuala Sepetang. Pemandu pelancong kami, En Khairul menunggu kami di tepi jalan masuk ke Pusat Eko Pelajaran Kuala Sepetang (Mangrove Park). En Khairul memperkenalkan kami kepada pokok bakau, jenis-jenis bakau yang terdapat di situ, cara pembiakannya, kerja-kerja pemuliharaan (conservation) pokok bakau dan species pokok yang jadi musuhnya. Memandangkan masa kami yang terhad, kami hanya sempat berjalan meniti jambatan yang disediakan di hutan bakau tersebut kira-kira 20-30 meter sahaja. Sebenarnya  pokok bakau sangat unique termasuk cara pembiakannya dan kepentingannya dari aspek ekologi.

Hutan bakau Kuala Sepetang adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Matang yang terkenal di peringkat dunia sebagai ''mangrove conservation area" dan diiktiraf sebagai hutan bakau yang paling baik pengurusannya di dunia. Luas keseluruhan hutan bakau ini ialah kira-kira 20 hektar. 

Musafir Al-ghuroba
En Khairul memberi penerangan

Dari situ kami ke destinasi seterusnya iaitu ke kilang membuat arang. Namanya pun kilang arang, suasananya agak gelap dan suram. Menurut En Khairul, kilang tersebut dibina dalam tahun 1930 dan kekal sehingga ke hari ini. Cara opreasi kilang berkenaan masih mengekalkan kaedah lama, umpamanya pengangkutan kayu-kayu bakau ke kilang tersebut masih dengan boat khas yang melalui terusan yang dibina ke kilang berkenaan. Dari situ, kayu-kayu bakau dibawa ke kilang dengan ditarik atas landasan yang khas.

Kemudian kami dibawa ke tempat kayu-kayu bakau diproses manjadi arang. Kata En Khairul "Ini ialah tempat kayu-kayu bakau dibakar/proses untuk jadi arang. Ia dipanggil tannur. Bentuknya seperti iglu dan diperbuat daripada tanah liat khas yang tahan suhu tinggi. Harga bagi membuat sebuah tanur ialah kira-kira RM 15,000."

Yang benar-benar menyebabkan saya kaget ialah perkataan "tannur". Kalau kita baca Al Quran dengan terjemahan, pasti kita terjumpa kisah kaum Nabi Nuh AS yang dihukum Allah SWT kerana  mendustakan Nabi yang diutuskan kepada mereka. Kisah bagaimana mereka ditenggelamkan oleh banjir besar kecuali yang sedikit yakni yang beriman kepada seruan Nabi Nuh AS. 

Dalam Surah Hud (11: 40) terjemahannya: Hingga apabila perintah Kami datang dan tannur (dapur) telah memancarkan air, Kami berfirman "Muatkanlah ke dalamnya (kapal itu) dari masing-masing (haiwan) sepasang (jantan dan betina), dan (juga) keluargamu kecuali orang yang telah terkena ketetapan terdahulu dan (muatkan pula) orang yang beriman. Ternyata orang-orang yang beriman bersama dengan Nuh hanya sedikit."

Tannur

Maka saya berfikir tentang peristiwa yang dikisahkan dalam Al Quran tersebut. Kalau beginilah kira-kiranya tannur tu, sudah pasti keadaannya sangat panas yang membakar apa saja yang dimasukkan ke dalamnya dan dengan kepanasan tersebut juga pasti mengeringkan air yang terdapat di dalam tanah di sekitarnya. Daripada kisah tersebut Allah menunjukkan kekuasanNya kepada kaum Nabi Nuh AS, betapa Dia berkuasa memancarkan mata air dari tannur, suatu tempat yang logiknya panas dan kering. Bagi yang melihat dengan mata hati pasti mengakui kekuasan Allah di sebalik perihal tersebut. Saya terus berkongsi dengan keluarga saya tentang pengajaran daripada Allah tentang peristiwa tersebut. Subhanallah....Astaghfirullah, Ya Allah betapa takutnya kami akan azabMu Ya Allah. Peliharalah kami ya Allah...

Saya difahamkan yang kerja menyalakan dan menjaga api untuk membuat arang agak rumit. Memerlukan pengalaman dan kemahiran yang tinggi. Kayu-kayu perlu dikeringkan dahulu dengan api yang sederhana kuat. Selepas itu baru dinyalakan api yang kuat. Jika tersilap hasil arangnya akan tidak sempurna. Seorang pekerja yang ditemui di situ yang sudah agak berumur dikatakan sangat mahir sehinggakan dengan menghidu bau asap daripada tannur tersebut beliau boleh mengetahui samada pembakaran sudah sempurna atau belum. Menurut En Khairul arang yang dihasilkan di kilang ini kebanyakan untuk dieksport keluar negeri seperti Jepun, antara kegunaannya ialah untuk pembuatan kosmetik.

Seterusnya En Khairul membawa kami ke tannur yang sudah dikosongkan. Maksudnya semua kayu arang sudah dikeluarkan dan menunggu untuk diisi semula dengan kayu-kayu yang baru. Kayu-kayu tersebut disusun berdiri. Bila masuk dalam "iglu" tersebut, masih terasa bahang panasnya walaupun api sudah lama padam. Saya pandang ke sekeliling, memang agak besar tannur itu. Saya pandang ke atas, tidak ada lubang atau keadaannya tertutup. Yang ada ialah pintu tempat menyalakan kayu-kayu untuk membakar kayu-kayu bakau yang akan disusun nanti. Serta merta timbul rasa takut dan ngeri, apa yang saya fikirkan ialah bagaimana dahsyatnya kepanasan api neraka apabila Allah gambarkan dalam firmanNya tentang kedaan neraka yang tertutup rapat. 

Dalam Surah Al Balad (90:19-20) maksudnya: Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat. 

Dalam Surah Al Humazah (104:8-9) maksudnya: Sungguh, api itu ditutup rapat atas mereka. (Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. 

Saya benar-benar rasa ngeri dan tidak berani masuk ke dalam tannur tersebut kecuali berhampiran pintu dan sekejap sangat. Saya ceritakan juga pada keluarga saya tentang ini dan saya berdoa kepada Allah agar memelihara saya, ahli keluarga saya dan semua orang-orang yang beriman daripada azab neraka. Sebenarnya inilah antara iktibar dan pelajaran yang kami perolehi daripada lawatan ke kilang arang di Kuala Sepetang.

Rabbana atinafiddunyahasanah wafilakhiratihasanah waqina ázabbannar amin Ya Rabb.

musafirghuroba
Di dalam tannur yang dah kosong


Program seterusnya ialah menaiki boat ke muara Sg Sepetang untuk melihat burung-burung helang yang datang menyambar perut-perut ayam (ringan dan terapung) yang dilemparkan oleh En Khairul dan juga mengail ikan di chalet terapung di tengah laut sambil menikmati pemandangan 'sun set' dari atas chalet tersebut.  Kami tidak pandai mengail, walaupun bagaimanapun syukur Alhamdulillah, kami sekeluarga memang 'enjoy'' dengan pengalaman yang diperolehi dan yang penting dapat merasakan betapa kerdilnya diri kita manusia dan merasakan akan kebesaran Allah dengan melihat alam ciptaanNya, laut, burung-burung, ikan dan sebagainya. Sungguh mengasyikkan dapat menyaksikan betapa indahnya langit di kala malam mula menyapa dan matahari beredar masuk ke peraduannya, subhanallah.

musafirghuroba
Burung helang-terbang rendah cari makanan


Atas chalet terapung- mengail

Sun set dari atas chalet terapung


Lahaulawala uwwataillabillahiláliyilázim
Wassalam


2 comments:

  1. Terima kasih kerana melawat Kuala Sepetang.
    Misi kami: Menjadikan Kuala Sepetang Destinasi Pelancongan Antarabangsa Menjelang 2015

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kembali En Amirul kerana menjadi tourist guide tempuh hari. Semoga terus berjaya dan mencapai misi seperti yang diharapkan amin...

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...