Saturday, February 2, 2013

Penyakit Kencing Tikus (Leptospirosis)



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillahirobbilálamin. 
Allahumma solliálaMuhammad waálaalihi wasohbisiwasallam.


Baru-baru ini dapat panggilan talifon daripada sepupu yang memberitahu anaknya dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta. Anaknya disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus. Secara spontan saya bertanya samada anaknya ada terlibat dengan sebarang aktiviti di persekitaran yang melibatkan  'contact' dengan air. Menurut sepupu saya, anaknya telah mengikuti program lawatan yang dianjurkan oleh pihak sekolah ke Langkawi. Semasa di sana anaknya ada mandi di kolam renang tempat penginapan mereka. Menurutnya lagi kolam renang tersebut dijaga dan dicuci dengan klorin. Secara logiknya klorin akan membunuh kuman. Saya bersetuju dengannya, walau bagaimanapun saya mencelah masih ada kemungkinan proses penjagaan dan pembersihan tidak sepenuhnya mengikut prosedur yang sepatutnya, umpamanya mungkin klorin yang ditambah tidak mencapai kepekatan yang diperlukan dan mungkin juga klorin yang digunakan sudah melepasi tarikh luput. Itu antara kemungkinan yang saya fikirkan. Wallahuálam.



Sebenarnya saya memandang serius apabila mengetahui anaknya disyaki terkena jangkitan kencing tikus yang bahasa saintifiknya jangkitan oleh bakteria leptospira. Spektrum penyakit ini boleh daripada 'tiada simptom, simptom ringan hingga peringkat serius dan boleh menyebabkan kompikasi fatal'. Saya berdoa supaya anak saudara saya yang disyaki terkena jangkitan tersebut keadaannya tidak serius. Dia mengalami demam yang agak tinggi tapi merasa kesejukan (chills). Alhamdulillah, akhirnya beliau beransur pulih.



Sedikit makluman tentang jangkitan oleh Leptospira. Penyakitnya dipanggil leptospirosis. Bakteria penyebab penyakit ini terdapat dalam buah pinggang binatang yang dijangkiti terutamanya jenis tikus dan dikeluarkan dalam air kencing binatang berkenaan. Binatang-binatang lain seperti lembu, anjing dan binatang liar lain juga boleh dijangkiti tetapi binatang perumah utama ialah jenis tikus (rodents).


Manusia mendapat jangkitan sekiranya ada 'contact' secara langsung dengan air kencing binatang yang terkena jangkitan atau 'contact' dengan air yang tercemar dengan bakteria daripada kencing binatang yang terkena jangkitan. Bakteria ini masuk ke dalam badan manusia melalui membran mukosa di mulut, mata atau hidung terutamanya sekiranya terdapat luka pada bahagian berkenaan. Minum air yang tercemar dengan bakteria berkenaan juga boleh menyebabkan jangkitan. Dagnosis penyakit ini boleh dibuat berdasarkan simptom yang ada pada pesakit dan disokong oleh ujian makmal bagi mengesan kehadiran antibodi terhadap bakteria dalam level yang signifikan. Rawatan bagi penyakit ini ialah bagi merawat simptom dan juga antibiotik bagi membunuh bakteria tersebut. Risiko jangkitan ini boleh dicegah dengan menjauhi berenang atau mengharungi air yang kemungkinan tercemar oleh bakteria berkenaan dan menjauhi 'contact' dengan binatang yang mungkin terjangkit terutamanya tikus. Makanan yang disimpan seperti makanan dalam tin, seharusnya dibersihkan dahulu sebelum digunakan. Bimbang sekiranya telah tercemar dengan kencing tikus. 



Mungkin dulu penyakit ini jarang didengar sebab persekitaran ketika itu relatif lebih bersih. Sikap manusia tidak menjaga  kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah merata-rata terutamanya sisa makanan di tempat rekreasi menjadikan keadaan yang sesuai untuk tikus membiak. Akhirnya kesihatan manusia sendiri yang terancam akibat perbuatan mereka sendiri. 


Diharapkan kita semua dapat mengambil sikap prihatin kepada kebersihan diri sendiri dan juga alam sekitar,  ini selari dengan tuntutan agama kita sebagaimana firman Allah : ''...sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri" (Al Baqarah 2:222) serta sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 'Kebersihan adalah sebahagian daripada iman' (HR Muslim).

Lahaulawala quwwataillabillahiláliyilázim.
Wassalam



No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, setelah hampir sedekad berkhidmat kepada penghuni penghuni rumah kami, akhirnya unit unit 'sho...