Alhamdulillahirobbilálamin
Allahumma solliálaMuhammad waála alihi wasahbihiwasallam
Destinasi lain yang telah dilawati semasa di Sabah ialah Tanjung Simpang Mengayau di daerah Kudat. Saya hampir tiada sebarang maklumat geografi tentang Tanjung Simpang Mengayau sebelum menjejakkan kaki ke sana.
Dari tempat letak kereta, kami perlu berjalan kaki dan mendaki beberapa ratus meter untuk sampai ke tanjung. Subhanallah, sungguh mempersonakan pemandangan di sekitar tanjung. Tiupan angin yang agak kencang bagai mengalu-alukan kunjungan kami. Tidak pernah saya merasakan angin sekencang itu di mana-mana pantai pun sebelum ini, sehinggakan beg tangan bergoyang dan kain tudung di kepala bagaikan nak terbang.
Rupa-rupanya Tanjung Simpang Mengayau adalah satu destinasi pelancongan yang popular dan menjadi kebanggaan penduduk Kudat. Tanjung ini merupakan tempat paling utara di Kepulauan Borneo, terletak pada 'tanduk' seperti yang terlihat pada peta negeri Sabah. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai "Tip of Borneo". Telah dibina satu globe sebagai mercu tanda di tempat pelancongan tersebut.
globe ''mercu tanda" |
Ombak yang agak besar |
Setakat hujung tangga sahaja |
Garisan pertemuan dua laut |
Daripada apa yang saya baca, fenomena pertemuan dua laut tersebut tidak sentiasa dapat disaksikan. Bergantung kepada keadaan angin dari kedua-dua laut tersebut. Setiap tahun sekitar bulan Julai, apabila angin timur laut (Laut Sulu) bergelora dan di barat (Laut China Selatan) tenang, pengunjung berpeluang menyaksikan kedua-dua arus ini bertembung. (Kunjungan kami ke sana pada bulan Julai).
Saya sangat bersyukur kerana kunjungan ke Tanjung Simpang Mengayau, telah memberi kami peluang untuk menyaksikan fenomena pertemuan antara dua laut. Allah menerangkan tentang fenomena ini seperti firmanNya dalam Surah Ar Rahman (55:19-20):
Saya sangat bersyukur kerana kunjungan ke Tanjung Simpang Mengayau, telah memberi kami peluang untuk menyaksikan fenomena pertemuan antara dua laut. Allah menerangkan tentang fenomena ini seperti firmanNya dalam Surah Ar Rahman (55:19-20):
Terjemahannya: Dia membiarkan dua laut mengalir yang (kemudian) keduanya bertemu. Di antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.
Dalam Surah Al Furqan (25:53) Allah berfirman tentang pertemuan dua laut (yang tawar dan yang masin).
Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar dan segar dan yang lain sangat masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang tidak dilampaui.
Penjelasan berdasarkan kajian saintifik oleh pakar kaji samudera dalam abad ke 20 tentang fenomena pertemuan dua laut boleh dibaca dalam laman web quranandscience.com dan juga buku tulisan Dr Zakir Naik. Saya tidak bermaksud untuk menyentuh fakta saintifik tentang fenomena tersebut.
Al Quran sebagai mukjizat telah menceritakan tentang fenomena tersebut lebih 14 abad yang silam. Tanpa melalui wahyu Allah, mana mungkin Rasulullah SAW yang berada di negeri padang pasir mengetahui tentang fenomena berkenaan dengan begitu tepat. Subhanallah.
'Pertemuan dua laut' ada disebut di dalam Al Quran dalam Surah Al Kahfi yang menceritakan tentang kisah Nabi Musa AS bermusafir bersama-sama pembantunya. Tujuan musafir Nabi Musa AS ialah untuk mencari seorang guru (dikatakan sebagai Nabi Khidir AS) yang telah dikurniakan oleh Allah dengan ilmu 'ladunni' untuk menuntut ilmu dengannya.
Surah Al Kahfi (18: 60-61)
'Pertemuan dua laut' ada disebut di dalam Al Quran dalam Surah Al Kahfi yang menceritakan tentang kisah Nabi Musa AS bermusafir bersama-sama pembantunya. Tujuan musafir Nabi Musa AS ialah untuk mencari seorang guru (dikatakan sebagai Nabi Khidir AS) yang telah dikurniakan oleh Allah dengan ilmu 'ladunni' untuk menuntut ilmu dengannya.
Surah Al Kahfi (18: 60-61)
Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada pembantunya, "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun." (60)
Maka ketika mereka sampai ke pertemuan dua laut itu, mereka lupa ikannya, lalu (ikan) itu melompat mengambil jalannya ke laut itu (61).
Kisah Nabi Musa menuntut ilmu ini seterusnya bersambung hingga ayat ke 82. (sila lihat Al Quran 18:60-82).Tentang signifikannya pertemuan antara dua laut dalam kisah Nabi Musa AS ini dan bagaimana seekor ikan dapat mengesan lokasi pertemuan dua laut tersebut sehingga memaksa diri melompat untuk mengambil jalan keluar, mungkin perlu dirujuk kepada yang arif dalam bidang ini, saya tidak mengetahuinya. Wallahuálam.
Lahaulawala quwwataillabillahiláliyilázim
Wassalam
No comments:
Post a Comment